Sunday, November 15, 2009

Jejak Jerejak

Aktiviti treking hutan di Pulau Jerejak, Pulau Pinang akan menemukan pengunjung dengan tinggalan penjara dan hospital lama yang memiliki pelbagai kisah.




MENGIKUTI aktiviti merentas hutan di Pulau Jerejak di Pulau Pinang bukan saja memberi manfaat kecergasan.

Semakin dalam seseorang ‘ditelan’ laluan treking itu, semakin banyak lembaran kisah lampau dibuka satu demi satu.

“Treking dalam hutan Jerejak? Bahaya betul, takut ada yang keteguran,” kata seorang teman yang menyertai krew Jurnal.

Namun, segala andaian tentang kisah seram dan misteri di bekas tapak penjara dan hospital kusta di situ hanya dapat difahami dengan penerimaan logik kalau melangkah sendiri di atas perut tanahnya.

“Jangan dikacau atau ambil apa-apa objek di sini. Biarkan sahaja ia di tempatnya,” pesan Mohamad Faizal, petugas rekreasi Jerejak Rainforest Resort tatkala membawa kami melewati tinggalan dapur lama berupa runtuhan konkrit yang dahulunya merupakan dapur kuarters pegawai penjara.

Sepanjang 30 minit mendaki cerun securam 35 hingga 45 darjah pada awal perjalanan rentas hutan tersebut, fikiran secara tidak langsung mengimbas semula asal-usul Pulau ‘Alcatraz Malaysia’ itu.

Kubur askar Rusia

Sebelum Francis Light membina nama di Pulau Pinang, pembuka koloni British itu telah sampai terlebih dahulu di Pulau Jerejak pada awal tahun 1786.


KORIDOR usang di penjara ini suatu masa dahulu penuh kisah cemas.


Oleh kerana ia gagal dijadikan pangkalan tentera laut pada tahun 1910 kerana kalah dari segi potensi berbanding Jamestown (kini Bayan Lepas), Pulau Jerejak dijadikan pusat kuarantin kesihatan.

Selain berfungsi sebagai gerbang pemeriksaan tahap kesihatan imigran asing yang hendak bekerja di Pulau Pinang, pusat itu juga menjadi tempat kuarantin para jemaah haji yang balik dari Mekah sebelum mereka dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga.

Landskap awal Jerejak diikuti dengan pembinaan sebuah hospital untuk pesakit batuk kering dan kusta di sudut timur pulau ini pada akhir 1930-an. Ia boleh menempatkan sehingga 150 orang pada satu-satu masa.

Sebenarnya, tahun-tahun awal pembukaan Jerejak akan mengimbas ingatan seseorang kepada beberapa kisah, antaranya tentang serangan malaria akibat kerja pemugaran hutan bagi membuka Georgetown dan kemudian diikuti dengan tempias Perang Dunia Kedua. Kisah kebangkitan semangat nasionalisme di Tanah Melayu juga tidak terkecuali.

Oleh kerana British terasa kedudukan mereka terkepung dalam isyarat cemas dan berjaga-jaga, mereka mengisytiharkan Darurat pada tahun 1948 dan meluluskan Akta Darurat bagi membolehkan pejuang-pejuang kemerdekaan ditangkap dan dipenjarakan.

Pulau Jerejak sekali lagi ditransformasi, kali ini menjadi salah sebuah Kem Tahanan Politik British pada tahun 1948. Ketika itu, semua orang berasa gerun kalau mendengar nama Penjara Pulau Jerejak atau Pulau Buangan.


PANDANGAN dari dalam pondok kawalan pintu masuk penjara.


Tahanan lolos

Krew Jurnal yang berpeluang melihat ke dalam setiap 12 buah lokap kecil itu cuba membayangkan keperitan penghuninya suatu masa dahulu.




“Di sini, setiap satu bilik ‘disumbatkan’ sehingga lima orang tahanan. Paling ramai yang pernah dipenjarakan di sini ketika itu adalah anggota pasukan Angkatan Pemuda Insaf (API),” ulas Halim tentang ruang yang berkeluasan kira-kira lima meter persegi itu.

Selain pengasas parti sosialis Melayu tersebut iaitu Ahmad Boestaman, tokoh lain yang pernah dipenjarakan di situ adalah Dr. Burhanuddin Al Helmi, Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Cikgu Muhd Yusof Ayob, Rashid Karim, Ibrahim Karim dan ramai lagi.

“Pulau Jerejak kemudiannya menjadi Pusat Pemulihan Akhlak bagi mereka yang ditahan ketika berlakunya tragedi 13 Mei 1969.

“Ia mula beroperasi pada 12 Jun 1969 dan dikendalikan Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang,” terang Halim.


PESERTA treking melewati sebuah perigi lama dalam perjalanan ke bangunan penjara.


Pada tahun 1981, seramai 100 orang tahanan merusuh kerana tidak berpuas hati dengan tempoh lanjutan penahanan. Semakin lama, bilangan tahanan semakin bertambah, hinggakan jumlahnya pernah mencecah 982 orang. Isu keselamatan menjadi kritikal.

“Sebagai langkah keselamatan, nelayan-nelayan tidak dibenarkan menghampiri pulau tersebut dalam lingkungan 200 meter dari pantai.

“Kalau ada yang menghampiri dalam jarak tersebut, tembakan amaran akan dilepaskan,” kata Halim yang memberitahu bahawa ada juga tahanan yang berjaya meloloskan diri.


TINGGALAN di dapur kuarters pegawai penjara yang kini ditemui di belakang resort.


Menyedari permasalahan kapasiti dan pengurusan penjara ini, kerajaan memutuskan untuk menutup operasinya pada tahun 1990 dan semua tahanan dipindahkan secara berperingkat ke Penjara Muar dan Simpang Renggam, Johor. Semenjak itu, Pulau Jerejak hanyalah sebuah kanvas sejarah.

Soalnya, setelah betapa banyak kisah sisa peperangan, layanan tahanan penjara, kematian di hospital kusta serta dendam pejuang yang tidak kesampaian, adakah salah kalau seseorang mahu percaya pada cerita-cerita seram yang disampaikan dari mulut ke mulut tentang Pulau Jerejak?

“Dahulu mungkin ramai yang mendakwa terserempak dengan ‘sesuatu’, sekarang sudah tidak ada lagi, jangan khuatir. Datang dan berseronoklah di sini,” kata orang kuat di sebalik resort yang kini mewarnai peta pelancongan negeri.asan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: