VILNIUS – Penyiasat-penyiasat Lithuania semalam terus membisu berhubung dakwaan bahawa terdapat sebuah penjara yang digunakan Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk menyoal siasat suspek kumpulan Al-Qaeda di negara itu.
“Kami melakukan siasatan dan memeriksa semua tempat yang mungkin (menjadi lokasi rahsia penjara CIA).
“Maklumat terperinci siasatan itu tidak akan didedahkan kepada orang awam sehingga ia selesai.
“Saya tidak akan memberikan sebarang ulasan,” kata Ketua Suruhanjaya Siasatan Parlimen Lithuania, Arvydas Anusauskas ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, hasil siasatan yang dimulakan dua minggu lalu itu akan diumumkan pada 22 Disember ini.
Kelmarin, sebuah saluran televisyen di Amerika Syarikat (AS), ABC, melaporkan terdapat sebuah akademi menunggang kuda dan kompleks kafe di sini dijadikan lokasi untuk menyoal siasat lapan suspek Al-Qaeda pada 2004 hingga 2005.
Pendedahan itu dibuat berdasarkan kenyataan beberapa pegawai dari Lithuania dan seorang bekas pegawai perisikan AS.
Perkhidmatan Berita Baltik (BNS) di sini melaporkan, kumpulan siasatan itu telah melawat dua kawasan itu pada minggu lalu.
Kawasan itu didakwa dibeli oleh sebuah syarikat dari AS daripada seorang warga tempatan pada 2004.
Sebuah bangunan kemudian dibina dengan dilengkapi beberapa bilik penjara yang dipercayai menempatkan suspek pengganas.
Menurut BNS, pada 2007, pemilik warga AS itu kemudian menjual kedua-dua bangunan tersebut kepada Lithuania sebelum ia diserahkan kepada perkhidmatan keselamatan negara tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: