Friday, November 20, 2009

Kapal minyak tunggu harga naik


GAMBAR yang disiarkan oleh akhbar Daily Mail semalam menunjukkan tiga buah kapal tangki berlabuh di Teluk Lyme, England.


LONDON - Sebanyak 10 kapal tangki berlabuh di luar pantai Devon, Britain di sini sejak beberapa bulan lalu kerana menunggu harga minyak mentah melambung tinggi sebelum memindahkannya ke daratan, lapor sebuah akhbar semalam.

Nilai kargo kapal tangki itu meningkat lebih £1 juta (RM5.7 juta) pada setiap hari akibat permainan harga oleh pedagang dan spekulator.

Harga petrol di Britain dijangka meningkat sebanyak 26 peratus menjelang Krismas ini.

Pengerusi Persatuan Automotif (AA) Britain, Edmund King berkata, pedagang-pedagang dan spekulator mahu menyimpan minyak mentah bagi menunggu harganya naik.

"Pedagang-pedagang dan spekulator dilihat menyimpan minyak sehingga harganya naik.

"Pemandu-pemandu boleh menjangkakan harga minyak akan meningkat," katanya.

Keadaan itu menyebabkan sebahagian penduduk berhampiran Brixham di Devon semakin hilang sabar ekoran banyak kapal tangki itu berlabuh di Teluk Lyme sejak dua bulan lalu.

Harga minyak mentah setong meningkat dari AS$40 (RM135) setong setahun lalu kepada AS$80 (RM269) dalam minggu ini tetapi ia dijangka terus naik untuk tempoh beberapa bulan akan datang.

Secara purata, sebuah kapal tangkai membawa sejuta tan minyak mentah.

Minyak mentah itu menghasilkan 250,000 tan petrol atau 340 juta liter petrol.

"Mereka (pemilik-pemilik kapal) menunggu arahan (memindahkan minyak).

"Kapal kargo itu kini bernilai lebih mahal berbanding semasa ia tiba," kata seorang jurucakap pengawal pantai di Brixham.

Namun, perbuatan itu bukannya kali pertama kerana beberapa buah kapal tangki pernah berlabuh di Teluk Lyme tanpa memunggah muatan pada April lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: