Monday, November 16, 2009

Nora Danish: Orang Ingat Saya Lembut, Boleh Pijak Kepala Saya!

Nora bergandingan dengan sahabat baiknya, Lisa Surihani menerusi filem 'Jangan Pandang Belakang Congkak 2'.

JIKA dulu, pelakon Nora Danish selalu mengambil langkah ‘selamat’ dan mendiamkan diri saat disoal tentang kisah peribadi seperti kontroversi penceraiannya.

Biar apa pun helah media, dia tetap tidak mahu memberikan komen dan terus-terusan membuat penafian sehingga terungkainya kebenaran.

Lantas, apabila tercetusnya isu dia tidak profesional dan menarik diri dari drama ‘Spa Qistina’, mudah pula Nora memberikan penjelasan sebenar.

Perubahan ketara Nora yang semakin berani bersuara itu 'menjerat' dirinya dan ramai pihak mula 'membuka mata' untuk mengetahui sebalik isu itu.

Isunya, Nora telah membuat perjanjian dengan produser Global Station Sdn Bhd, Datin Zaiton Mohd Jiwa agar tidak mempertemukan dirinya dengan pelakon Fasha Sandha, yang didakwa menjadi orang ketiga penceraiannya dengan bekas suami, Rizal Ashram.

Namun, Nora menganggap pihak produksi telah melanggar perjanjian itu setelah mendapati Fasha berada di lokasi penggambaran yang sama. Cara Fasha yang sedang bersolek dan membaca skrip di tangannya menimbulkan rasa curiga Nora yang pada waktu itu belum selesai berlakon lagi.

“Apabila sesuatu perkara itu menyentuh tentang prinsip dan harga diri, saya akan cuba pertahankannya.

“Sebelum ini, orang ingat saya lembut, jadi orang boleh pijak kepala saya. Sedangkan orang tak tahu yang saya seorang yang tegas,” ujarnya yang mula menjalani pengambaran filem terbarunya ‘Jangan Pandang Belakang Congkak 2’ sejak semalam.

Kesan daripada insiden itu, Nora berpendapat mungkin ada sesetengah produksi yang takut untuk mengambilnya berlakon.

Namun, ada juga pengarah dan produser yang masih setia menyokongnya seperti Adam Hamid dan Aziz M. Osman.

“Ramai juga yang masih percayakan saya lagi. Misalnya Abang Adam Hamid meyakinkan kepada sesetengah produser yang Nora tidak pernah mendatangkan masalah kepadanya,” katanya yang melakonkan watak sampingan bernama Seha dalam filem ‘Jangan Pandang Belakang Congkak 2’.

Filem yang turut dilakonkan oleh Mazlan Pet Pet, Cat Farish, Lisa Surihani, Azlee Senario, Piee, dan Bob Kuman ini mengisahkan tentang Pak Mor (Azlee) dan Mustika (Lisa) yang berpakat untuk menghapuskan Punai (Mazlan) dan Asmat (Cat).

Asmat memberitahu ada seorang bomoh yang dirasakan boleh menolong mereka iaitu Wak Ketari (Bob Kuman).

Lalu mereka pun pergi mencari rumah Wak Ketari. Mereka menceritakan apa yang terjadi kepada diri mereka dan mereka ingin menuntut ilmu ‘kebomohan’ daripada Wak Ketari.

Wak Ketari bersetuju untuk mengajar mereka tetapi mengenakan syarat-syarat yang ketat yang mesti mereka patuhi.

Pada mulanya mereka keberatan untuk belajar kerana syarat-syarat yang dikenakan terlalu ketat tetapi setelah terpandang Seha, anak gadis Wak Ketari yang cantik, terus mereka bersetuju untuk belajar.

Bermula dari hari itu, mereka belajar dan menghadapi berbagai masalah semasa belajar kerana Wak Ketari seorang yang tegas dan garang.

Sebelum mereka lulus, mereka dikehendaki menjalani satu ujian di mana mereka dikehendaki menangkap hantu.

Pak Mor dan Mustika mendapat tahu yang mereka kini menetap di kampung Wak Ketari.

Pada malam itu, Pak Mor dan Mustika dengan bantuan hantu-hantu mereka berjaya menculik Seha.

Wak Ketari kemudian menilik dan mendapati anaknya diculik oleh Pak Mor dan Mustika, kemudian mengarahkan Punai dan Asmat pergi menyelamatkan Seha.

Beritahu Nora, filem itu merupakan filem ketiganya selepas tiga tahun. Kali terakhir filem lakonannya adalah ‘Senario: Memburu Emas Yamashita’.

Namun filem itu merupakan filem pertamanya di bawah pengarah Ahmad Idham dan bergandingan dengan Bob Kuman.

"Walaupun saya sudah lama tidak berlakon filem, tetapi saya sudah bersedia kerana merasakan mutu lakonan saya semakin meningkat," jawabnya yang akan bercinta dengan Mazlan Pet Pet dalam filem itu.

Dalam masa yang sama, Nora juga meluahkan yang dia rindu untuk berlakon drama 'Puteri' memandangkan dirinya mula dikenali dan membesar dengan siri popular itu.

Bagaimanapun, Nora memaklumkan 'Puteri' tidak akan disambung dalam bentuk drama lagi tetapi khabarnya akan dibuat filem berjudul 'Puteri The Movie'.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: