![]() |
| Ala kebaya namun dipakai bersama seluar panjang, selesa dan sopan ke mana sahaja. |
LAZIMNYA apabila seseorang itu hendak membuka butik pakaian, mereka akan memilih lokasi yang strategik dan menjadi tumpuan ramai. Namun siapa sangka di bandar Kerteh, Terengganu kini terdapat sebuah butik yang menyediakan fesyen pakaian yang vogue dan menepati perkembangan fesyen semasa.
Memandangkan wanita di Terengganu tidak mempunyai banyak pilihan untuk berfesyen, maka butik Luxe Culture diasaskan sejak Januari lalu bagi memenuhi pasaran setempat.
Biasanya apabila hendak membeli fesyen pakaian yang moden, cantik dan menarik bagi dipakai ke majlis dan sebagainya, wanita di negeri yang kaya dengan minyak ini terpaksa datang ke Kuala Lumpur.
Koleksi pakaian yang diimport dari negara-negara di Asia Tenggara ini bukan sahaja sesuai untuk acara rasmi atau majlis namun ia turut sesuai untuk dipakai ke pejabat atau majlis kasual petang.
Menggunakan jenis fabrik seperti kapas, sifon, sutera Thai, sutera Shantung dengan sulaman yang halus dan cantik pada bahagian hadapan baju, koleksi fesyen Luxe Culture mampu membuatkan seseorang wanita itu tampil anggun pada majlis yang dihadiri.
Pun demikian, ciri-ciri pakaian yang sesuai dengan wanita Timur dan Islam amat diambil berat oleh butik yang dimiliki oleh dua orang teman karib, iaitu Raja Ruzimah Raja Ismail dan Zahidah Bahauddin ini.
Walaupun kebanyakan fesyen pakaian yang terdapat di sini merupakan busana Muslim moden namun masih terdapat fesyen bagi mereka yang tidak bertudung.
Para pelanggan yang terdiri daripada golongan pertengahan dan sederhana mampu memiliki fesyen yang menarik pada harga di antara RM50 hingga RM150 sahaja, jauh lebih murah daripada fesyen sama seperti yang terdapat di Kuala Lumpur.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: