Nora Danish |
Nora Danish dakwa terpaksa tarik diri kerana penerbit mungkir janji
SEBELUM ini dia tidak pernah memberikan masalah pada mana-mana produksi. Baik untuk drama atau filem, nama Nora Danish sifar dari segi masalah disiplin. Namun, baru-baru ini tercalar sudah rekod bersih yang dibinanya selama ini.
Kecoh apabila Nora dikatakan meninggalkan lokasi drama bersiri, Spa Qistina kerana kecewa sikap pihak produksi yang tidak menepati janji apabila cuba mempertemukan dirinya dengan pelakon, Fasha Sandha ketika penggambaran sedang berlangsung.
Dan disebabkan itu, Nora nekad menarik diri dari drama terbabit dan memulangkan kembali cek kepada penerbit drama berkenaan iaitu Datin Zaiton Muhd Jiwa. Tindakannya menarik diri dari produksi Global Station Sdn Bhd yang menerbitkan drama bersiri itu menimbulkan perasaan kurang senang terhadap Zaiton atau lebih akrab disapa Kak Ton.
Khabarnya, Kak Ton juga ralat dan kecewa dengan tindakan terburu-buru Nora yang dianggap tidak profesional itu. Begitupun, benarkah Nora tidak profesional sebagaimana yang di dakwa? Apakah alasannya berbuat sesuatu yang boleh mencalarkan reputasinya itu. Sebelum ini terlalu banyak versi yang didengar dan dipaparkan media namun semuanya masih lagi kabur dan menimbulkan tanda tanya.
Kak Ton menyalahkan Nora kerana bersikap tidak profesional serta menyusahkan produksi kerana terpaksa mencari pengganti manakala Nora pula diam seribu bahasa dan enggan memberi kenyataan berhubung tindakannya itu.
| BERSAMA pengarah, Ahmad Idham dan pelakon lain yang menjayakan filem Jangan Pandang Belakang Congkak 2. |
Ketika pelakon kecil molek ini menghadiri majlis doa selamat pelancaran filem Jangan Pandang Belakang Congkak 2 di pejabat Metrowealth di Subang Mewah, Jumaat lalu, pastinya itu satu peluang keemasan buat media untuk mendapatkan kenyataannya.
Pada awalnya, Nora agak keberatan untuk menjelaskan situasi sebenar kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan namun akhirnya dia mengalah apabila terus ditanya wakil media untuk mendapatkan penjelasan daripada mulutnya sendiri.
Tegas Nora, dia mengaku punca utama yang menyebabkan dia menarik diri dari drama terbabit adalah kerana pihak terbabit memungkiri janji yang sudah dipersetujui awal.
"Sebelum saya memberikan kata putus, Kak Ton berkali-kali sudah meyakinkan saya bahawa tidak akan ada adegan membabitkan saya dan Fasha Sandha dalam drama bersiri walaupun pada skrip tertulis wujudnya adegan itu.
| "Saya tidak mahu bersangka buruk seperti itu. Cuma saya letakkan syarat itu kerana tidak mahu perkara berbangkit timbul kemudian hari." - Nora Danish |
"Percaya dengan jaminan yang diberi Kak Ton serta atas dasar menghormatinya, saya pun bersetuju untuk berlakon drama itu. Malangnya, apa yang saya takuti berlaku juga. Kecewa kerana terasa diri dikhianati, lantas saya mengambil keputusan mengundurkan diri dari drama bersiri itu," jelas Nora dengan wajah yang sugul.
Bagaimanapun tindakan Nora itu tetap dipersoalkan kerana selepas insiden itu Nora didapati berkongsi pentas bersama pelakon kontroversi itu di atas pentas M-IFW (anjuran MIFA).
Nora memberikan jawapan tersendiri berhubung perkara itu.
"Nampaknya mereka salah faham dengan apa yang saya maksudkan. Apabila syarat untuk tidak mahu dipertemukan dengan Fasha itu saya suarakan, perkara itu hanya membabitkan di lokasi penggambaran sahaja.
"Kalau dalam mana-mana acara seperti majlis anugerah atau pertunjukan fesyen, itu tidak mengapa kerana suasanya berbeza. Lagipun, sudah setahun lebih saya bercerai dan sepanjang tempoh itu saya sudah banyak kali kami berada di acara yang sama. Cuma apa yang saya kesalkan adalah apa yang berlaku di lokasi hari itu, pelakon terbabit berada tidak jauh dari saya iaitu kira-kira 200 meter
“Kak Ton tidak tahu kejadian sebenar kerana dia tiada di lokasi pada hari itu," cerita Nora yang merasakan dirinya teraniaya apabila ramai pihak menuding jari padanya gara-gara insiden itu.
Mengenai dakwaan dia tidak mengangkat telefon ketika dihubungi Kak Ton, Nora berkata dia tidak pernah mendapat panggilan dari wanita itu.
"Apabila perkara ini berlaku, saya hanya berkomunikasi dengan anaknya saja kerana dia yang kerap menghubungi saya. Malah, dia juga menggunakan telefon bimbit ibunya untuk menghubungi saya. Jadi memang saya tak ada terima panggilan darinya," kata Nora.
Ditanya apakah dia merasakan kejadian itu disengajakan sebagai satu publisiti untuk drama itu, Nora tidak berfikir sejauh itu.
"Saya tidak mahu bersangka buruk seperti itu. Cuma saya letakkan syarat itu kerana tidak mahu perkara berbangkit timbul di kemudian hari. Cukuplah kontroversi membabitkan drama ini seperti yang berlaku sebelum ini. Saya tak mahu ia berulang jika ada orang lain ternampak yang kami berdua berada di lokasi penggambaran yang sama. Namun, akhirnya apa yang saya takutkan berlaku juga," kata pelakon yang cukup popular dengan drama Puteri ini.
Biarpun keputusan yang dibuatnya itu melukakan hati Kak Ton, namun jelas Nora dia tetap menghormati dan menghargai wanita itu serta masih berminat untuk bekerjasama dengannya pada masa akan datang.
"Sekiranya saya diberi peluang, saya tetap mahu berlakon di bawah produksi Kak Ton kerana seperti yang saya katakan, saya memang meminati hasil kerjanya selama ini. Cuma disebabkan kecuaian produksi yang secara terang melanggar janji yang dipersetujui awal, saya terpaksa membuat keputusan ini.
“Saya harap dengan penjelasan ini, mereka memahami situasi sebenar saya," pinta Nora mengharap pengertian.
Mengulas pembabitannya dalam filem itu, Nora berkata tawaran itu diterima kerana dia begitu merindui untuk berlakon di layar perak.
"Sudah lama saya tidak berlakon filem dan tawaran dari Ahmad Idham itu ibarat bulan jatuh ke riba buat saya. Lagipun ini adalah gandingan kedua saya bersama kumpulan Senario.
“Kali terakhir sewaktu kami terbabit dalam filem Senario:Pemburu Emas Yamashita tiga tahun lalu," cerita Nora yang memegang watak sebagai Seha dalam filem sekuel itu.
Selain Nora, filem yang bakal menjalani penggambaran di Kuala Lumpur dan sekitar Perlis itu turut mengekalkan pelakon asal iaitu Mazlan Pet Pet, Azlee Jaafar, Cat Farish, Lisa Surihani, Bob Kuman dan Piee.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: