Tuesday, November 3, 2009

Fesyen Peranakan pemimpin APEC


PEREKA fesyen Singapura, Wykidd Song bersama salah satu rekaan Peranakannya yang akan digayakan oleh para pemimpin APEC.


SINGAPURA yang menjadi tuan rumah sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun ini, memecah tradisi apabila mendedahkan pakaian yang akan dipakai pemimpin APEC lebih awal daripada sidang kemuncak itu bulan depan.

Pemimpin-pemimpin APEC yang akan menghadiri sidang kemuncak itu dari 14 hingga 15 November ini akan memakai pakaian ala Peranakan.

Tiga contoh pakaian lelaki berwarna merah, hijau dan biru rekaan pereka tempatan Wykidd Song ditunjukkan kepada media di pejabat Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian Singapura baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur APEC 2009 Koh Lin-Net berkata, mengikut tradisi APEC pakaian pemimpin menjadi misteri sehingga mereka memakainya pada sesi bergambar semasa sidang kemuncak itu.

"Bagaimanapun Singapura memecahkan tradisi APEC kerana kami mahu melakukan sesuatu yang berbeza," katanya sambil menyatakan bahawa tuan rumah tidak mahu pakaian pemimpin dirahsiakan sehingga mereka menaiki pentas untuk sesi bergambar berkumpulan.

Bagaimanapun, kata beliau pilihan warna pakaian yang akan dipakai oleh setiap pemimpin APEC akan dirahsiakan sehingga malam 14 November apabila sesi bergambar itu diadakan sebelum pertunjukan gala Singapore Evening di Esplanade.

Beliau memberitahu, pemimpin-pemimpin APEC telah memilih warna pakaian dan memberikan ukuran badan mereka kepada penganjur.

Sementara itu, Song berkata, ketika mereka pakaian itu, beliau mendapat ilham daripada budaya Peranakan kerana ia merangkumi elemen Cina, India dan Melayu, serta menggambarkan identiti Singapura sebagai masyarakat pelbagai bangsa dan budaya.

"Saya melihat budaya Peranakan sebagai campuran budaya yang berbeza yang kita ada di Asia Tengggara, dan itulah yang ada di Singapura," katanya sambil menjelaskan beliau mengambil masa tiga bulan untuk menghasilkan rekaan itu.

Mengapa tiga warna iaitu merah, biru dan hijau dipilih? Song berkata, ia berdasarkan warna rasmi logo APEC Singapura 2009.

Beliau berkata, pemimpin lelaki perlu memilih warna yang mereka inginkan untuk pakaian mereka, manakala pemimpin wanita akan hanya diberi warna merah dengan lebih banyak sulaman halus.

Fabrik linen dan sutera akan digunakan untuk pemimpin lelaki dan wanita, kata pereka itu dan menyatakan walaupun pakaian itu dijahit di Singapura, kain dan bahagian sulaman dibuat di luar negara.

Pakaian itu juga akan dilengkapi aksesori iaitu untuk lelaki ia mempunyai satu set kafling berbentuk bulat manakala pakaian pemimpin wanita disertakan keronsang perak.

Antara pemimpin APEC yang telah mengesahkan kehadiran mereka pada sidang kemuncak itu ialah Presiden Amerika Syarikat (AS); Barack Obama, Perdana Menteri Malaysia; Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Australia; Kevin Rudd, Presiden Korea Lee Myung-Bak, Presiden Rusia; Dmitry Medvedev, Presiden China; Hu Jintao dan Perdana Menteri Jepun yang baru Yukio Hatoyama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: