Kawan terkejut gosip sombong
TERKEJUT dan sedikit berubah air muka pelakon Lisa Surihani ketika diajukan pertanyaan kononnya dia kini semakin berlagak dan besar kepala selepas mengecapi populariti dan dunia glamor seorang artis. Bukan tuduhan kosong atau saja-saja mereka cerita, tetapi menyelak kembali kisah Lisa yang pernah ditulis media, ada yang mempertikaikan keperibadian gadis berwajah ayu ini yang kononnya tidak mesra dan sering bersikap acuh tak acuh ketika diwawancara.
Bukan saja pembawakan dirinya menjadi bahan pertikaian tetapi penampilan pelakon yang dikenali menerusi filem I’m Not Single ini juga pernah dikritik hanya kerana sering berpakaian ringkas serta tidak gemar bersolek dan berdandan. Memang sukar memuaskan hati semua pihak tetapi sebagai artis, Lisa tidak dapat lari dari menjadi perhatian. Dan sama ada dia suka ataupun tidak, Lisa harus akui, sebagai artis dia kena selalu tampil cantik dan bergaya di hadapan khalayak.
Pun begitu, biarpun dakwaan itu menurut Lisa tidak semuanya benar namun sedikitpun dia tidak melatah atau melenting. Sambil mengukir senyuman, Lisa dengan rendah diri memohon maaf jika ada yang tersinggung dengan sikapnya yang tidak disengajakan itu.
Katanya, sebagai orang baru dalam bidang ini, ada ketika dia sendiri keliru antara kehendak diri sendiri serta kepuasan orang yang berada di sekelilingnya.
Mungkin bagi Lisa, apa yang dilakukannya itu bukanlah satu kesalahan tetapi bagi pandangan orang lain, ia mungkin melukakan mereka. Justeru, enggan terus terperangkap dalam situasi yang tidak menyenangkan itu, tegas pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang ini, dia akan cuba memperbaiki kesilapannya dan berharap usaha itu dapat membersihkan kembali namanya yang sudah tercemar itu.
LISA anggap dakwaan dia bersikap sombong dan tidak mahu melayan peminat hanyalah kerana salah faham semata-mata. |
Hip: Apa komen Lisa apabila ada yang mengatakan Lisa semakin berlagak dan besar kepala?
Lisa: Sebelum ini memang saya ada terbaca kononnya mereka mendakwa saya berlagak, besar kepala dan tak mahu melayan peminat. Semua benda itu tidak benar sama sekali. Saya bukanlah seorang yang bersikap sebegitu. Kalau nak tahu, saya memang seorang yang peramah dan kawan-kawan rapat saya memang sedia maklum mengenai perkara itu. Malah mereka juga terkejut apabila timbul gosip mengatakan saya sombong serta tak mahu melayan peminat. Saya anggap apa yang berlaku itu adalah salah faham saja. Saya tak berniat untuk bersikap sombong dengan sesiapa pun.
Hip: Lisa bukan saja dikatakan berlagak tetapi juga sering bersikap acuh tak acuh apabila ditegur atau diwawancara. Komen sikit.
Lisa: Ini adalah perkara baru yang saya dengar. Setahu saya, kalau ada sesi temu bual saya memang akan fokus dan memberi perhatian terhadap sesi itu. Bila ya kejadian itu berlaku? Saya tak pernah dengar sebelum ini. Apapun, kalau ada yang terasa dengan perbuatan saya, saya minta maaf. Kadang-kadang, saya memang tak perasan kalau ada sesiapa yang menegur.I a bukan disengajakan. Sekali lagi saya minta maaf jika perbuatan saya selama ini tidak menyenangkan sesiapa di luar sana.
Hip: Bagaimana pula dengan gosip kononnya Lisa buat muka kekwat dengan seorang tauke kosmetik seperti yang pernah tersiar di sebuah akhbar sebelum ini?
Lisa: Mengenai cerita itu, saya sudah dinasihatkan oleh majikan saya supaya tidak mengulas perkara itu. Apa yang boleh saya katakan, perkara itu tidak berlaku sebenarnya.
Hip: Penampilan Lisa juga sering dikritik kerana dikatakan sering tidak mengambil berat soal gaya. Komen sikit.
Lisa: Sebenarnya tidak ramai yang tahu Lisa sebenarnya adalah seorang yang ringkas dalam berpakaian. Tapi saya sedar bahawa sebagai artis, saya memang perlu kelihatan bergaya walau di mana juga saya berada. Perkara ini juga ada di suarakan pihak pengurusan Lisa iaitu Metrowealth. Mereka ada menegur saya supaya mengubah cara pemakaian dan peka dengan gaya sewaktu menghadiri acara hiburan. Jadi sekarang ini, saya sedang berusaha untuk lebih kelihatan bergaya dan menitikberatkan soal penampilan diri pada masa akan datang.
Hip: Apa perasaan Lisa bila keluar gosip seperti ini?
Lisa: Saya tak simpan apa-apa perasaan dan saya anggap itu satu teguran membina buat artis baru macam Lisa walaupun ada di antara gosip yang tersiar itu tidak betul sebenarnya. Mujurlah keluarga saya faham dan tahu situasi sebenar, jadi saya tak risau sangat. Apapun, setiap komen yang saya terima itu akan dijadikan iktibar dan pengajaran pada masa akan datang.
Hip: Kebelakangan ini Lisa terlalu kerap berlakon di bawah produksi Metrowealth. Tak berminat untuk berlakon di bawah produksi lain ke?
Lisa: Bukan saya tak berminat tetapi memandangkan Lisa adalah artis residen Metrowealth, jadi keutamaan Lisa sudah semestinya di bawah produksi Metrowealth. Lagipun sebelum ini saya ada juga berlakon di bawah produksi lain seperti Tayangan Unggul dan Tarantula Pictures. Jadi tak timbul soal kononnya Lisa hanya mengutamakan syarikat Metrowealth.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: