Saturday, November 14, 2009

Bunuh Bakarudin, dua dihukum mati




KUALA LUMPUR - Hanya kerana kasih seorang wanita bernama Siti Rahmah Azman Subramaniam, seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibunuh dan dibakar separuh rentung manakala hayat dua sahabat termasuk seorang bekas kekasih kepada wanita itu bakal berakhir di tali gantung.

Demikian keputusan Hakim Mahkamah Tinggi di sini semalam, Datuk Muhammad Ideres Muhammad Rapee yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap eksekutif jualan, Sulkarnain Alias, 32, dan pemandu forklift, Noorman Ab. Wahab, 31, setelah mereka disabitkan bersalah membunuh Bakarudin Busu, 35, tujuh tahun lalu.


Muhammad Ideres ketika melawat lokasi Bakarudin dibunuh beberapa tahun lalu.


Hukuman bagi tertuduh ketiga, Azizul Azual Mohamad Jailani, 26, yang turut disabitkan bersalah atas kesalahan sama hanya akan diputuskan selepas laporan akhlak Azizul dikemukakan 11 Disember depan.

Ini kerana pada waktu kejadian, Azizul berusia 18 tahun iaitu seorang pesalah muda dan laporan akhlak tertuduh perlu dipertimbangkan sebelum dijatuhkan hukuman.

Sulkarnain dan Noorman yang saling mengenali sejak sekolah rendah kelihatan tenang menerima keputusan itu namun mereka gagal menyembunyikan perasaan sedih sambil sesekali menoleh ke arah ahli keluarga di galeri awam mahkamah.


KERATAN akhbar UTUSAN.


Muhammad Ideres ketika membacakan penghakiman ringkasnya berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau mengemukakan tiga alasan utama ketika menjatuhkan hukuman iaitu keterangan bela diri Sulkarnain hanyalah penafian semata-mata sedangkan tertuduh pertama itu yang mengajak mangsa untuk bertemu di tempat kejadian.

"Mahkamah turut mengambil kira keterangan kad SIM milik mangsa dijumpai bersama Noorman selain pengakuan tertuduh kedua itu sendiri kepada rakannya, Mohamad Qaiyum Abdul Wahab bahawa dia telah membunuh seseorang," kata hakim itu.


IBU Noorman hanya dikenali sebagai Hayati (kanan) ditenteramkan peguam, Siti Zabedah
di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.


Selain itu, beliau turut mempersoalkan keterangan Azizul yang mendakwa dia membawa pedang samurai milik abangnya ke tempat kejadian kerana Sulkarnain mahu meminjam pedang tersebut.

"Sekiranya Sulkarnain betul ingin meminjam pedang, kenapa dia tidak gambil pedang itu sendiri di rumah abang Azizul sedangkan dia telah ke sana sehari sebelum kejadian," kata hakim.

Sulkarnain, Noorman dan Azizul dituduh bersama-sama membunuh Bakarudin pada pukul 9.30 malam 12 Februari 2002 di Jalan SS19/6, Subang Jaya dekat sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: