TENAGA penting menggerakkan penganjuran FFVPM7, dari kiri; Mohd Zulkifli, Mohd Mahyidin, Dr Kamarudin dan Dr Ismail. |
FFVPM7 di Perlis hargai hasil kerja kreatif perfileman penuntut IPT
PENGANJURAN Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia (FFVPM) bukan sekadar memberi pengiktirafan penuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam menghasilkan karya kreatif, tetapi juga pendedahan keadaan sebenar dunia realiti selepas mereka menamatkan pengajian.
Penganjurannya juga mampu membentuk keupayaan minda mereka menikmati, menilai dan membuat analisis serta membicarakan produk yang dihasilkan.
Bagi penganjuran FFVPM yang masuk tahun ketujuh awal tahun depan, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dipertanggungjawab untuk menjadi tuan rumah sekali gus menganjurkan acara berkenaan.
Naib Canselor Unimap, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, Unimap bersetuju menjadi tuan rumah bagi penganjuran Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia ke-7 (FFVPM7) ini sebagai pendedahan memperkembangkan lagi daya kreativiti terutama pelajarnya.
“Biarpun di Unimap kita tidak menawarkan pengajian berkaitan industri kreatif iaitu filem atau drama, namun kita mempunyai unit multimedia yang lengkap dengan segala peralatan untuk proses rakaman. Kita menyediakan peralatan ini untuk digunakan oleh pelajar kita yang ingin menyertai pertandingan ini.
“Inilah bentuk bantuan yang mampu kita sediakan bagi menggalakkan pelajar kita mengeksploitasi berkaitan seni, merangsang penerapan nilai budaya, warisan dan sejarah Malaysia di dalam diri setiap peserta dalam menghasilkan sesuatu filem.
“Saya percaya secara tidak langsung ia juga bertujuan untuk mengukuhkan lagi kefahaman sosio-budaya pendidikan filem, memahami peranan filem serta menyemai pengetahuan mempertingkatkan guna tenaga mahir dalam industri perfileman,” katanya yang ditemui pada sidang media pelancaran FFVPM7 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hadir sama Naib Canselor UniMAP, Profesor dr Ismail Abdullah, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd Mahyidin Mustakim dan timbalannya, Mohd Zulkifli Ab Wahab.
Menurut Dr Kamarudin, tema penganjuran kali ini iaitu Ke Arah Persada 1Malaysia yang berteraskan gagasan nasional selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang harus mempunyai aspek perpaduan, keharmonian dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
“Setiap karya yang bertanding haruslah menitikberatkan unsur penampilan imej kerjasama, setia kawan, kefahaman, kejiranan dan perpaduan antara pelbagai lapisan rakyat. Tema ini harus diterjemahkan di dalam karya filem atau video sebagai penyertaan, manifestasi atau cara hidup rakyat pelbagai kaum di negara ini.
“Tahun ini juga kita mengharapkan setiap kategori mempunyai wakil setidaknya 20 penyertaan bagi tujuh kategori yang dipertandingkan tidak termasuk dua kategori baru yang akan diperkenalkan iaitu Anugerah Khas Juri dan Anugerah Filem Video Terbaik Keseluruhan.
“Kami juga masih menerima penyertaan daripada semua IPTA dan IPTS seluruh negara untuk menyertai pertandingan ini yang akan berlangsung dengan meriahnya bermula 14 hingga 16 Januari tahun depan. Kita masih menerima penyertaan sehingga 30 November ini,” katanya.
Penganjuran FFVPM yang dianjurkan sebelum ini yang sering kali dibolot oleh tuan rumah menggondol hampir kesemua kategori sehingga beberapa IPTA dan IPTS tidak berpuas hati dan menarik diri di saat akhir adalah tidak benar.
Mengulas perkara itu, MohdMahyidin menjelaskan perkara ini tidak pernah berlaku kerana panel juri yang dilantik Finas untuk mengadili pertandingan ini adalah yang berkaliber.
“Saya rasa perkara ini tidak benar kerana kita melantik lima panel penilai yang betul-betul profesional mengadili pertandingan ini. Empat panel penilai ini adalah orang yang begitu mahir di dalam industri dan seorang daripada mereka adalah wakil salah satu daripada IPTA dan IPTS.
“Seperti tahun lalu, tuan rumah untuk FFVPM adalah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan mereka hanya memenangi sedikit saja kategori dan selebihnya dimenangi IPTA dan IPTS yang lain,” katanya.
Sejajar dengan strategi dasar perfileman negara iaitu mempertingkatkan kepakaran modal insan dan tenaga mahir, Mohd Mahyidin juga menegaskan penganjuran FFVPM secara langsung menjadi manifestasi bagi menjana kelahiran karyawan muda.
“Melihat penganjuran FFVPM yang mula diperkenalkan sejak 2003 lagi, Finas merasakan pendedahan seumpama ini secara tidak langsung membina potensi pelajar untuk mencapai kejayaan ke peringkat antarabangsa. Sejak 2007 lalu, kita mula mengangkat FFVPM yang diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai festival yang besar seperti Festival Filem Malaysia (FFM).
“Di mana pengisiannya turut sama dengan mengadakan pelbagai aktiviti seperti pameran, demonstrasi, forum/apresiasi dan tayangan filem. Pengetahuan dan pengalaman ini bukan saja diperoleh oleh organisasi pendidikan semata malah masyarakat setempat yang hadir turut mendapat manfaat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: