|
|
DI SEBALIK pujian dan markah yang memuaskan daripada para juri, pasangan Mirna dan Norah terpaksa akur dengan keputusan penyingkiran mereka daripada program realiti, Sehati Berdansa musim ketiga (SB3) itu.
Mirna atau nama sebenarnya Mirnawan Nawawi,38, dan isteri terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada enam pasangan selebriti yang lain setelah diumumkan sebagai pasangan yang tersingkir pada minggu keempat.
Walaupun sedih dan berat hati meninggalkan pentas yang telah membuatkan kesemua pasangan berasa seperti sebuah keluarga, namun ujar Mirna, dia berpuas-hati kerana tersingkir dengan bermaruah.
Katanya, minggu ini dia dan isteri, Noorah Mokhsin, memberi persembahan yang terbaik dan membanggakan apabila berjaya memikat hati juri dan mendapat kedudukan yang keempat daripada tujuh pasangan berdasarkan markah juri.
"Kami sudah buat yang terbaik dan juri turut mengakui yang kami banyak peningkatan.
"Kalau ikutkan kami hendak teruskan perjuangan kami dan tunjukkan apa lagi yang kami mampu lakukan dan terus berjuang untuk persatuan yang kami wakili, Persatuan Kanak-kanak Spastik Selangor & Wilayah Persekutuan.
"Namun bukan rezeki kami apabila undi SMS daripada penonton tidak memberangsangkan dan membuatkan kami tersingkir akhirnya.
"Walau bagaimanapun, saya dan Norah serta koreografer kami, Dayana amat berpuas hati dengan persembahan minggu ini kerana apa yang penting bagi kami adalah pendapat juri," ujar Mirna yang merupakan bekas pemain hoki Negara.
Tambahnya, mereka boleh raih markah daripada juri dengan memberikan persembahan yang terbaik namun undian SMS adalah sesuatu yang tidak dapat dikawal.
Bagaimanapun Mirna tidak menafikan faktor dia merupakan ahli sukan menjadi sebab kurang mendapat undian SMS kerana penonton lebih meminati selebriti dan artis.
Sementelah menurut Mirna, penonton SB3 majoritinya terdiri daripada golongan remaja yang lebih memuja artis daripada ahli sukan.
Namun ujarnya, dia bangga kerana dapat membuktikan ahli sukan juga dapat melakukan dengan cemerlang sesuatu yang di luar bidang mereka.
Sebelum ini, pasangan Mirna dan Noorah pernah diumumkan sebagai pasangan yang tersingkir pada minggu pertama.
Namun nasib masih menyebelahi mereka apabila pengumuman tersebut hanyalah gimik semata-mata dan mereka meneruskan perjuangan mereka sehingga minggu keempat.
Mengikuti kelas tarian
Minggu demi minggu juri memberi komen yang Mirna tidak begitu ekspresif dalam membuat persembahan dan akhirnya usaha dia berjaya apabila minggu ini juri mengakui banyak peningkatan terutama dari segi mimik mukanya.
"Langkah dan gerak tari bukanlah masalah terbesar untuk pasangan ini sebab mereka dapat menangkap koreografi saya dalam masa yang agak singkat iaitu dua hari latihan sahaja.
"Kesukaran utama adalah dalam memberi mood kepada Mirna agar mukanya tidak kelihatan keras ketika persembahan dan saya bangga dengan dia kerana akhirnya dia berjaya.
"Saya bangga dengan mereka berdua kerana walaupun baru belajar menari beberapa minggu dengan masa yang terhad, mereka dapat melakukan yang terbaik dan juri turut kagum dengan persembahan mereka," ujar koreografer pasangan berkenaan, Dayang Dayana Datu Dawila atau Dayana.
Mengulas tentang persembahan malam itu yang mengetengahkan irama pesta 80an, persembahan daripada tujuh pasangan selebriti menyebabkan suasana di Studio 1 Bukit Jalil menjadi gamat dan meriah.
Minggu ini kesemua persembahan diadili oleh tiga orang juri iaitu Lavinie, Jaaffar Onn dan Joseph Gonzales selaku juri tetap.
Persembahan Dira dan Ash, pasangan yang sentiasa mendapat undian SMS paling tinggi itu mendapat pujian daripada juri kerana gaya persembahan dan ekspresi yang bagus.
Tetapi juri berpendapat mereka perlu meningkatkan lagi dari segi keyakinan dan juga belajar bagaimana harus menutupi kesilapan sewaktu menari.
Pasangan Oshin dan Firdaus juga mencuri hati juri dan penonton yang hadir dengan gaya persembahan yang sangat menghiburkan walaupun mereka seakan hilang rentak di pertengahan persembahan.
Pujian
Kelebihan Didie sebagai pelakon membolehkan dia menjiwai watak dengan cukup berkesan walaupun menghadapi sedikit masalah di pertengahan persembahan.
Persembahan daripada pasangan Sein dan Nana menampilkan koreografi yang sempurna dan menghiburkan serta berjaya mencuit hati juri.
Koreografi yang sangat hebat, persembahan yang menarik dan bertenaga, itulah antara pujian yang diberikan oleh juri kepada pasangan yang sentiasa mendapat pujian setiap minggu iaitu Sazzy dan juga Nazril.
Koreografernya iaitu Papa J layak diberikan pujian kerana berjaya menghasilkan persembahan yang sangat mantap lantas menjadikan pasangan Sazzy antara pasangan yang disukai oleh juri yang hadir pada malam itu.
Persembahan Isma dan pasangannya, Zul juga tidak kurang hebatnya apabila mereka mendapat pujian dan digelar penari yang bagus dengan kombinasi koreografi dan juga kostum yang sesuai.
Dengan penyingkiran Mirna dan Norah, kini tinggal enam lagi pasangan selebriti yang akan meneruskan perjuangan mereka di dalam Sehati Berdansa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: