Saturday, November 21, 2009

Faizal terlantar di hospital


SELEPAS menjalani pembedahan lutut kanannya pada September lalu kerana kecederaan sebelum ini ketika bermain futsal, kini penyanyi yang popular dengan gelaran Superman, Faizal Tahir, terlantar sakit di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur akibat jangkitan kuman pada paru-parunya.

Lantaran itu, Faizal yang dimasukkan ke hospital pada malam Rabu (18 November) lalu selepas tidak tahan menanggung kesakitan dialami, gagal beraksi di pentas separuh akhir Muzik-Muzik ke-24 yang berlangsung malam tadi dan digantikan dengan Shila One In A Million 2 (OIAM2). Mempertaruhkan lagu berjudul Bencinta ciptaan Audi Mok dan lirik ditulisnya sendiri, Faizal gagal dihubungi untuk mengetahui lanjut keadaan semasanya.

Pada separuh akhir ketiga Muzik-Muzik yang berlangsung malam tadi di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, lapan lagu berentap iaitu Cinta Adam & Hawa (Misha Omar), Masih Jelas (Hafiz AF7), Rindu Terhenti (Tomok), Situasi (Bunkface), Patri (Jinbara), Ketika Ini (Estranged), Pergi (Aizat) dan Bencinta (Faizal).

Beritahu Pengurus Label Monkey Bone, Edris Adrian, ketika dihubungi, Faizal, 31, masih berada di hospital dan menerima rawatan. Namun, dia mendapat arahan daripada pihak atasan untuk tidak membenarkan mana-mana media mengunjungi Faizal atas nasihat doktor.

"Kecederaan yang dialami Faizal tidak teruk tetapi dia sangat lemah. Apatah lagi, sebelum ini dia ada menjalani pembedahan lutut dan sekarang jangkitan kuman pada paru-parunya. Disebabkan itu, doktor menyarankan kami supaya Faizal diberi ruang secukupnya untuk berehat tanpa mana-mana gangguan. Rawatan awal mendapati dia terkena jangkitan kuman, tetapi tidak tahu keadaan selanjutnya," katanya.

Bercerita detik awal terkena penyakit itu, beritahu Edrian, 35, Faizal sejak kebelakangan ini asyik mengadu sakit dada. Namun, naib juara OIAM musim pertama ini hanya menyangka ia sekadar sakit biasa hinggalah mengalami batuk darah pada malam Rabu (18 November) lalu.

"Awalnya, Faizal ingat dia salah tidur hingga menyebabkan sakit dada. Disebabkan itu, dia tidak kisah sangat dan terus menjalani latihan untuk separuh akhir Muzik-Muzik bagi lagu Bencinta. Selain bersungguh-sungguh berlatih, pada masa sama, Faizal juga sibuk merakam suara untuk album terbarunya.

"Selasa (17 November) lalu, ketika dia datang ke studio di Petaling Jaya untuk buat latihan seperti biasa, keadaannya nampak teruk dan sangat lemah. Melihat keadaannya itu, kami menasihatkannya supaya balik dan berehat di rumah. Sejurus sampai di rumah, Faizal memberitahu yang sakitnya lagi teruk dan sudah tidak tahan hinggalah pada malam Rabu lalu dia batuk darah.

"Malam itu juga Faizal dimasukkan ke hospital. Kami tidak tahu bila Faizal boleh keluar kerana masih menunggu untuk rawatan seterusnya. Menurut doktor, ada pelbagai peringkat rawatan selepas ini tetapi tidak boleh diberitahu kerana perlu menunggu keputusan rawatan seperti yang saya maklumkan sebelum ini.

"Sebenarnya, Faizal agak kecewa kerana tidak dapat membuat persembahan pada malam tadi. Kalau diikutkan, Faizal sudah lama membuat latihan dan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk memberi persembahan terbaik pada Muzik-Muzik. Bagaimanapun, dia tidak ketinggalan menyaksikan Muzik-Muzik malam tadi di hospital menerusi kaca televisyen biarpun masih sakit.

"Mungkin, kerana dia bekerja terlalu kuat hingga tidak sempat menjaga kesihatannya. Namun, saya tidak mahu mengulas panjang mengenai perkara ini. Cuma, kami doakan semoga dia cepat sembuh," katanya.Beritahu Edris, ada kemungkinan besar Faizal akan berehat panjang selepas keluar dari hospital. Bagaimanapun, semuanya akan diberitahu pada sidang media yang akan diumumkan nanti.


"Seperti kita ketahui, Faizal baru saja menjalani pembedahan lutut dan kini jangkitan kuman pada paru-parunya. Dengan jarak masa yang terlalu dekat itu, kami rasa Faizal perlu berehat sekejap daripada karier nyanyiannya untuk kembali pulih seperti biasa. Namun, itu akan diberitahu pada sidang media yang akan diadakan nanti," katanya yang tidak mahu mengulas panjang mengenai perkara itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: