Monday, November 2, 2009

Azlina pakar payu dara

Saban hari pakar payu dara, Dr. Azlina Firzah Abdul Aziz, 44, memikirkan tentang payu dara. Sehinggakan sudah tidak ada lagi rasa malu dalam dirinya apabila berbicara tentang anggota seksual wanita itu.




DR. AZLINA FIRZAH ABDUL AZIZ, 44, faham benar perasaan malu yang mungkin dialami kaum wanita apabila doktor yang memeriksa payu dara mereka ialah lelaki. Namun, menurut Pakar Bedah Payu Dara di Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL) itu, keadaan itu tidak dapat dielakkan kerana tidak ramai pakar wanita dalam bidang payu dara di Malaysia.

"Sesuatu yang normal untuk kaum wanita malu dengan keadaan ini, apa lagi wanita yang belum berkahwin. Sudahlah belum berkahwin, tiba-tiba hendak ditunjukkan pula kepada lelaki yang tidak dikenali.

"Tetapi itu bukan isunya. Pemeriksaan payu dara sepatutnya dilakukan demi menjaga kesihatan," ujar bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur itu.

Malah untuk menjadi pakar bedah payu dara, beliau sendiri terpaksa membuang perasaan malu ketika memeriksa payu dara pesakit.

"Bukan saja untuk menjadi seorang doktor pakar, doktor am juga tidak sepatutnya malu apabila perlu memeriksa mana-mana bahagian badan pesakit.

"Jika tidak, bagaimanakah seseorang itu dapat menjadi pakar dalam bidang yang diceburi?" soal Azlina yang merupakan salah seorang daripada kurang 20 pakar bedah payu dara di seluruh Malaysia.

Nekad menghabiskan kira-kira 10 tahun untuk menjadi pakar dalam bidang itu biarpun sebelum ini bercita-cita menjadi jurutera kimia, kearifannya tentang anggota itu mencanakkan lagi kebimbangannya sendiri apabila memikirkan sikap sambil lewa wanita hari ini.

"Merokok, minum minuman beralkohol, penggunaan pil perancang kehamilan dan mengikuti Terapi Hormon Gantian merupakan antara penyumbang kepada kanser payu dara sedangkan itulah gaya hidup wanita moden hari ini.

"Sehingga hari ini kita masih menerima pesakit yang sudah berada di peringkat 4, tahap di mana kanser sudah merebak ke organ dalaman yang lain," dedahnya yang cukup kecewa kerana masih ada penghidap kanser payu dara yang lambat merujuk kepada pakar sedangkan ramai yang sedia maklum mereka ada peluang untuk sembuh jika ia dikesan di peringkat awal.

Saiz

Ini sekali gus ia menunjukkan wanita sama ada tidak menyedari perubahan pada payu dara mereka atau takut akan kehilangan payu dara mereka jika benar mereka menghidap kanser.

"Keputusan untuk membuang payu dara bergantung kepada saiz kanser dan saiz payu dara. Jika kanser sudah besar tetapi payu dara juga besar, maka bentuk payu dara yang asal masih dapat dikekalkan selepas pembedahan.

"Tetapi jika kanser besar dan payu dara kecil, terpaksalah dibuang sepenuhnya payu dara itu bagi mengelakkan ia merebak ke organ lain. Langkah yang sama terpaksa diambil jika pesakit memiliki lebih daripada satu ketulan kanser," jelas Azlina yang ternyata begitu bersemangat dalam perjuangannya memperkaya wanita dengan ilmu tentang kanser pembunuh nombor satu wanita itu.

Doktor yang murah dengan senyuman itu juga menggunakan pendekatan yang sama apabila berbicara tentang kanser payu dara di kalangan pesakit lelaki.

"Memang jarang dapat dikesan lelaki yang menghidap kanser payu dara tetapi disebabkan payu dara mereka kecil, maka sel tisu payu dara mereka sedikit.

"Dengan jumlah yang kecil kanser akan lebih cepat merebak," katanya umpama memberi peringatan.




Andaian bahawa diri tidak mungkin diserang kanser kerana tiada saudara-mara lain yang menghidapnya, tegas Azlina, juga perlu dibuang jauh.

"Tetapi menganggap semua ketulan yang dirasai sebagai kanser juga tidak sepatutnya berlaku.

"Apa yang penting buat pemeriksaan dengan doktor pakar dahulu," pesan Azlina yang menjelaskan adakalanya hospital kerajaan juga dapat menawarkan kualiti perkhidmatan yang lebih baik daripada hospital swasta.




Memiliki payu dara juga tidak membuatkan seseorang wanita itu pakar tentang aset miliknya itu. Sebaliknya, kata Azlina, ia perlu diiringi ilmu tentangnya.

"Pengetahuan tentang payu dara penting bagi membolehkan sebarang perubahan dikenal pasti dengan mudah.

"Wujud dalam pelbagai saiz dan dimensi, payu dara yang bersaiz lebih besar tidak semestinya lebih berisiko untuk menghidap penyakit berbanding yang bersaiz lebih kecil.

"Saya benar-benar berharap satu hari nanti saya dapat mendidik pelajar perempuan di sekolah merekodkan kitaran haid dan memeriksa payu dara mereka sendiri sebaik mencecah akil baligh.

"Ia bukan saja dapat membantu mereka mengetahui waktu subur, tetapi juga membolehkan mereka mengenal pasti sebarang perubahan pada payu dara mereka," kongsi Azlina penuh bersemangat.

Nombor telefon

"Kita tidak boleh mengharapkan payu dara kita akan kekal dalam bentuk asalnya selama-lamanya. Ketika hamil, contohnya, payu dara lazimnya akan mengalami pembengkakan dan pembesaran sebagai satu persediaan untuk menyusukan bayi.

"Tetapi sekali lagi perlu diingatkan, saiz yang lebih besar tidak menentukan ia akan mengeluarkan lebih banyak susu dan bukan semua wanita dapat menyusukan anak mereka. Jadi masih banyak perkara berkaitan payu dara yang perlu diberi perhatian," terangnya panjang lebar.

Saban hari memikirkan masalah-masalah berkaitan payu dara dan nasib wanita yang menghidap masalah dengan anggota itu, Azlina bagaimanapun melupakannya sebaik sampai ke rumah. Malah, nombor telefonnya juga tidak diberi kepada orang sembarangan.

"Saya bukan ahli perniagaan yang perlu dihubungi setiap masa. Kalau ada kecemasan, pesakit boleh datang ke hospital. Saya juga manusia biasa yang perlukan masa untuk bersama keluarga," kata Azlina.


AZLINA hanya melupakan mengenai payu dara apabila di rumah.


Buat wanita di luar sana, nasihat Azlina: "Amalkan pemakanan yang seimbang dan pakai pakaian dalam seperti coli yang sesuai. Itu saja. Tidak kiralah ketika hamil, datang bulan dan sebagainya. Sama saja nasihatnya.

"Jika organ ini tidak ada, tiadalah beza antara lelaki dan wanita. Ia organ seksual dan melibatkan keyakinan diri, sama ada dengan pasangan, kawan-kawan atau komuniti sekeliling.

"Saya kenal orang yang sudah kehilangan payu dara dan trauma yang terpaksa dilalui amat perit. Kos rawatan untuk kemoterapinya juga sangat tinggi," ujarnya yang kini mempengerusikan Kempen Kesedaran Payu Dara 2009 (Wear It Pink).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: