Wednesday, November 11, 2009

Imej Takaful Malaysia lebih bertenaga


DUA model, Lee Peng (kiri) dan Phoebe menunjukkan logo terbaru Takaful Malaysia pada majlis pelancaran penjenamaan semula syarikat itu di Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR - Setelah berada dalam pasaran selama 25 tahun, Syarikat Takaful Malaysia Berhad (Takaful Malaysia ) kini berubah wajah menerusi logo terbarunya yang lebih muda, moden dan bertenaga dalam usaha meningkatkan penguasaan pasarannya dalam industri takaful tempatan dan antarabangsa.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohamed Hassan Kamil berkata, peningkatan penguasaan pasaran sebanyak 10 peratus lagi dijangka dicapai dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

"Sehingga kini, penguasaan pasaran bagi syarikat adalah sebanyak 40 peratus berdasarkan pada saiz jumlah aset dan ia disasarkan meningkat sehingga 50 peratus dalam tempoh berkenaan,'' katanya selepas majlis penjenamaan semula dan ulang tahun Takaful Malaysia ke-25 di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang disaksikan oleh Pengerusi BIMB Holdings Berhad, Tan Sri Samsudin Osman.

Sehingga bulan lalu, saiz aset Takaful Malaysia ialah di antara RM4.2 bilion sehingga RM4.3 bilion.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: