
BERDIRI sekali lagi sebagai sebuah grup dan meneruskan kimia mereka, Dengarband adalah sebuah band baru yang dianggotai orang-orang lama dalam industri. Masak benar dengan perjalanan kehidupan sebagai anak seni, grup yang disertai Sham (vokal/gitar), Kodok (keyboard/perkusi/harp) dan Achid gitar/suara latar) ini meneruskan perjuangan demi cita-cita mereka. Masa dan usia bukanlah faktor yang menjadi noktah bagi cita-cita dan cinta mereka.
"Kami balik kepada muzik yang kami gemari. Mudah didengar dan terselit unsur-unsur ketuhanan. Liriknya memang lebih kepada unsur Islam dengan melodi pop. Sesuai dengan jiwa kami malah sebenarnya muzik begini sebenarnya adalah kegemaran kami sejak dulu," ulas Sham yang satu ketika dahulu pernah memegang posisi vokalis untuk Barongan dan Krayon. Malah ujarnya sejak mula memasuki grup Krayon jiwanya memang berpaksikan lagu ketuhanan. Konsep yang sama sudah dibawakan oleh Krayon dan kemudiannya disambung di grup Barongan.
Kini dengan Dengarband, mereka mengetengahkan single yang bertajuk Taqwa mereka harap segala penulisan jiwa mereka dapat didengari sesuai dengan nama yang mereka pilih untuk grup ini.
"Kami juga bergerak secara bebas. Semuanya dilakukan sendiri. Baik dari sudut penghasilan material hinggalah ke rakaman dan pembuatan klip video. Semuanya kami bikin sendiri," ujar mereka yang mengambil masa sebulan melalui proses rakaman lagu-lagu antaranya KeranaNya dan Ampuni Aku.
"Bukannya ada niat untuk bersaing dengan pemuzik-pemuzik indie kini. Kami masuk ikut serta. Indie cara kami dan berwajah lama. Aliran muzik kita mungkin berbeza tetapi perjalanan kita sama. Kami juga mahu sama-sama berada di pentas bersama anak-anak indie ini," ulas mereka panjang lebar.

Dengarband membuat keputusan untuk merakam EP mini dengan lima buah lagu bagi mencuba nasib dalam industri muzik yang masih kurang menampilkan konsep muzik akustik dan menganggap mereka perlu bijak mengambil peluang dengan kelainan ini.
"Kami mahu dikenali sebab matlamat kami bermuzik. Kami mahu mencari ruang dan peluang yang ada dan tidak menolak media. Dengarband tidak pernah berhenti mencuba untuk menunjukkan bakat dan muzik kami. Ini adalah usaha all out kami bertiga," ujar Kodok yang merupakan pemuzik bebas yang sering bermain di Dewan Felda Semarak.
Menurut Kodok lagi, jika Rabbani merupakan penyanyi tetap bulan Ramadan di Hotel Singgahsana, mereka pula adalah residen di Dewan Felda Semarak sepanjang bulan mulia tersebut. Malah sudah enam tahun mereka memberikan hiburan kepada pengunjung yang berbuka puasa di sana.
"Muzik kami boleh didengari oleh semua. Korporat, acara makan malam, anak muda dan sesiapa atau di mana sahaja. Kami tidak mahu menjadi mangsa konsep dan merasakan perlu memberi apa yang jujur daripada naluri dan kecintaan kami," bicara pula Sham.
Jujurnya lagi mereka mahu menjadikan album ini sebuah killer album yang tidak tertumpu kepada sebuah lagu terbaik sahaja. Malah album yang dirakamkan di Studio Marego ini akan memberi rasa damai kepada pendengar grup ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: