Tuesday, November 17, 2009

'Tak kisah'...Fasha Sandha


Fasha Sandha

Fasha Sandha tiada masalah jika digandingkan bersama Nora Danish

"INDUSTRI hiburan ini kecil saja. Terpulang kepada dia (Nora Danish) kalau tak mahu tegur," kata Fasha Sandha.

Pelakon ini diminta mengulas tindakan Nora Danish yang menarik diri secara tiba-tiba daripada drama bersiri Spa Qistina. Keputusan Nora itu selepas mengetahui ada babak yang menyaksikan dia bertembung dengan Fasha dalam drama ini.


Kata Fasha, dia tidak ada masalah untuk beraksi dalam Spa Qistina walaupun perlu bertemu dengan Nora Danish. Bahkan syarikat penerbitan drama itu memang ada memaklumkan perkara berkenaan kepadanya.

“Saya menerima tawaran ini sejak Julai lalu dan mengambil masa sebulan untuk menyatakan persetujuan dan mengkaji karakter Freida. Ternyata saya sukakannya dan Freida antara watak yang menyebabkan kemusnahan empayar Qistina. Selepas saya bersetuju, Kak Ton (Zaiton Mohd Jiwa, pemilik Global Station) memberitahu dia (Nora Danish) pun turut berlakon.

“Sebenarnya sudah beberapa kali tawaran berlakon dengan produksi ini saya tolak kerana bercanggah dengan kerja lain. Sekarang saya sudah tidak fikir panjang biarpun dia turut berlakon sama. Saya tidak ada masalah berlakon dengannya,” kata Fasha.

ANTARA pelakon yang hadir sewaktu sidang media pelancaran Spa Qistina, baru-baru ini.

Ditanya lanjut mengenai watak Freida yang disifatkannya sebagai antagonis, Fasha menjelaskan apa yang dilaksanakan itu hanya sebagai tuntutan watak. Katanya lagi, terpulang kepada penonton untuk menilainya.

“Sudah lama saya menunggu watak jahat sebegini kerana ia lebih mencabar daripada watak yang memerlukan saya terus menangis. Watak Freida seperti jahat di dalam diam,” katanya yang sudah berusia 25 tahun.

Fasha sempat menambah, biarpun kisah peribadinya dengan Qabil Ambak berakhir tidak seperti yang dirancang, dia tetap tegar untuk meneruskan kehidupan tanpa ada sekelumit pun perasaan malu.

Begitu juga dengan kisah sedihnya diboikot wartawan, Fasha akur ada hikmah tersembunyi di sebalik semua itu.


“Saya akui ego orang muda seperti saya ini ada kalanya memberontak hingga memakan diri. Sebagai manusia, saya harus akur tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Semua yang terjadi menjadi pengajaran buat saya,” katanya.

Tindakan Nora Danish menarik diri pada saat akhir tidak mengubah perancangan Global Station untuk meneruskan penggambaran drama Spa Qistina. Bagaimanapun, seiring dengan perubahan dan penjenamaan baru drama ini, logo dan judul namanya berubah menjadi Spa Qistina berbanding musim pertama dan kedua yang dikenali dengan nama Spa Q.

Cuma, hasrat penerbit untuk mendapatkan Fasha dan Nora Danish berlakon dalam drama ini menimbulkan cerita sensasi masalah peribadi antara mereka sebelum ini.

Penerbit Eksekutif Global Station Sdn Bhd, Adila Ramly, memang ada membayangkan kedua-dua pelakon itu ditemukan dalam satu adegan. tetapi harapan tidak jadi kenyataan.

“Kami tak memaksa, tapi memang ada berbincang dan kalau tak boleh, ia kekal seperti yang dipersetujui dalam kontrak,” katanya.

Adila menjelaskan, tindakan Nora Danish menarik diri menyebabkan penggambaran membabitkan watak Maya di Bukit Bintang, Kuala Lumpur terpaksa dibuat semula.

“Apabila berlaku masalah begini, kami memang terpaksa menanggung kerugian. Perkara sudah jadi dan jika ada kesilapan, kami memohon maaf. Kami tidak menyebelahi sesiapa.

“Masalah peribadi membabitkan Nora dan Fasha, tiada kaitan dengan kami. Sebaik mungkin kami cuba tidak sesekali menemukan mereka babak yang sama. Kami menghormati permintaan Nora.

“Cuma perkara ini berlaku apabila pada hari yang ditetapkan untuk Nora berada di set penggambaran ialah jam 1 tengah hari, manakala Fasha pula sekitar pukul 4 petang. Kebetulan pada hari yang sama iaitu di sebelah paginya, Nora dan Fasha terbabit dengan pertunjukan fesyen M-IFW anjuran MIFA.

“Inilah yang membuatkan emak saya (Datik Zaiton Muhd Jiwa) berasa ralat sikit dengan sikap Nora. Dia berpegang kepada prinsip untuk tidak mahu dikaitkan apa-apa dengan Fasha, tetapi pada masa sama Nora macam tidak kisah apabila diminta menjayakan pertunjukan fesyen bersama-sama Fasha pula,” katanya.

Mengenai musim baru Spa Qistina secara keseluruhannya yang akan disiarkan di Astro Prima pada tahun depan, Adila berkata, kemunculan beberapa wajah baru dalam drama ini untuk memastikan ia kelihatan lebih segar.

Selain Norish Karman, pelakon asal yang tidak dikekalkan ialah Ifa Raziah, Intan Azura dan Elly Mazlein. Fasha dan Nora pula di bawa masuk untuk mendukung watak baru.

“Disebabkan drama ini dibuat dalam 13 episod, setiap babak tidak meleret dan pelakon serta watak baru yang diwujudkan ini juga sebagai memenuhi kehendak Astro. Kita buang beberapa imej lama pada musim terdahulu.

“Jika musim kedua, kita pernah menampilkan Datuk Siti Nurhaliza sebagai cameo. Musim kali ini juga kita undang kumpulan Hujan. Mereka akan berlakon dalam satu episod. Penulis skrip, Rina Khan masih dikekalkan,” katanya.

Sementara itu, bagi Ummi Nazeera pula, tidak timbul soal menjadi pilihan kedua atau ke berapa kali pun kerana apa yang penting ialah memikul tanggung jawab yang diamanahkan.

Katanya, dia hanya sempat menjalani penggambaran untuk sehari saja sebelum direhatkan selama sebulan dan disambung semula apabila Kak Ton kembali dari menunaikan umrah.

“Kontrak sudah ada di tangan, cuma belum mampu membuat pengesahan. Saya tidak boleh memberikan kata putus. Tawaran ini diterima kerana kebetulan saya lapang dan hanya akan terikat dengan komitmen lain mulai 15 Disember depan. Saya tak boleh buat dua kerja dalam satu masa, tapi pada masa yang sama, memang teringin nak berlakon dengan Global Station,” kata Ummi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: