KEDUA-DUA figura ini, Ramli Sarip dan Jay Jay sudah lama makan garam dalam industri hiburan tanah air.
Perjalanan panjang karier mereka, daripada penyanyi kumpulan kemudian bergerak solo, turut menjadikan mereka ibarat khazanah seni negara.
Mereka berdua bakal bergabung bersama Datuk Khadijah Ibrahim untuk konsert An Evening With Datuk Khadijah Ibrahim Featuring Ramli Sarip yang akan diadakan pada 4 Disember 2009 di Dewan Konvensyen, Persada Johor, Johor.
Ia anjuran bersama Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor dan Hotel Puteri Pacific Johor Bahru.
Ruangan Kopitiam mengajak kedua-dua penyanyi separuh abad ini berbicara tentang industri dan warna seni dunia hiburan masa kini.
Untuk konsert bersama Khadijah Ibrahim, apa yang boleh penonton jangkakan daripada kalian?
JAY JAY (J): Sebenarnya saya dan pihak pengurusan baru berbincang pada Isnin lepas tentang penampilan saya dalam konsert Khadijah Ibrahim.
Mereka menjemput saya selepas menonton persembahan saya pada konsert Black Dog Bone di Istana Budaya tempoh hari. Untuk konsert Khadijah, saya akan menyanyikan kira-kira enam buah lagu.
RAMLI SARIP (R): Konsert makan malam bunyinya seperti kurang kebebasan. Tapi apa yang boleh dikatakan tentang konsert tersebut ialah ia akan kurang protokol dan suasananya betul-betul seperti sebuah showcase.
Saya akan menyanyikan sekitar tujuh buah lagu termasuk lagu duet saya bersama Jay Jay iaitu Senandung Hidup Berbudi yang belum pernah kami nyanyikan secara langsung.
Saya juga tidak menganggap ini satu undangan sebaliknya merupakan gabungan kami bertiga. Ia kombinasi yang baik.
Cerita tentang konsert, bagaimana kalian melihat nilai sesebuah konsert kini?
J: Saya dan Abang Ramli bermula pada era yang sama. Saya dengan Carefree manakala Ramli dengan Sweet Charity.
Kebanyakan penyanyi solo sekarang juga bermula dengan sebuah grup. Ini ada kena-mengena dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan live.
Itu langkah-langkah untuk menjadi penyanyi. Daripada khemah orang kahwin, ekspo, fun fair hinggalah konsert. Sayangnya perkara seperti itu sudah tidak berlaku sekarang.
Saya rasa aksi live terakhir seperti itu dilakukan oleh XPDC pada tahun 90-an. Ini amat menyedihkan. Kita sudah tidak ada pentas konsert kecil untuk artis beraksi seperti dahulu.
R: Saya rasa semua itu memerlukan feel. Kekuatan sesebuah konsert mesti ada faktor itu. Kalau kita lihat konsert Eric Clapton, Phil Chollins dan Bob Marley, mereka tidak perlu penari yang ramai.
Mereka boleh berdiri sendiri dengan memberikan persembahan yang baik kerana feel itu.
Namun, ada juga penyanyi seperti Madonna memerlukan penari dan alat pementasan yang pelik kerana mereka seorang penghibur.
Apa yang penting, jangan terlalu ghairah atau berlebih-lebihan. Berdiri dan fokus dengan persembahan demi kepuasan penonton.
Bagaimana artis seangkatan kalian berjuang dalam industri kini?
R: Seni itu satu kehidupan. Tuhan berikan saya bakat untuk berjuang dalam seni dan dengan itu saya mesti memberikan yang terbaik.
Saya memang cintakan persembahan malah menganggap diri sebagai satu persembahan.
Saya suka bakat yang dianugerahkan ini dihayati. Saya juga menerapkan unsur-unsur doa dalam lagu saya dan itu juga satu perjuangan.
J: Perjalanan saya bersama Ramli lebih kurang sama iaitu pada era yang sama. Ini semua kuasa Tuhan.
Kita tidak tahu apa yang kita ada dan yang penting perlu yakin bahawa ada rezeki yang diberikan kepada kita.
Saya lihat artis seangkatan kami lagu-lagu mereka masih hidup dan itu sebenarnya yang menjana pendapatan.
Khalayak datang ke konsert kami bukan untuk mendengar lagu orang lain tetapi mahu menonton kami menyanyikan lagu-lagu kami.
Kenapa penaja kurang berminat untuk menaja konsert sekarang?
J: Penonton dimanjakan sebenarnya. Tetapi kita masih bernasib baik kerana kita hidup di negara yang sedang membangun dan masih ada begitu banyak pintu rezeki.
Selain konsert, artis berpeluang muncul dalam persembahan makan malam dan acara korporat.
Kita juga ada acara seperti Tahun Baru dan Hari Kemerdekaan. Itu semua merupakan punca rezeki.
Tapi nilai konsert berbayar dan percuma itu berbeza. Begitu juga feel apabila menonton. Konsert berbayar sebenarnya lebih memberi kepuasan.
Apa cara untuk memartabatkan konsert berbayar ini?
J: Saya lihat pihak Istana Budaya semakin aktif menganjurkan persembahan baik konsert ataupun teater muzikal. Saya harap perkara ini berterusan dan khalayak menyokongnya.
Apa yang pihak Persada Johor dan Philharmonik lakukan juga bagus. Saya harap usaha ini juga berterusan.
R: Saya harap pihak seperti Persada Johor akan kekal dengan usaha begini. Johor Bahru sebenarnya meriah dengan aktiviti seni.
Biasakan orang ramai membayar untuk menonton. Pecahkan tradisi menonton konsert atau acara hiburan percuma.
Buat Ramli Sarip, bagaimana keghairahan dalam bermuzik kini?
R: Ada positif dan negatifnya. Ini adalah sebuah perjalanan yang ada naik dan turun. Sebuah perjalanan yang mengajar kita untuk berdikari dan yakin. Selagi ada peminat yang setia, saya tidak takut.
Artis yang tinggal sekarang harus dijadikan rujukan oleh golongan pelapis. Ada peminat yang mengatakan zalim kalau saya berhenti menyanyi sekarang.
Selagi diizinkan Tuhan, saya akan terus menyanyi. Peminat sudah tahu kekuatan dan perjalanan saya. Saya diajar untuk belajar dalam kehidupan ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: