Sunday, November 8, 2009

Fiqa buat Rosyam menangis

Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin, 20, berjaya mengetepikan saingannya yang lain untuk merangkul wang tunai bernilai RM10,000 dan bergelar Ikon Gadis Melayu (GM) TV9 musim kedua.

Keputusan itu diumumkan oleh pasangan pengacara, Adlin Aman Ramlie dan isterinya, Emelda Rosmila yang disiarkan secara langsung menerusi TV9 malam kelmarin.

Persembahan lakonan monolog beliau yang diberi judul Sebuah Pengorbanan berjaya meruntun jiwa penonton yang hadir sehinggakan mampu membuatkan juri profesional, Rosyam Nor menitiskan air mata.

Lakonan beliau yang dibantu aktor Fauzi Nawawi berpaksikan pada penceritaan adik kepada seorang penagih dadah yang terpaksa memikul beban menjaga adik-adiknya lain setelah kematian kedua-dua ibu bapanya.

Fiqa cemerlang membawakan wataknya itu dengan berkesan hinggakan seluruh dewan bagaikan terpaku diam menyaksikan air mata Fiqa yang menderu laju bagaikan tanpa dipaksa.

Gadis yang masih menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Sains Mikro Biologi itu merupakan peserta tunggal yang bertudung dan termuda antara 12 finalis GM musim ini.

“Saya cukup meminati bidang penyiaran dan biologi. Saya harap, selepas ini saya diberi peluang untuk menggabungkan kedua-dua bidang ini untuk mencapai impian saya,” jelasnya ketika ditemu bual sejurus selepas tamatnya siaran langsung GM2 yang diadakan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Menurut Fiqa yang berdarah kacukan Jepun, Serani dan Melayu ini, Putri Noor Nawal Ramlan atau Putri merupakan saingan terdekatnya.

Ketua Pengurusan Penjenamaan Kumpulan TV9, Rozaina Zainul Abidin berkata; “Markah daripada juri profesional sangat sengit. Terdapat dua peserta yang berada di kedudukan yang sama iaitu Fiqa dan Lin. Undian SMS yang menobatkan Fiqa sebagai juara malam ini.”

Selain Rosyam, juri profesional terdiri daripada penyanyi Syafinaz Selamat, Editor Hiburan, Adam Salleh dan juga Editor Majalah Kosmopolitan, Izza Safinaz.

Bagaimana pun, majlis pada malam itu tercalar sedikit dengan kelewatan penyanyi Noraniza Idris yang sepatutnya menjayakan segmen pembukaan bersama kesemua 12 finalis GM2 atas alasan kesesakan lalu lintas.

Selain wang tunai, Fiqa juga mendapat tawaran kontrak bersama TV9 untuk menjayakan rancangan terbitan stesen TV tersebut sebagai pengacara.

Fiqa juga dinobatkan sebagai Gadis Safi dan membawa pulang wang tunai RM3,000 manakala Finaz diangkat sebagai Gadis Bijaksana dengan hadiah kemenangan berupa wang tunai sebanyak RM2,000.

Selain Fauzi Nawawi, beberapa orang artis turut diundang bagi menjayakan persembahan peserta seperti The Fabulous Cat, Beego, Alam (So You Think You Can Dance) dan penari profesional, Shazlan.

Peringkat akhir GM2 itu juga dimeriahkan dengan persembahan dua artis muda, Tomok dan Black dan dihadiri tetamu kehormat, Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidon.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: