MICHAEL BUBLE, lelaki kelahiran Kanada ini sudah membina ciri tersendiri dalam portfolio nyanyiannya.
Suntikan cinta yang dibiaskan dalam alunan lagunya menampakkan lelaki ini juga mewah dengan perasaan itu untuk dikongsi bersama para peminat.
Anak kepada nelayan ini pada awalnya pernah ditolak daripada industri, kononnya aliran muzik yang dibawanya sukar dipasarkan.
Namun, cinta dan bakat yang seiring itu kemudian membuka mata khalayak dengan kemunculan album sulungnya dengan judul yang menggunakan namanya sendiri.
Dia kemudian dilihat sebagai penyanyi lelaki yang mempunyai aura dan identiti yang tidak klise.
Kini Buble memberikan cinta sekali lagi menerusi album Crazy Love yang memuatkan single Haven't Met You Yet.
Patah hati dengan aktres Emily Blunt akhir tahun lalu tidak menghalang lelaki ini untuk menumpahkan idea cintanya. Album ini mengandungi 11 buah lagu (dengan dua lagu original) dari era berlainan dan telah pun dilancarkan pada 13 Oktober lalu.
Bicara pemilik sebuah pasukan hoki ais junior, Vancouver Giants ini: "Saya meraih emosi yang dalam dan lebih berasa introspektif untuk album ini. Jujurnya, saya menyanyi dengan ikhlas dan menjadikan setiap lagu itu satu autobiografi dan anda akan dengar kelainan itu."
Tambah Buble yang muncul dalam program Michael Buble: Crazy Love di ntv7 pada pukul 4.30 petang ini: "Saya kembali kepada cara idola saya membuat rekod. Saya berikan rasa yang organik dan mahu peminat berasa seperti berada di studio."
Penjualan CD Buble setakat ini telah meraih angka 22 juta unit di seluruh dunia. Bersyukur bakatnya diterima khalayak, pemenang anugerah vokalis lelaki terbaik di Anugerah Muzik Kanada ini turut membantu meraih sumbangan untuk mangsa kebakaran di Australia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: