Sunday, November 8, 2009

10 peserta My Starz LG bakal berentap



Kelmarin, LG Eletronics (M) Sdn BHd dan TV3 telah mengumumkan sepuluh peserta akhir bagi rancangan realiti TV My Starz LG musim ketiga, yang bakal bersaing memenangi hadiah utama RM100,000.

Sepuluh peserta bertuah yang bakal berentap esok terdiri daripada lima peserta lelaki dan lima peserta wanita - Maisarah Ismail (Sarah) 22; Nur Lydazura Abd Aziz (Lyda) 22; Senisah Majilin (Chind) 21; Raja Farah Afzal Raja Ikram (Tom) 23; Nor Shahida Jamaluddin (Sha), 19; Ahmad Azam Pit (Azam), 23; Jaymeral Henry Ikram (Jay), 19; Muhamad Hafidz Muhamed Kami (Apiz), 22; Noorsyaiful Md Zaludin (Epul) 21 dan Muhammad Farid Anuar (Farid) 22.

Bertempat di Anggerik Mall, Shah Alam, kesemua peserta ini turut mempamerkan bakat terpendam mereka. Bagaimanapun persaingan sengit lebih dilihat pada peserta wanita yang bukan sahaja mempunyai vokal yang mantap tetapi juga memiliki pakej lengkap sebagai ‘bintang’.

Raja Farah Afzal Raja Ikram (Tom), misalnya, bukan calang-calang orangnya, kerana gadis genit yang berusia 23 tahun ini pernah memenangi tiga anugerah dalam pertandingan ‘World Championship Of Performing Arts’ (WCOPA) di Hollywood. Meskipun bakatnya sudah mendapat pengiktirafan di luar negara, namun dia masih ingin mencuba nasib dalam pertandingan My Starz LG yang dianggap platform mengembangkan bakatnya.

“Walaupun saya pernah menang anugerah di luar negara, tetapi publisiti tentang saya kurang meluas, jadi dengan menyertai My Starz LG, saya harap nama saya dapat diketengahkan,” katanya yang pernah beberapa kali menyertai uji bakat untuk program realiti Akademi Fantasia, namun tidak pula terpilih.

Tidak kurang hebatnya juga dengan peserta lain, Maisarah Ismail atau Sarah, 22, yang bukan sahaja mempunyai vokal yang hebat tetapi juga memiliki rupa paras yang pastinya mudah mendapat ‘undi’ dari peminat di luar sana.

“Ini merupakan kali pertama saya sertai pertandingan realiti kerana sebelum ini saya sibuk belajar dan saya memang memilih My Starz LG kerana saya percaya program ini dapat membantu saya mencapai cita-cita jadi penyanyi. Selain menawarkan hadiah yang lumayan, saya juga percaya dengan program realiti di bawah TV3, akan membuatkan saya mudah dikenali,” katanya yang pernah belajar vokal di Aswara.

Selain dua peserta wanita ini, peserta lelaki Jay atau nama sebenarnya Jalmeral Henry Monis, 19, juga berbakat besar dalam nyanyian dan mampu memberikan saingan yang hebat kepada semua peserta. Menurut Jay, ini juga merupakan kali pertama dia menyertai pertandingan nyanyian dan berharap dapat menjuarai My Starz LG.

“Pada saya, semua peserta hebat-hebat tapi saya akan cuba sebaik mungkin untuk terus bertahan dalam pertandingan ini. Saya percaya dengan bakat dan kesungguhan yang ada, saya akan menang pertandingan ini,” katanya.



Pecah dua kumpulan hingga minggu kelapan

Tidak seperti musim lalu, format dan konsep pertandingan My Starz LG telah diubah sedikit bagi memberi kelainan dalam My Starz LG. Menurut Penerbit My Starz LG, Nurul Huda Khalid, musim ini menyaksikan peserta My Starz LG dipecahkan pada dua kumpulan iaitu Kumpulan A yang terdiri daripada lima peserta lelaki dan lima lagi peserta wanita dalam Kumpulan B.

“Pada Ahad ini, kita akan perkenalkan kumpulan A terlebih dahulu dan barulah kumpulan B pada minggu hadapan. Mereka akan berentap hinggalah tiga peserta sahaja yang tinggal dari kumpulan masing-masing. Dan barulah kita akan gabungkan enam peserta ini dalam satu konsert iaitu pada minggu kelapan nanti,” katanya yang mengharapkan perubahan itu dapat menarik penonton untuk mengikuti program realiti ini.

Konsert mingguan My Starz LG yang diacarakan oleh Naz (Nazruddin Habibur Rahman) ini akan diadakan secara langsung pada setiap Ahad di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Manakala segmen Star Lives pula akan disiarkan pada setiap Sabtu, 7.30 malam dengan menampilkan Puteri Andreanna Syigim (Anne) sebagai pengacara.

Keputusan konsert mingguan terdiri daripada 100 peratus undian SMS daripada penonton. Bagaimanapun, juri mempunyai kuasa untuk memutuskan nasib dua peserta tercorot. Seperti musim lalu, penerbit Azhar Abu Bakar atau lebih dikenali Azmeer masih menduduki kerusi juri dan akan bekerjasama dengan dua juri jemputan setiap minggu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: