Tuesday, November 17, 2009

Galakan untuk saintis wanita


Penerima anugerah Loreal Malaysia For Women in Science, (dari kiri) Dr. Zarina Aspanut, Dr. Zainovia Lockman dan Dr. Azura A. Rashid.


Jika dulu, kerjaya sebagai ahli perniagaan, jurutera, juruterbang, pemandu bas dan tentera adalah antara tugasan yang dimonopoli lelaki, namun kini ia sudah mampu menarik lebih ramai wanita menceburinya.

Kini juga, istilah yang mengatakan wanita sebagai individu lemah dan lebih sesuai duduk di ceruk dapur semakin kurang diperkatakan apabila kaum Hawa sudah membuktikan mereka mampu 'berdiri sama tinggi, duduk sama rendah' dengan kaum Adam dalam hampir setiap kerjaya yang ada.

Kejayaan wanita dalam kebanyakan cabang kerjaya terkemuka seperti usahawan, pereka fesyen, chef, doktor dan peguam sering kali kita dengar.

Namun, sedar atau tidak, kerjaya sebagai seorang saintis amat kurang diceburi wanita sehingga jumlahnya umpama boleh dikira dengan jari.

Sehubungan itu, Loreal Malaysia dengan sokongan Suruhanjaya Kebangsaan Malaysia bagi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) menganjurkan anugerah Loreal Malaysia For Women in Science baru-baru ini.

Turut memberi kerjasama dalam penganjurannya adalah Akademi Sains Malaysia; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pengajian Tinggi.

Anugerah itu bertujuan menggalakkan wanita muda yang berumur antara 25 hingga 35 tahun untuk menceburi kerjaya sains dan menjalankan kajian untuk menghasilkan apa sahaja bentuk produk atau teknologi, dengan syarat ia memberi faedah kepada bidang berkenaan.

Pengarah Urusan Loreal Malaysia, Andrew Stanleick berkata, anugerah tahunan kali keempat itu juga bagi menghargai usaha dan komitmen tinggi wanita dalam menghasilkan suatu produk yang dapat menyumbang kebaikan dan perubahan kepada bidang sains.

Selain itu, katanya, ia bertujuan mencungkil bakat wanita muda dalam mencipta teknologi berkaitan sains, menyediakan bantuan kewangan kepada peserta dan menggalakkan penyertaan.

"Kebanyakan wanita tidak mahu menceburi bidang ini walaupun bijak dan berkelayakan kerana kurang keyakinan diri apabila melihat ia dikuasai lelaki.

"Kami memberi peluang kepada wanita untuk meningkatkan bidang sains melalui kajian baru bagi membantu generasi masa depan," katanya pada Majlis Penganugerahan Loreal Malaysia For Women in Science di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis itu, tiga tenaga pengajar di universiti tempatan dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan yang mana masing-masing mendapat bantuan kewangan berjumlah RM20,000 bagi menjayakan projek sains yang sedang dijalankan.

Dua daripada penerima adalah pensyarah kanan di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azura A. Rashid, 33, dan Dr. Zainovia Lockman, 33.

Seorang lagi adalah pensyarah kanan Fakulti Sains Universiti Malaya (UM), Dr. Zarina Aspanut, 34.

Bagi Azura, minatnya yang begitu mendalam kepada sains menggerakkan hatinya untuk menghasilkan projek sarung tangan yang diperbuat daripada kanji sagu.

Katanya, fokus projeknya itu adalah untuk mencipta sarung tangan menggunakan bahan mentah semula jadi iaitu sagu bagi mewujudkan persekitaran alam yang mesra, kukuh dan mampu mengurangkan masalah sisa buangan.

Murah dan mudah diperoleh, ia akan mengurangkan kos penghasilan sarung tangan itu yang mana akan mampu dijual di pasaran dengan harga rendah.

"Saya memang meminati bidang sains kerana saya boleh menyampaikan pengetahuan dan idea melalui projek yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

"Berhubung anugerah ini, ia bukan sahaja unik dan membantu meningkatkan bidang sains, tetapi mampu menambahkan saintis wanita," katanya.

Zainovia yang menyambut baik usaha penganjur memperkenalkan anugerah ini bagi mengiktiraf wanita berkata, kajiannya tertumpu kepada format Tungsten Oxide (WO3) 'nanotube' dan 'nanorod' iaitu bahan untuk menghasilkan projeknya, 'Tingkap Pintar Elektrokromik'.

"Jenis tingkap ini akan mengurangkan penggunaan tenaga elektrik untuk lampu dan penghawa dingin.

"Projek ini bermanfaat untuk teknologi hijau dan membantu kepentingan generasi depan," tambahnya.

Sementara itu, Zarina berpendapat, beliau amat bersyukur memenangi anugerah ini kerana ia membuka peluang luas kepadanya dan dua pemenang lain untuk merealisasikan idea demi manfaat bidang sains.

"Kajian saya ini akan memberi faedah kepada penggunaan peranti elektronik seperti sensor dan sel solar," katanya.

Zarina menjelaskan, sebab utama yang menggalakkan beliau memilih bidang itu sebagai kerjaya adalah kerana setiap individu memerlukan sains dalam kehidupan.

"Keunikan bidang sains adalah ia mempunyai lebih daripada satu jawapan untuk setiap persoalan, jadi lebih kerap saya membuat kajian, semakin banyak jawapan diperoleh," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: