AMPANG - Penantian seorang ibu tunggal, Inson Yaakob, 52, untuk mendapatkan bekalan air bersih sejak 25 tahun yang lalu berakhir apabila menerima bekalan air bersih daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).
Ibu kepada 12 orang anak yang tinggal di Ulu Sungai Ampang, Lembah Jaya Utara Ampang, Hutan Rimba Ampang di sini menarik nafas lega kerana berjaya mengecapi apa yang diidam-idamkan selama ini.
Apa yang lebih menggembirakannya, kos pemasangan paip sebanyak RM2,000 ditanggung oleh pihak Syabas.
Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, walaupun Syabas telah meluluskan permohonan untuk menyalurkan bekalan air tetapi ia tidak dapat dibuat kerana Inson tidak mampu mengupah kontraktor memasang paip.
"Sebelum ini, Syabas tidak mengetahui kedaifan hidup Inson dan anak-anaknya tetapi selepas dia menghantar surat memohon bantuan, barulah Syabas turun padang melihat kawasan rumahnya.
"Disebabkan Inson adalah ibu tunggal yang tidak bekerja, maka Syabas bersetuju untuk memasang paip secara percuma di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat," katanya kepada pemberita selepas memasang meter paip air di rumah Inson semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: