Monday, November 9, 2009

Datuk bandar mangsa letupan pasar kambing


ANGGOTA keselamatan Pakistan memeriksa sebuah kereta yang diletakkan berhampiran lokasi letupan berani mati di Adazai, Peshawar.


PESHAWAR - Seorang penyerang berani mati Taliban meletupkan dirinya di sebuah pasar yang sesak dengan orang ramai menyebabkan sekurang-kurangnya 12 terbunuh termasuk Datuk Bandar Matni, Abdul Malik, kata polis di sini semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa melawat sebuah pasar di bandar Adazai, 16 kilometer dari sini yang penuh dengan kambing untuk dijual sempena perayaan Hari Raya Aidiladha.

Seorang pegawai tinggi kerajaan, Sahibzada Anis berkata, Abdul Malik pernah terselamat dalam beberapa serangan sama namun kali ini bekas penyokong Taliban itu akhirnya maut.

Serangan mengejut itu turut menyebabkan 36 orang cedera, kata Dr. Mohammad Mukhtar di sebuah hospital kerajaan di sini.

Ketua Polis Peshawar, Liaquat Ali Khan berkata, Abdul Malik yang juga bekas ketua militia Lashkar, menjadi sasaran utama dan dibom sebaik penyerang itu berada dekat dengan mangsa.

"Abdul Malik berpaling tadah menjadi penyokong kuat kerajaan Pakistan beberapa tahun lalu dan mendapat sokongan penduduk Matni untuk menentang militan Taliban," katanya.

Pemberontak melancarkan banyak siri serangan ganas membunuh lebih 300 orang awam dan tentera beberapa minggu lalu sebagai tindak balas terhadap operasi kerajaan Pakistan memerangi pengaruh Taliban di selatan Waziristan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: