Saturday, November 21, 2009

Kesaktian Galadriel


KEHEBATAN Ben Tennyson selaku hero siri Ben 10 yang boleh bertukar menjadi 10 spesies makhluk asing dengan kuasa luar biasa ketika menentang makhluk asing jahat, berjaya memukau kanak-kanak.

Malah kehadiran sepupunya, Gwen tidak kurang menarik kerana dilengkapi kuasa yang tidak kurang hebat untuk bersama membantu Ben menewaskan musuh.

Jika sebelum ini wira kartun Ben 10 ditonton peminat di negara ini secara animasi, kini pastinya lebih menarik dan hebat apabila ia dijelmakan dalam bentuk manusia. Justeru, buat julung kalinya siri Ben 10: Alien Swarm disiarkan menerusi Cartoon Network (saluran Astro 616) pada 28 November ini, jam 6 petang.

Namun, ini siri ketiga kerana sebelum itu terdapat dua filem lain, Secret Of The Omnitrix dan Ben 10: Race Against Time yang ditayangkan pada 2007. Dua filem ini meraih sambutan menggalakkan.

Justeru, pastinya tumpuan penonton dan peminat setia Ben 10 teruja menunggu waktu siaran siri terbaru itu terutama untuk menyaksikan kemampuan luar biasa Ben Tennyson lakonan Ryan Kelley dan Gwen (Galadriel Stineman).

Dengan kuasa luar biasa masing-masing, tentunya banyak aksi memukau dan bertenaga akan dipaparkan. Tidak terkecuali kemunculan watak Elena Validus lakonan Alyssa Diaz yang diketengahkan sebagai gadis misteri dan kenalan lama Ben. Pasukan Ben 10 turut diperkuatkan dengan kehandalan Kevin Levin lakonan Mathan Keyes.

Galadriel mengakui sangat seronok membintangi filem itu. Katanya, sebagai seorang 'gadis bertuah', dia sudah bersedia untuk dikenali dan sukakan situasi itu.

"Saya sangat meminati lakonan dan sudah memasuki kelas berlakon sejak usia kanak-kanak. Malah, ketika meningkat remaja, saya turut menggemari tarian serta terbabit dalam sukan ekuin. Terus terang saya suka aktiviti yang gembira dan mencabar.

"Bagaimanapun, dulu penyertaan saya dalam lakonan sekadar suka-suka dan untuk mengisi masa lapang. Ini kerana saya sibuk dengan pelajaran di Northern Kentucky University. Pada masa sama, saya aktif dengan persatuan. Jadi, masa berlakon agak terhad.

"Selepas tamat pengajian, saya mencuba nasib di Hollywood. Ternyata kehadiran saya di Los Angeles tidak sia-sia apabila saya dilamar membintangi filem Junkyard Dog di samping Vivica A Fox," katanya ketika tayangan perdana Ben 10: Swarm di Los Angeles, baru-baru ini.

Katanya, sebagai orang baru dalam industri filem Hollywood, masih terlalu awal untuknya bergembira. Ini kerana masih banyak mengenai lakonan perlu dipelajarinya memandangkan penghayatan watak sangat penting serta persaingan sengit.

"Pembabitan saya dalam Ben 10: Alien Swarm menjadi percubaan terbaik untuk menonjolkan bakat. Tambahan pula dalam filem ini, saya dipaparkan memiliki kuasa luar biasa yang difikir sangat menarik," katanya.


Ben 10: Alien Swarm diarahkan Alex Winter yang juga penerbit eksekutifnya. Sebelum ini Winter mengarahkan Ben 10: Race Against Time.

Ia mengisahkan Ben, Gwen dan Kevin menaiki kapal terbang seperti biasa dan meronda mengesan kemunculan makhluk asing di pinggir bandar. Namun, seperti biasa keadaan tidak menunjukkan sebarang tanda aneh.

Apapun, Kevin kemudian berpura-pura menyamar sebagai pembeli apabila sekumpulan penjahat cuba mengalihkan beberapa barangan berharga seperti cip komputer, hingga mengakibatkan wujud pelbagai krisis yang tidak dijangka.

Namun, ketika tiga sekawan itu perlu berdepan kumpulan penjual terbabit, Ben berasakan ada sesuatu yang kurang pada cip komputer berkenaan. Justeru, mereka bertiga mula sangsi dan berusaha merungkaikan masalah sebenar di sebalik apa yang berlaku.

Cip itu sememangnya makhluk asing, tapi yang menimbulkan persoalannya dari mana makhluk itu datang dan atas alasan apa? Situasi berubah secara drastik. Apakah kemunculan makhluk terbabit ada kaitan dengan kenalan lama Ben iaitu, Elena? Ia akan terjawab dalam Ben 10: Alien Swarm.

Filem ini juga dihasilkan dalam versi Melayu untuk siaran pada 28 November ini dan juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Mohd Hafiz Mohd Suip (Hafiz) diberi kepercayaan meminjamkan suaranya untuk watak Ben.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: