Thursday, November 19, 2009

Dulu di radio sekarang di TV


WAJAH-WAJAH penyeri rancangan Hot FM Twisties Bingit.


LEWAT kebelakangan ini, kemunculan pemuzik bebas ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Selepas satu maka timbul satu lagi sehingga berlakunya 'lambakan' kumpulan yang menonjolkan bakat dan kemampuan masing-masing daripada pentas kecil pada permulaannya.

Bukan bersikap skeptikal ataupun tidak terbuka menerima kehadiran pemuzik-pemuzik bebas, sebaliknya kalau terlampau banyak yang melata di laman seni lantas ia dilihat berupaya mengganggu perjalanan industri hiburan.

Bayangkan apabila terlalu berlebih-lebihan muka baru mengangkat diri mereka sebagai pemuzik bebas walaupun tahap kualitinya jauh tersasar entah ke mana maka ia sekadar memberi tontonan yang kurang enak kepada masyarakat di luar sana.

Lantaran itu, kewujudan sebuah program realiti terbitan 8TV dengan kerjasama stesen radio nombor satu negara, Hot FM iaitu Hot FM Twisties Bingit yang bakal muncul di skrin televisyen audiens tidak lama lagi terus menjadi keraguan serta tanda tanya khalayak.

Sejauh manakah program Hot FM Twisties Bingit yang menjunjung hasrat murni demi mencungkil pemuzik-pemuzik hebat tempatan sebagai sebuah grup bakal melahirkan pemuzik bebas yang bermutu dan mengikut standard tertentu?

Rancangan yang pada awalnya direalisasikan oleh Hot FM sebelum ini sekarang diangkat darjatnya ke tahap lebih tinggi lalu bersiaran di saluran 8TV agar dapat disaksikan umum.

Mengulas tentang peningkatan ketara pemuzik bebas sehingga adakalanya tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan untuk berdiri sama tinggi di gelanggang arus perdana, Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim menjadi individu rujukan bagi merungkai atmosfera tersebut.

Swee Kim yang ditemui pada sidang media program itu di Laundry Bar, Mutiara Damansara, Selangor baru-baru ini berkata, rancangan realiti Hot FM Twisties Bingit menampilkan banyak kelainan berbanding program pencarian bakat baru yang sedia ada di Malaysia.

"Disebabkan pihak kami menyedari dunia seni ini dipenuhi dengan pemuzik bebas sejak beberapa tahun lepas maka program ini mengamalkan sikap selektif dalam mencari muka-muka baru yang berkelayakan dan punya mutu tersendiri.

"Kami mencari pemain gitar, bass, drum dan vokalis daripada seluruh negara sebelum mereka disatukan menjadi sebuah kumpulan muzik terkenal yang menghasilkan karya lebih segar dan kreatif kepada pengikutnya.

"Saya percaya banyak lagi grup di luar sana yang cukup berbakat dan Hot FM Twisties Bingit ini menjadi platform utama untuk mereka mempersembahkan bakat masing-masing.

"Kami bukan saja mencari pemenang untuk pertandingan ini. Tetapi 8TV dan Hot FM mencari grup yang bakal bersinar sekali gus dapat menjadi saingan kepada kumpulan-kumpulan tanah air yang sudah ada nama dan tempat di Malaysia.

"Inilah objektif utama kami menjalankan program ini. Saya percaya peserta yang tersenarai dalam rancangan Hot FM Twisties Bingit memang ada kemampuan masing-masing.

"Mengambil contoh juara program ini pada tahun lalu iaitu kumpulan Modread. Langkah mereka semakin positif dalam muzik arus perdana. Bahkan lagu mereka turut berkumandang di corong-corong radio dan menjadi siulan peminat," jelasnya berterus-terang.

Sebanyak sembilan buah kumpulan bebas yang bertanding dalam rancangan ini. Mereka terdiri daripada Rockie Ocean, Avidity, D'Gee, Digital, No Misery, Rocket Planet, Floor 88, Mess Symphony dan The Musician.

Sambung Swee Kim lagi, sesi pemilihan peserta Hot FM Twisties Bingit dijalankan sejak beberapa bulan lalu bermula di Pulau Pinang dan Johor Bahru diikuti lokasi lain termasuk Kuching, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur.

"Sambutan yang diterima cukup menggalakkan apabila peserta yang terdiri daripada pemuzik-pemuzik berusia 18 hingga 28 tahun datang ke sesi uji bakat.


KUMPULAN Modread kini sedang membina nama.


"Seramai 532 pemuzik bebas yang muncul pada tahun ini sambil menunjukkan bakat tersendiri dan begitu mengagumkan. Lokasi di Kuala Lumpur mencatatkan jumlah peserta tertinggi dengan penyertaan 214 orang.

"Para juri sekadar memilih 43 peserta yang berpotensi daripada beratus-ratus orang yang datang uji bakat. Dalam waktu sama, masyarakat dapat menilai sendiri betapa kami cukup mementingkan kualiti pemuzik bebas yang layak menyertai pertandingan ini," tutur Swee Kim.

Bercakap tentang format Hot FM Twisties Bingit, Swee Kim menerangkan, setiap peserta yang terpilih daripada merata tempat sudah diagih-agihkan dalam kumpulan tertentu walaupun mereka tidak saling mengenali sebelum ini.

"Kumpulan yang mendapat markah terendah akan disingkirkan pada setiap minggu sebelum kita dapat mengetahui juaranya pada penghujung tahun ini," ungkap Swee Kim.

Sementara itu, hanya sebuah kumpulan yang akan diumumkan sebagai juara Hot Twisties Bingit dengan membawa pulang hadiah bernilai RM80,000 termasuk kontrak rakaman dengan Monkey Bone.

Naib juara pula bakal meraih hadiah berjumlah RM10,000 sementara tempat ketiga membawa balik hadiah sebanyak RM6,000. Tempat keempat dan kelima masing-masing akan menerima RM2,000 sebagai sumbangan sagu hati.

Program Hot FM Twisties Bingit yang dihoskan oleh Qi Razali itu disiarkan setiap Jumaat pada pukul 9.30 malam bermula sejak 11 November lalu di 8TV atau saluran 708 di Astro.

Untuk mendapatkan keterangan lanjut berhubung rancangan realiti itu, peminat juga boleh melayari laman sesawang www.hotfm.com.my atau www.twisties.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: