Thursday, November 19, 2009

Kemunculan istimewa isteri




ANDAI sebelum ini audiens menyaksikan penyanyi kesayangan ramai, Asmawi Ani atau Mawi muncul bersendirian dalam Langkah Mawi World, kini program berkonsepkan pengembaraan yang memasuki musim kedua itu memperlihatkan dia ditemani 'teman' yang ayu dan jelita.

Peminat barangkali dapat mengagak siapakah gerangan yang menemani Mawi dalam program tersebut. Siapa lagi kalau bukan individu istimewa di hatinya merangkap isteri tercinta, Ekin yang turut sama dalam Langkah Mawi World 2 terbitan Mawi World Entertainment (MWE) Sdn. Bhd. itu.

Cuma nampak sedikit janggal apabila kelibat Ekin sekadar 'menyibuk' berada di sisi Mawi dalam Langkah Mawi World 2 sekali gus kehadirannya tidak ubah dilihat seperti patung cendana yang ibaratnya menempel 24 jam dengan sang suami.

Tidak dinafikan, pasti ada yang mulai membuat telahan sambil mengatakan mentang-mentanglah program yang pada awalnya dilaksanakan oleh Maestro dan sekarang diambil alih oleh MWE itu maka menjadi perkara wajib untuk menyelitkan wajah Ekin walau sedikit cuma.

Biarpun begitu, jejaka berusia 28 tahun itu punya alasan relevan tentang kemunculan Ekin dalam rancangan sebanyak 13 episod yang bakal bertamu di skrin televisyen Astro Ria (saluran 104) bermula 25 November ini mulai pukul 7 malam.

Menurut Mawi, Langkah Mawi World mempersembahkan signifikan tersendiri dalam kehidupannya sepanjang bergelar anak seni selepas bergelar juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) beberapa tahun lalu.

"Langkah Mawi World ibarat saya punya perjalanan. Semua orang tahu Mawi sudah ada isteri maka sudah tentu langkah dia bersama-sama Ekin saja walau pergi ke mana-mana.

"Oleh kerana itu Ekin ada dalam Langkah Mawi World 2. Tetapi kemunculan Ekin hanya pada keadaan yang bersesuaian. Contohnya jika saya tunjukkan tempat menarik di negara tertentu yang menjadi destinasi berbulan madu lantas dia muncul sekali dengan saya.

"Iyalah, kelihatan pelik pula jadinya kalau saya mengacara keseorangan sedangkan saya tengah mempromosikan tempat percutian untuk pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Sebab itu jugalah ada adegan kami berkejar-kejaran di sebuah kawasan dengan diiringi lagu Bollywood.


SELAGI belum mempunyai anak, pasangan ini menganggap penggambaran mereka sebagai detik bulan madu.


"Lagipun tiada salahnya kalau sekali-sekala Ekin ada dalam Langkah Mawi World 2 kerana saya tidak mahu keluarkan benda sama seperti yang disaksikan oleh penonton pada musim pertama. Bahkan orang ramai lebih seronok untuk menikmati program ini.

"Kalau dari segi pengacaraan, saya dan Ekin dapat saling bantu-membantu untuk memberikan maklumat kepada khalayak tentang sesebuah tempat yang kami lawati itu," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program itu serta perasmian MWE di Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor Isnin lalu.

Turut hadir melancarkan MWE ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim yang juga merupakan salah seorang peminat Mawi.

Sambung anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor Darul Takzim itu, selain dia yang harus membuat kajian, pembacaan serta menghafal skrip untuk mengelolakan Langkah Mawi World 2, Ekin tidak ketinggalan mendapatkan informasi lanjut berkaitan negara yang dikunjungi iaitu Australia, Sri Lanka dan Hong Kong pada musim ini.

"Ekin ada dalam program itu sebab dia membantu kalau saya terlupa skrip atau tersalah cakap tentang satu-satu perkara. Biasanya dia bagi petunjuk kalau menyedari saya mula buat salah atau gelabah semasa mengacarakan program ini.

"Kalau saya terlupa apa yang hendak dicakapkan maka Ekin terus menjawab lantas menyampuk bagi pihak saya," jelas Mawi tertawa sambil menjelaskan Langkah Mawi World 2 menelan kos perbelanjaan produksi mencecah RM100,000 itu.

Mengulas secara terperinci tentang program itu, Mawi melihat banyak kelainan yang cuba diketengahkan dalam Langkah Mawi World 2 termasuk ia digarap dengan bebas, lebih santai ditambah adanya penampilan istimewa isteri tersayang.

"Pada mulanya saya ingin mengunjungi Itali selain Australia, Sri Lanka dan Hong Kong. Tetapi pada waktu itu penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) sedang berlaku maka saya terpaksa menghadkan jumlah negara yang ingin ditonjolkan dalam Langkah Mawi World 2 sebagai langkah berjaga-jaga.

"Walaupun ada dugaan, hakikatnya saya seronok dapat berjalan-jalan di ketiga-tiga negara ini. Penggambaran di Australia mengambil masa selama dua minggu manakala Sri Lanka dan Hong Kong cuma mengambil masa seminggu.

"Saya bersyukur sebab penggambaran program ini dapat diselesaikan dengan jayanya tanpa alami masalah selepas dapat kerjasama daripada Tourism Australia, Sri Lanka dan Hong Kong.

"Banyak tempat menarik yang dilawati dalam setiap negara. Ia meluaskan lagi pengetahuan dan pengalaman saya tentang kebudayaan dan cara hidup sesebuah masyarakat di negara luar.

"Rancangan ini memberi panduan dan pengisian yang berguna kepada penonton. Berbeza dengan kenangan sewaktu berada di Korea, Eropah serta Dubai dalam musim pertama, saya dapati perjalanan negara-negara baru memperlihatkan keistimewaan sendiri yang pasti tidak dapat dilupakan untuk selama-lamanya," jelasnya dengan penuh riak keterujaan bergelar seorang hos.

Mawi dianggap cukup bertuah kerana pihak Astro Ria memberi sepenuh kepercayaan kepadanya untuk menerbitkan Langkah Mawi World 2 tanpa terikat dengan syarat-syarat tertentu.

Itu yang dijelaskan oleh Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi tentang Langkah Mawi World 2. Bahkan Azlin menganggap Mawi sudah punya pengalaman untuk menjadi penerbit program berkenaan.

"Astro Ria dan Mawi hanya berbincang tentang format Langkah Mawi World 2 manakala selebihnya dijalankan sepenuhnya oleh MWE mengikut piawaian yang ditetapkan tanpa ada sebarang masalah.


ALAHAI, gurauan manja Ekin sambil membelai kepala 'dogol' milik suaminya.


"Saya dapati Mawi sudah bersedia 100 peratus untuk menjadi penerbit pula selepas ini. Asalkan dia ada minat mendalam dan berkeinginan untuk belajar perkara baru maka kejayaan pasti berpihak kepadanya," terang Azlin.

Mawi tubuhkan MWE

Tempoh empat tahun memperjudikan nasib di gelanggang seni sambil merasai pelbagai pengalaman manis dan pahit membuatkan Mawi menjadi lebih matang lalu memikirkan perancangan bagi menjamin masa depannya dan keluarga.

Menyedari kerjaya seni ada pasang dan surut maka muncul idea untuk mewujudkan sebuah empayar, MWE sejak dua tahun lalu yang berperanan sebagai syarikat penerbitan, pengurusan acara serta perhubungan awam.

Lantaran itu, tiada yang lebih membahagiakan Mawi apabila impian untuk memiliki perniagaan sendiri akhirnya berhasil di depan mata. MWE diterjemahkan menjadi penanda aras kegembiraan Mawi lantas cuba sedaya upaya untuk melakar deretan kejayaan selepas ini.

"Empat tahun saya menapak dalam industri seni lalu saya mengambil keputusan sudah sampai masanya untuk bergerak sendiri. Sebab itulah saya menubuhkan syarikat sendiri apatah lagi dalam situasi penjualan album yang kurang memberangsangkan, isu cetak rompak dan bidang hiburan yang tidak menentu.


DATUK RAZALI IBRAHIM semasa melancarkan rancangan Langkah Mawi World 2 baru-baru ini.


"Sebaik saja saya mula berlakon maka wujudlah idea untuk memiliki perniagaan sendiri. Bahkan saya berjumpa dengan ramai orang berpandangan positif yang terlibat dalam penerbitan drama dan filem. Inilah yang tercetusnya ilham untuk buat bisnes sendiri.

"Ia juga mengingatkan saya tentang kehidupan selepas ini dan sediakan payung sebelum hujan. Dulu saya solo, sekarang sudah ada tulang belakang iaitu Ekin dan keluarga sekali gus mendorong saya untuk bekerja lebih keras setiap masa.

"Dua tahun lalu dengan beroperasi di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, MWE mengambil waktu berperingkat untuk diselesaikan secara keseluruhan termasuk ubah suai, dekorasi dan urusan kerja lain. Pada waktu sama, aktiviti seni serta undangan pentas masih berjalan seperti biasa.

"Ambil masa jugalah untuk disiapkan. Beban kerja di MWE bagaimanapun menjadi lebih ringan sejak ada penolong kanan saya. Siapa lagi kalau bukan Ekin. Selain itu, saya turut dibantu oleh Nasir serta beberapa kawan rapat lalu ia menjadi kebanggaan apabila produk kami berjaya diterbitkan.

"Ia termasuk drama raya yang ditayangkan di Astro Prima sempena Syawal lalu iaitu Rumah Baru, Isteri Baru, Baru Raya. Terbaru adalah Langkah Mawi World 2 yang bakal menemui peminat tidak lama lagi.

"Saya juga memiliki beberapa projek yang bakal diuruskan pada penghujung tahun ini dan menyambut kedatangan 2010. Perancangan ke Korea untuk melengkapkan penggambaran drama bersiri MWE juga bakal dimulakan tidak lama lagi," tuturnya yang dilahirkan pada 25 Ogos 1981 itu.

Bercakap tentang perubahan Mawi yang sudah bergelar penyanyi, pelakon, duta produk, hos dan terbaru penerbit, Pengarah Urusan MWE itu berkata, dia sudah bersedia untuk bergelar ahli perniagaan terutama melibatkan diri dengan bisnes dunia hiburan.

"Sebenarnya banyak lagi yang mahu saya laksanakan demi mencapai kejayaan kepada diri dan MWE. Cuma buat masa ini, saya mahu tumpukan dengan perancangan yang sudah ada dalam fikiran terlebih dulu sebelum buat itu dan ini.

"Selepas ini saya bercita-cita untuk jadi pengarah dalam tempoh lima tahun mendatang, Ini hanya rancangan dan saya juga ada niat untuk belajar bidang penulisan. Harap ia jadi kenyataan," ujar Mawi yang masih ada dua tahun kontrak dengan Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) itu melabuhkan bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: