Monday, November 16, 2009

My Starz LG musim ketiga papar kelainan


Bersedia... 10 peserta yang bakal berentap merebut gelaran juara My Starz LG musim ketiga.


TIDAK seperti dua musim sebelum ini, pertandingan pencarian bakat nyanyian My Starz LG kali ini menampilkan pelbagai kelainan dan pembaharuan sesuai dengan peningkatan usia penganjurannya yang semakin bertambah.

Melangkah ke musim yang ketiga, tidak mahu dianggap terlalu klise dengan konsep persembahan dan kandungan yang seakan-akan hampir menyerupai pertandingan realiti lain, 10 peserta dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan peserta lelaki dan kumpulan peserta wanita.

Bertemu penerbitnya, Nurhul Huda Khalid pada majlis pengumuman 10 peserta rancangan itu yang berlangsung di Anggerik Mall, Shah Alam baru-baru ini, berkata, perubahan tersebut memberi kelainan ketara untuk musim kali ini berbanding dua musim sebelumnya.

Peserta rancangan itu termasuklah Maisarah Ismail (Sarah), Nur Lydazura Abd. Aziz (Lyda), Senisah Majilin (Chind), Raja Farah Afzal Raja Ikram (Tom), Nor Shahida Jamaluddin (Sha), Ahmad Azam Pit (Azam), Jaymeral Henry Monis (Jay), Muhamad Hafidz Muhamed Kamal (Apiz), Noorsyaiful Md. Zalaludin (Epul) dan Muhammad Farid Anuar (Farid).

Memulakan siaran pada 8 November lalu secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, pertandingan itu turut bersiaran di TV3 pada setiap Ahad pukul 10.30 malam.

"Kita pecahkan kepada dua kumpulan kerana kita ada minggu pengenalan untuk memperkenalkan peserta pada minggu pertama siaran.

"Konsep yang cuba kita bawakan ialah memperkenalkan peserta lelaki terlebih dahulu kemudian barulah memperkenalkan peserta wanita.

"Penyingkiran bakal bermula pada minggu ketiga tetapi kami tetap akan kekalkan konsep berkumpulan sehingga tinggal tiga peserta lelaki dan tiga peserta wanita kemudian baru kami gabungkan mereka pada episod kelapan," katanya.

Dari segi kandungan persembahan, kata Nurhul Huda, saban minggu tugasan yang diberikan kepada peserta semakin bertambah mengikut kebolehan masing-masing termasuklah tarian, lakonan dan juga mengacara.

Kata Nurhul Huda lagi, setiap peserta yang dipilih menyertai pertandingan itu mempunyai bakat dan keistimewaan tersendiri.

Malah, fokus untuk para peserta kali ini termasuklah menitik beratkan hala tuju dalam mengasah bakat peserta mengikut genre muzik yang bersesuaian dengan mereka.

"Satu lagi kelainan untuk musim ini ialah kita akan fokuskan tugasan kepada mereka mengikut kebolehan dan genre muzik yang bersesuaian dengan mereka," kata Nurhul Huda lagi.

Landasan terbaik

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa salah seorang pesertanya, Raja Farah atau Tom sebelum ini pernah mengharumkan nama negara dengan memenangi beberapa pingat termasuk pingat emas bagi juara dunia kategori vokal kontemporari pada pertandingan World Championship Of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles baru-baru ini.

Menyertai My Starz LG ternyata memberi satu lagi peluang buat Tom dalam mengasah bakat nyanyian.

Bagaimanapun kali ini impaknya lebih besar kerana dia berpeluang membuat persembahan di hadapan ribuan malah mungkin jutaan penonton yang turut mengikuti rancangan itu menerusi kaca televisyen.

Membuktikan kebolehan menyanyi, memenangi beberapa pingat ketika mewakili negara ke pertandingan WCOPA, apa yang kurang kini hanyalah publisiti yang boleh dikatakan tidak setimpal dengan kejayaan yang diperolehinya.

Menganggap My Starz LG sebagai medan terbaik untuknya menimba ilmu dan memenangi hati masyarakat, seboleh mungkin Tom enggan masyarakat menganggapnya cuba mengejar populariti.

"Saya takut juga dengan pandangan negatif daripada masyarakat. Saya sedar keputusan pertandingan ini akan bergantung sepenuhnya kepada undian penonton dan untuk menarik minat masyarakat bergantung kepada kebijaksanaan seseorang peserta.

"Namun, saya sudah bersedia untuk menanggung segala risiko. Saya percaya segalanya bergantung kepada rezeki daripada Tuhan.

"Undian 100 peratus daripada penonton tidak semestinya kita tiada bakat. Apa yang penting, saya perlu buat yang terbaik dan keluarkan segala bakat yang terpendam" kata Tom yang menyanyi sepenuh masa di Envy Club, Mont Kiara, Solaris itu.

Seorang lagi peserta, Maisara atau Sarah ketika ditemui memberitahu, niat utamanya menyertai pertandingan itu sekadar mencuba nasib sementelah didorong minat yang mendalam terhadap nyanyian.

"Ini pertama kali saya sertai pertandingan nyanyian seperti ini. Seperti orang lain, saya ingin menonjolkan bakat nyanyian yang ada pada diri saya.

"Saya ingin tonjolkan kelainan diri dari segi persembahan kerana saya boleh menari malah pernah mengambil kelas piano sebelum ini untuk belajar vokal," kata bekas penuntut Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu.

Seperti Tom dan Sarah, Apiz peserta yang berasal dari Kuala Selangor ini juga tidak menolak bahawa menyertai pertandingan itu sebagai platform terbaik buatnya mempelajari dan mendalami ilmu muzik serta memperkenalkan diri.

Peniaga berusia 22 tahun itu juga memberitahu, apa yang menarik tentang pertandingan itu ialah peluang mengikuti konsep pertandingan serta memperoleh ilmu daripada tenaga pengajar yang begitu sukar diperolehi sebelum ini.

"Apa yang saya harapkan ialah dapat mempelajari sesuatu yang baru serta mendapat semangat untuk berhadapan dengan orang ramai ketika membuat persembahan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: