NAMA pelakon Eira Syazira, 25, kembali meledak. Kali ini bukan kerana potensinya sebagai pelakon yang cemerlang membawa watak, sebaliknya kerana dikatakan telah menjadi orang ketiga dalam rumah tangga teman pelakon, Wan Sharmila dan suaminya, penerbit Radius One, Fazli.
Bagaimanapun, pelakon ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut. Barangkali kerana dia kini berlakon di bawah produksi tersebut, Cinta Balqis yang kini hangat ditayangkan di TV3 setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 6.30 petang.
“Saya pun tak tahu kenapa saya dikaitkan. Saya tiada masalah dengan Wan Sharmila, begitu juga suaminya. Saya hanya pelakon yang berlakon dalam produksi mereka,” ujar Eira yang sebelum ini pernah dikaitkan mempunyai hubungan dengan pelakon Ryzal.
Membawa watak Balqis, janda yang mengharungi pelbagai liku selepas kematian suaminya, Eira sekali lagi bakal meraih simpati khalayak dengan nasib dirinya.
Seiring penayangan Cinta Balqis, Eira turut menagih perhatian menerusi lakonannya dalam Issandra yang sebelum ini menjadi buah mulut selepas dia terpilih menggantikan Memey kerana pelakon tersebut ditangkap khalwat bersama Norman Hakim.
Issandra yang berkisah tentang gadis yatim piatu berusia 18 tahun mengisi slot Galeri Famili pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 1.30 petang di TV2.
Karier awalnya bermula pada tahun 2001 selepas terbabit dalam drama Lara Sunti sebelum meraih populariti menerusi drama Meniti Bara, Ku Milikmu, Embun Mutiara, Sinderella dan Kasanova XXL.
Gadis manis berambut panjang ini juga pernah terbabit dalam dunia teater dengan membintangi teater Lela Manja dan Lorong 2/19.
“Saya tidak pernah memilih watak. Setiap tawaran yang datang akan saya lakukan dengan sebaik mungkin,” ujar anak kedua daripada enam beradik ini.
Melalui pengalamannya sepanjang lapan tahun bergelar anak seni mempamerkan kredibiliti yang tidak dapat dinafikan lagi.
Walau dihambat pelbagai kontroversi, mutu lakonannya tetap konsisten. Seperti prinsipnya, mempersetankan nista orang, dia harus bekerja keras untuk berjaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: