Tuesday, November 3, 2009

Kisah aneh suami isteri




FILEM merupakan karya seni yang mempunyai keupayaan merakamkan masa. Inilah kelebihan filem berbanding karya seni lain. Bahkan, novel sendiri tidak mampu menandingi filem dalam aspek ini.

Sebuah novel mampu merakamkan kenangan dan imbasan gejolak yang berlegar dalam fikiran watak tanpa mampu ditandingi oleh filem.

Di sini kelebihan sebuah novel apabila bercerita berbanding filem. Novel mampu memaparkan dan meneroka apa juga yang berlaku dalam fikiran watak-wataknya.

Sebuah filem menggunakan masa sebenar untuk menyampaikan naratifnya yang bergerak secara linear (boleh sahaja dalam durasi antara 1 jam setengah hingga dua jam).

Tetapi dalam menyampaikan ceritanya, filem menggunakan bersama dua lagi konsep masa iaitu masa dramatik dan masa psikologi.

Masa dramatik merujuk kepada pergerakan masa dalam naratif yang dirasakan secara emosi bergerak pantas (kerana ketegangan keadaan) atau lembap ketika sesuatu adegan sedang berjalan.

Manakala masa psikologi merujuk kepada pergerakan masa yang sebenarnya mungkin panjang dan berjalan lama (berpuluh tahun), tetapi disebabkan masa dalam filem adalah terhad maka dengan teknik penceritaan dan bantuan suntingan masa yang panjang perlu dipendekkan.

Kebetulan filem ini mengangkat sebuah naratif yang diadaptasi daripada sebuah novel yang menggunakan perjalanan masa sebagai tema utamanya.

The Time Traveller's Wife merupakan novel pertama tulisan Audrey Niffenegger yang bermain dengan masa sebagai metafora untuk menyampaikan masalah dalam hubungan suami isteri antara Henry dan isterinya Claire.

Henry (Eric Bana), seorang pustakawan di Chicago bertemu dengan Claire (Rachel McAdams) seorang artis arca kertas.

Lelaki itu dilahirkan dengan penyakit genetik yang memungkinkan dia hilang secara tiba-tiba untuk berapa lama.

Sesekali dia muncul secara tiba-tiba tanpa dia sendiri dapat mengawal kejadian tersebut.

Lazimnya, penyakit misteri ini akan menyerang Henry ketika dia berada dalam keadaan tertekan.

Sungguhpun tempat yang ditujunya semasa dia menghilang itu tidak dapat dikawal dalam sedar, tetapi pada dasarnya tempat dan konteks ruang masa adalah sesuatu yang pernah atau akan ada hubungan dengan dirinya.

Penyakit ini mula menyerang Henry ketika usianya lima tahun yang berlaku secara tiba-tiba semasa dia dan ibunya sedang memandu kereta.

Lazimnya juga Henry akan muncul tanpa pakaian sebaik kembali daripada tempoh 'kehilangannya' itu.

Pada masa yang sama, Henry berikhtiar menemui pakar genetik, Dr. Kendrik. Malangnya, dia gagal mengatasi penyakitnya.

Pada usianya 28 tahun, Henry bertemu Claire yang berusia 20 tahun ketika itu di sebuah taman.

Sejak daripada itu Henry mula meneroka ke masa silam Claire iaitu ketika Claire berusia enam tahun (anehnya, Claire menyukai Henry sejak itu) dan kemudian berlaku lagi beberapa kali pertemuan.

Sebab itu ketika pertemuan pertama di perpustakaan walaupun Henry tidak mengenali Claire, sebaliknya Claire sudah begitu mengenali Henry seumur hidupnya.

Mereka akhirnya berkahwin. Saat menyedihkan apabila Claire mengalami keguguran.

Namun, selepas itu dia ditadirkan melahirkan zuriat yang diberi nama Alba.

Sebenarnya Alba juga mengalami penyakit yang sama seperti bapanya tetapi dapat mengawalnya.

Henry akhirnya mati ketika Alba berusia lima tahun.

Sebagai sebuah cerita, The Time Traveller's Wife boleh dikategorikan sebagai novel popular yang cuba menggabungkan antara fiksyen sains ke dalam sebuah melodrama percintaan.

Sebagai sebuah novel popular, pembaca boleh sahaja menyelami apa yang berlaku dari sudut pandangan watak-wataknya, walaupun sekompleks mana plot dan persoalannya.

Filem pula sungguhpun mampu merakam dan bermain dengan masa, tetapi ia harus dilakukan dengan naratif yang meyakinkan.

Sebuah filem yang memerlukan susunan plot yang mampu menjelaskan naratif dan kemudian meyakinkan penontonnya dalam tempoh masa dua jam.

Lebih rumit dan sukar apabila pengarah filem yang gemar bereksperimen dengan cerita yang mengimbas ke masa silam dan masa depan sesuka hatinya tanpa urutan plot yang baik mampu menganggu tumpuan penonton.

Teknik sedemikian menjadikan The Time Traveller's Wife sebuah naratif yang kacau.

Lebih mengarut apabila penulis lakon layar filem ini Bruce Joel Rubin (penulis lakon layar Ghost, 1990) tidak pula menjelaskan kedudukan sebenarnya penyakit genetik yang dialami oleh Henry.

Penyakit genetik ini memerlukan penjelasan saintifik untuk meyakinkan kerana ia bukan hantu atau kisah roh. Anehnya, Claire juga seperti tidak terganggu dengan keadaan Henry tersebut.

Bruce Rubin yang pernah menulis lakon layar untuk kisah hubungan antara manusia di alam nyata dengan roh kekasihnya dalam Ghost, barangkali masih gemar dengan subjek hubungan kasih antara manusia di dua alam.

Sungguhpun antara Ghost dan The Time Traveller's Wife, kedua-duanya bergerak atas tema yang sama, tetapi Ghost lebih meyakinkan malangnya The Time Traveller's Wife lebih menganggu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: