KUALA LUMPUR Bank Islam Malaysia Bhd menetapkan sasaran awal saiz dana permulaan sebanyak RM100 juta daripada produk pelaburan yang baru dilancarkan, Ziyad NID-i, yang distruktur dengan pemulihan pasaran ekuiti Asia.
Pengurus Besar bahagian perbankan pengguna Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, Ziyad NID-i merupakan produk pelaburan lima tahun dalam bentuk instrumen boleh runding Islam dengan 100 peratus perlindungan modal apabila matang.
"Pelabur Ziyad NID-i akan menerima keuntungan minimum sebanyak 7.35 peratus tempoh keseluruhan pelaburan atau kira-kira 1.47 peratus setahun sekiranya dipegang sehingga matang," kata Khairul semasa pelancaran Ziyad NID-i Isnin.
Beliau berkata Ziyad NID-i berkait dengan sekumpulan saham yang akan mendapat faedah daripada pakej rangsangan yang besar yang dilaksanakan oleh pelbagai kerajaan Asia.
"Saham-saham dalam kumpulan itu ialah China Mobile Ltd (China), CNOOC Ltd (China), Panasonic Corp (Japan), Canon Inc (Japan), BHP Billiton (Australia) dan KDDI Corp (Japan)," katanya.
Beliau berkata, saham-saham ini akan dipantau dengan teliti sepanjang tempoh pelaburan bagi memastikan tiada pelanggaran prinsip dan peraturan Syariah.
Pelaburan minimum bagi Ziyad NID-i ialah RM65,000 dan pelaburan seterusnya pada jumlah RM5,000.
Produk itu boleh didapati di semua cawangan Bank Islam seluruh negara, bermula hari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: