Saturday, November 14, 2009

Inovasi jentera terbaik

Bertemakan Fun Driving for Us, Eco Driving for Earth, Tokyo Motor Show 2009 menjadi platform buat para pengeluar kenderaan Jepun mempamerkan jentera mesra alam termaju mereka.




WAKTU pagi. Ruang tempat letak kereta di sekitar pusat konvensyen Makuhari Messe, Chiba di Tokyo, Jepun itu masih lengang. Menunggu seketika untuk mengambil pas sebelum masuk ke dalam dewan, kami melayan angin musim luruh yang dingin, sambil tangan asyik menekan punat kamera.

Latarnya? Kalau bukan bangunan Makuhari Messe, pasti pintu gerbang bermotifkan belon-belon berbentuk kereta berwarna-warni atau bos-bos dari Honda Malaysia yang menjadi mangsa.

Menjadi antara pameran automotif paling berpengaruh di dunia, Tokyo Motor Show 2009 (TMS 2009) sudah menginjak usia ke-41 pada tahun ini. Acara dwitahunan itu sememangnya amat ditunggu-tunggu oleh semua peminat kereta.

Para pengeluar kereta mahu mempamerkan kemajuan dan inovasi terbaru mereka. Pemerhati pula ingin melihat trend serta hala tuju industri pemotoran dunia. Pengguna (terutama rakyat Jepun) sedang membayangkan apakah kenderaan yang bakal berada dalam garaj mereka dalam tempoh beberapa tahun akan datang.


ANAK syarikat Toyota, Daihatsu Motor mempamerkan kenderaan yang dikenali sebagai Deca Deca. Pintunya mampu dibuka pada keluasan 135 darjah.


Impak ekonomi global

Menjengah masuk ke dalam dewan seluas 21,259 kaki persegi (1,974 meter persegi) yang lantainya dihampar dengan karpet merah, setiap incinya dipenuhi dengan ruang pameran pengeluar-pengeluar kenderaan berpengaruh dunia.


MEDIA begitu teruja untuk melihat secara dekat model konsep daripada Toyota, FT-86.


Selepas diberi taklimat mengenai pelancaran yang diadakan oleh pihak Honda, saya tidak melengahkan masa untuk melihat secara dekat setiap jentera baru yang dipamerkan.

Harus diakui bahawa impak ekonomi global dapat dilihat dengan jelas di sana. Secara ringkasnya, saiznya mungkin hanya satu pertiga berbanding pameran yang sama dua tahun lalu! Malah syarikat yang mengambil bahagian adalah yang paling sedikit sejak TMS dianjurkan pada tahun 1954.


BIARPUN hanya mempunyai satu roda, UX-3 ciptaan Honda dapat diseimbangkan dengan cukup baik.


Tiada satu pun pengeluar dari Eropah dan Amerika bertandang ke Tokyo kali ini. Nama-nama pengeluar asing yang hadir cuma Lotus, Alpina (tuner bagi jenama BMW) dan Harley Davidson. Jadi, lebihan ruang itu dikongsi oleh pengeluar tayar, topi keledar dan alat-alat ganti kenderaan.

Tidak ketinggalan, semua kenderaan yang pernah dinobatkan sebagai Japan Car of the Year turut menjadi tatapan umum. Di sana, pengunjung dapat melihat model-model yang disifatkan terbaik ketika ia mula dipasarkan di negara Matahari Terbit tersebut.


PRESIDEN dan CEO Honda Motor Co, Takanobu Ito memperkenalkan model-model berkonsepkan elektromotif Honda.


Akhbar The Japan Times menyifatkan TM Show 2009 membuka peluang kepada pembuat kereta Jepun membuktikan usaha mereka untuk bangkit daripada tekanan ekonomi global. Misalnya dengan melancarkan kenderaan mesra alam yang terbaru.

Justeru, tidak hairanlah jika semua pengeluar termasuk Honda, Nissan, Toyota, Mitsubishi, Mazda, Suzuki, Subaru, Daihatsu dan Yamaha memaparkan kenderaan hibrid serta elektrik, lengkap dengan ciri plug in yang rekaannya cukup futuristik.

Asyik melihat secara dekat dan merakam gambar pelbagai model prototaip dan kenderaan elektrik serta hibrid, saya hampir terlupa untuk menghadiri majlis pelancaran berkonsepkan Creating the Never Before yang diadakan di booth Honda.


SEORANG model bergaya di sebelah Lotus Evora yang dibina atas platform baru sejak model Lotus Elise pada tahun 1995.


Konsep Hello! Honda

Tiba di sana, tempat duduk sudah hampir dipenuhi oleh para wartawan dan jurugambar. Memandangkan ucapan disampaikan dalam bahasa Jepun, kami dilengkapi dengan alat seperti radio transistor yang akan menterjemahkan kata-kata terus ke dalam bahasa Inggeris.


TEKNOLOGI hibrid dan elektrik menguasai setiap ruang pameran TMS 2009.


"Kali ini, Honda mengetengahkan konsep Hello! yang membawa maksud Honda Electric Mobility Loop. Ia secara komprehensif mengekspresi visi Honda untuk menghasilkan produk yang mampu menjana kuasa elektrik, selain kenderaan yang bergerak menggunakan tenaga elektrik," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Motor Co., Takanobu Ito.

Zon Hello! menampilkan kecanggihan teknologi elektromotif Honda pada model-model konsep yang semuanya berwarna putih. Paling menyerlah adalah model FCX Clarity, kereta elektrik sel bahan api yang digerakkan oleh kuasa elektrik apabila unsur hidrogen bertindak balas dengan oksigen.


WAJAH-WAJAH jelita yang membuatkan TMS 2009 semakin mengujakan.


Kereta dua pintu EV-N yang dijana oleh bateri sepenuhnya pula menyerlahkan rekaan ringkas tetapi menarik. Dibina berdasarkan motosikal Super Cub paling popular keluarannya, EV-Cub adalah versi elektrik jentera dua roda tersebut.

EV-Monpal yang berbentuk seperti skuter empat roda pula dicipta bagi memudahkan manusia, terutama golongan warga emas untuk bergerak. Konsep Hello! itu disempurnakan dengan alat mobiliti peribadi satu roda, U3-X. Dibangun menggunakan teknologi yang ada pada robot Asimo, U3-X dapat diseimbangkan oleh penggunanya tanpa sebarang masalah.

Semua produk Hello! itu turut dilengkapi teknologi komunikasi interaktif bagi membolehkan masyarakat berinteraksi dengan kenderaan mereka secara lebih menyeronokkan.

"Dalam jangka masa panjang, teknologi elektromotif menjadi faktor penting untuk mengurangkan emisi C02. Honda percaya kenderaan elektrik sel bahan api akan menjadi mode pengangkutan masa depan kerana ia tidak mengeluarkan asap. Malah ia juga boleh bergerak dalam jarak munasabah tanpa isian semula. Tenaganya juga mampu diisi semula dengan pantas," tambah Ito.


MOTOSIKAL konsep terbaru daripada Yamaha, Super Tenere.


Selain model Insight, Honda turut mempamerkan jentera hibridnya termasuk CR-Z Concept 2009 dan model pelbagai guna berkapasiti enam tempat duduk, Skydeck. Model-model lain yang ada untuk tatapan ramai adalah Step WGN dan Step WGN Spada serba baru (akan dipasarkan di Jepun tidak lama lagi) serta jentera berkuasa Civic Type R Euro. Tidak cukup dengan itu, motosikal dan produk kuasa juga ada dipamerkan.

Penganjuran TMS 2009 dilihat tepat pada masanya. Ini memandangkan jualan kenderaan baru di Jepun kembali tumbuh kepada 2.3 peratus pada Ogos lalu. Industri menegaskan bahawa pertumbuhan itu disumbang oleh beberapa faktor seperti potongan cukai bagi kenderaan mesra alam dan subsidi untuk pembeli kereta baru.

Pengerusi Japan Automobile Manufacturers Association (JAMA), Satoshi Aoki menyatakan pasaran kenderaan Jepun sudah matang.

"Minat golongan muda terhadap automobil semakin kurang. Jadi, kami perlu berusaha membuatkan kereta menjadi lebih menarik. Lagi pun, mereka merupakan pelanggan penting pada masa akan datang," katanya yang juga Pengerusi Lembaga Honda Motor Co.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: