Badrul Muhayat |
BAGINYA hidup mesti diteruskan biar pun pernah terpalit dengan pelbagai isu panas. Badrul Muhayat yang pernah diangkat namanya menerusi filem Riang Tirana, pernah dikaitkan dengan kes khalwat dan perceraian, namun dia tidak mahu mengenang kembali perkara yang sudah berlaku.
Bagi penyandang tempat kedua Hero Remaja pada tahun 1991 segala yang berlaku adalah ketentuan yang tidak boleh dielakkan, namun semua ini dianggap sebagai satu pengalaman - yang baik dijadikan teladan dan buruk jadikan sempadan.
“Saya tidak menyesal dengan apa yang pernah dikaitkan dengan diri saya itu. Walaupun saya tahu ramai yang sudah mengetahuinya, namun saya malas untuk membuka kisah lama,” katanya yang sudah malas untuk bercerita mengenai kisah rumah tangga dan isu lain yang membabitkan dirinya.
Pengalaman lalu banyak mematangkan dirinya sehingga sukar untuk berhadapan dengan masyarakat yang menganggap dirinya sebagai artis yang bermasalah.
“Sepanjang kontroversi itu , saya melalui kehidupan yang sangat sukar. Ke mana saja saya pergi akan ada orang yang bertanya mengenai kes saya. Ada yang memberi semangat dan tidak kurang yang mengutuk setiap tindakan yang saya lakukan.
“Namun apa yang boleh saya buat ketika itu hanyalah berdiam diri dan membiarkan saja pertanyaan demi pertanyaan berlalu begitu saja. Nak menjawab bimbang dikatakan tidak profesional,” katanya.
Badrul mula terbabit di dalam dunia penuh glamor ini sejak berada di sekolah rendah lagi sebagai pelakon iklan. Selepas zaman persekolahan, dia mencuba nasib menyertai Hero Remaja sehingga menduduki tempat kedua dan mula dikenali ramai produser filem. Sejak itu tawaran berlakon mencurah-curah sehinggalah suatu ketika dia diduga dengan pelbagai ujian hidup.
Kerjaya seninya selepas itu bagaikan hilang begitu saja. Pelbagai persoalan timbul sehingga ada bertanya masih wujudkah nama Badrul Muhayat dalam industri seni ini.
“Walaupun ramai yang beranggapan yang saya sudah tidak mahu berlakon lagi, namun sebenarnya saya masih berlakon tetapi sangat kurang selepas penghujung 90-an.
“Sebenarnya saya sibuk membantu perniagaan keluarga dan sentiasa berulang-alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur setiap minggu. Saya membantu menguruskan perniagaan keluarga iaitu mengedar Kicap Sahira.
“Alhamdulillah kini perniagaan itu berjalan dengan baik dan saya mula menerima kembali beberapa tawaran berlakon selepas perniagaan itu berjalan dengan lancar.
“Saya tidak mahu lagi berhenti daripada bidang lakonan kerana dari situlah saya mula mengukuhkan kedudukan ekonomi saya. Selain berlakon saya juga kini memangku jawatan sebagai Penerbit Eksekutif di syarikat penerbitan Avant Garde Broadcasting (M) Sdn Bhd.
“Syarikat ini sebenarnya sudah lama beroperasi dengan menerbitkan pelbagai dokumentari dan kini kami ingin memperluaskan usaha kami dengan menerbitkan drama televisyen.
“Mengikut perancangan kami akan menerbitkan filem pertama kami pada tahun depan. Kini segala perancangan produksi dan penghasilan skrip sedang dalam proses awal.
Badrul yang ditemui di rumah terbuka penerbit televisyen terkenal, Bright Network Sdn Bhd, Raja Alawiyah turut membintangi drama terbarunya berjudul Usia Cinta Kita.
“Saya memegang watak sebagai Bokhari seorang pemuda yang ‘kool’. Watak yang diberikan kepada saya kali ini sangat berbeza daripada sebelum ini. Sejak 1991 hingga 1997 saya kerap menerima watak yang sama dan sukar untuk mempelbagaikan kreativiti.
“Kini watak Bokhari lebih dewasa seusia dengan umur saya kini membuatkan saya tidak ada masalah untuk membawanya.
“Drama ini adalah drama yang terbaik pernah saya ikuti baik dari segi jalan ceritanya mahupun dialog yang disampaikan. Saya sangat berharap drama ini mendapat sambutan yang akan ditayangkan di RTM penghujung tahun ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: