ZED, Sam, Liyana, Fizz, Awal dan Kamal membantu menghidupkan cerita seram Niyang Rapik. |
Cerita dalam filem Niyang Rapik boleh menaikkan bulu roma penonton
SELEPAS berjaya dengan filem Jangan Pandang Belakang dan Congkak, pengarah Ahmad Idham sekali lagi menghasilkan filem seram untuk hiburan penonton. Kali ini, dia memilih Niyang Rapik sebagai judul.
Bagaimanapun, filem ini bukanlah dibuat berdasarkan karakter mahupun jalan cerita yang ditampilkan dalam drama bersiri Puaka Niyang Rapik, siaran TV3. Ia sebuah cerita berlainan, yang kononnya berlaku di sebuah kampung bernama Niyang Rapik. Jika ada persamaan pun, hanyalah rasa serta pelakon wanitanya, Liyana Jasmay.
"Meskipun begitu, Liyana tidak memainkan watak yang dipegangnya dalam drama bersiri berkenaan," kata Idham ketika ditemui pada tayangan tertutup filem itu di Sunway Pyramid, baru-baru ini.
Idham hanya menggunakan nama Niyang Rapik yang menurutnya dibangunkan sebagai sebuah jenama untuk filem seram.
Selain Liyana, filem yang lokasi penggambarannya dibuat di sekitar Tasik Kenyir, Terengganu dan Bukit Cerakah, Selangor itu ialah Awal Ashaari, Zed Zaidi, Shaheizy Sam, Kamal Adli, Nasir Bilal Khan, Shahrolnizam dan Dian P Ramlee.
BABAK menakutkan membabitkan Dian dan Fizz. |
Menurut Idham, keinginannya untuk menghasilkan filem itu sudah lama bersarang dalam hati. Cuma, pada waktu itu dia berdepan masalah kelewatan mendapatkan pinjaman.
"Kebetulan, TV3 pula meminta saya menghasilkan sebuah siri seram untuk mereka. Lalu, saya mengetengahkan idea Niyang Rapik, yang kemudian muncul antara siri paling digemari di saluran terbabit," ujar Idham.
Tegas pengarah yang turut mempunyai beberapa lagi filem menunggu waktu tayangan termasuk Senario The Movie Episode 2: Beach Boys, Semerah Cinta Stiletto dan Adnan Sempit itu, filem seram berkenaan agak berbeza daripada judul seram yang pernah dihasilkan sebelum ini.
"Kali ini, saya ingin membawa penonton menikmati filem seram pada tahap yang berikutnya. Ia bukan semata-mata cerita menakutkan, tetapi disokong kisah cinta yang boleh dirasa," kata pengarah yang mengeluarkan belanja sekitar RM1.6 juta untuk menyudahkan filem ini.
Katanya, jika penonton disogokkan dengan babak menakutkan sepanjang masa, mereka akan kepenatan. Justeru, menerusi garapan terbarunya itu, dia menyuntik elemen lebih segar bagi memberikan pengalaman menonton filem seram yang berbeza buat peminat.
"Seram tidak semestinya kita nampak hantu pada setiap waktu. Niyang Rapik boleh dikatakan sebuah filem seram yang tidak bingit. Ia juga sebuah filem seram yang lebih matang, dengan gabungan pelakon lebih muda," kata Idham mengenai filem yang menjalani proses akhir di Bangkok, Thailand ini.
Jelas pengarah dan produser itu lagi, dia kembali kepada penghasilan filem seram yang cukup asas menerusi judul arahannya kali ini. Dia pernah memasukkan elemen luar biasa seperti bumi merekah dalam filem Congkak, tetapi Idham berasakan untuk filem seram ketiganya, penggunaan teknologi canggih seperti itu perlu dikurangkan sedikit.
"Sebaliknya, kami lebih mengutamakan ketepatan pemilihan lokasi untuk menimbulkan rasa seram, dibantu permainan cahaya serta pergerakan kamera," katanya yang dikhabarkan bakal turun ke lokasi untuk mengarahkan siri kedua filem Jangan Pandang Belakang Congkak tidak lama lagi.
Selama 10 hari di Tasik Kenyir, dia dan kru serta pelakon filem itu berkampung di atas rumah bot, berikutan ketiadaan tempat penginapan di lokasi terbabit. ‘Niyang Rapik’, kampung yang kononnya tiada pembangunan, yang dicipta Idham, memaksa mereka mengemudi selama tiga jam jauhnya daripada jeti utama Tasik Kenyir.
"Rasanya, itulah cabaran utama ketika kami menghasilkan filem ini. Cabarannya juga bagaimana kami ingin mendapatkan rakaman terbaik menggunakan kamera yang bergerak atas permukaan air. Jeti yang anda saksikan dalam filem tadi juga dibina sendiri oleh kru kami. Semua itu dilakukan bagi memberikan suasana dan rasa yang amat berlainan sekali menerusi judul ini," kata Idham.
Berharap dapat menayangkannya pada 25 Februari tahun depan, filem itu juga katanya, berjaya menarik perhatian beberapa pempamer di Singapura.
Filem yang bakal diedarkan Metrowealth Movies Production ini, antara lain mengisahkan empat rakan baik (lakonan Zed Zaidi, Awal, Kamal dan Sam) cuba memulangkan kerambit yang dicuri seorang rakan (Fizz), ke Niyang Rapik. Senjata berkenaan diambil sewaktu lima anak muda yang ketika itu menuntut di tahun akhir sebuah universiti membuat kajian di kampung berkenaan.
Selepas rakan mereka meninggal dunia secara misteri, empat pemuda itu kembali ke Niyang Rapik. Tidak mereka ketahui, kampung itu sememangnya menunggu kedatangan mereka, dengan dendam yang bisa membawa maut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: