Berbelanja sehingga RM3,000 sehari menggunakan kad kredit malah sanggup ke luar negara jika barangan yang diingini kehabisan stok.
GOLONGAN wanita secara tipikalnya sering dilabel sebagai shopaholic atau gila membeli-belah, namun kini kaum lelaki juga tidak terkecuali.
Menurut seorang pemuda kosmopolitan yang taksub mengejar trend fesyen semasa, Najib Redzuan, 24, dia merasakan satu kepuasan apabila dapat memperagakan barangan mahal atau berjenama.
“Ibu saya tidak kisah pun kalau saya mahu berbelanja. Dia bekalkan kad kredit di bawah nama saya. Kadang-kadang sampai RM3,000 sehari saya habiskan untuk shopping!
“Ada masanya bila bosan atau barangan yang saya mahu sudah kehabisan di sini (Malaysia), saya tempah tiket ke luar negara untuk shopping di sana pula.
“Biasanya saya pergi ke Singapura, Melbourne, Jakarta, Bangkok dan Hong Kong kerana membeli-belah di luar negara lebih murah berbanding di sini, khususnya bagi barangan berjenama.
Najib mengakui kebanyakan barangan yang dibelinya itu ada yang masih belum digunakan walaupun telah lebih setahun dibeli kerana koleksinya sudah terlalu banyak.
|
|
Kad kredit
“Kalau dah diberi kemudahan kad kredit, bukan beringat pun masa tengah guna. Apa yang nampak depan mata, saya ambil. Ketagihan pada jenama Juicy Couture, Gucci, Versace, Hermes dan Burberry turut mendorong saya untuk berbelanja lebih.
“Pernah sekali hutang kad kredit mencecah had RM10,000 dalam tempoh kurang sebulan. Masa tu memang saya rasa sangat tertekan dan geram,” ujarnya.
Namun, tekanan yang dialaminya bukan kerana menyesali sikap borosnya itu. “Saya sebaliknya tertekan sebab terpaksa menahan diri daripada berbelanja dan menunggu untuk tempoh yang agak lama bagi melunaskan hutang tersebut.
“Ketika itu ayah saya sengaja tidak mahu bayar hutang kad kredit saya itu. Dia kata sikap saya yang boros itu akan memudaratkan diri sendiri.
“Ibu pun marah sebab berbelanja macam tak ingat dunia. Sampai ugut nak batalkan kad kredit. Tapi untuk menyesal, semestinya tidak!” tegas anak sulung daripada dua adik-beradik ini.
Bapa Najib yang merupakan seorang pemaju hartanah juga banyak menasihatkannya supaya berbelanja secara bijak dan terkawal. Namun disebabkan terlalu mengikut jiwa muda, Najib langsung tidak mengendahkan teguran bapanya itu.
Memandangkan kad kredit juga dijangka dikenakan cukai sebanyak RM50 setahun oleh kerajaan bermula tahun hadapan, penggunaannya mungkin akan menjadi terhad dan membebankan pengguna kad kredit.
Namun, ada juga yang beranggapan ia sebagai sesuatu yang remeh dan tidak mungkin akan mengawal pertumbuhan pengguna wang plastik tersebut di masa akan datang.
“Bagi saya, kad kredit adalah keperluan masa kini. Jadi mustahil penggunaannya akan menjadi terhad tak kiralah berapa banyak pun cukainya.
“Saya sendiri memiliki dua kad kredit. Nanti orang kata barang lain boleh berhabisan ribuan ringgit, tapi cukai RM50 tak boleh nak bayar.
“Macam juga rokok, orang akan terus merokok walaupun setiap tahun harganya dinaikkan. Lagipun pengguna kad kredit sememangnya golongan berkemampuan untuk memilikinya,” tegas Najib yang bekerja sambilan sebagai penulis skrip itu.
Shophaholic ikat perut
Tidak lengkap jika pengakuan tulus ‘spesies’ shopaholic tanpa mengetahui isi hati daripada golongan wanita. Jurnal turut mengungkap lubuk hati seorang gadis berusia 23 tahun, Arniza Kasim.
Menurutnya, ketagihan dalam berbelanja semestinya menghantui setiap orang.
“Saya seorang yang sangat fleksibel dalam berbelanja. Kalau saya suka, tak kira murah atau mahal, saya akan beli. Tapi yang pasti setiap minggu saya akan shopping! Beli beg tangan pun jadilah asalkan saya dapat beli sesuatu setiap kali keluar. Kalau tak saya akan rasa lain macam sahaja,” akuinya.
Menyentuh tentang penggunaan kad kredit di kalangan penggemar fesyen, Arniza menegaskan dia tidak dimanjakan dengan kemudahan kad kredit sejak dari dulu lagi kerana tahu ia pasti menjerat diri.
“Saya memang kaki shopping tapi tidak menggunakan kad kredit. Saya lebih rela ikat perut untuk kumpul duit daripada berhutang,” tegasnya yang baru sahaja bekerja sebagai eksekutif hartanah di sebuah syarikat swasta dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
Berbicara lanjut tentang ketagihan berbelanja, sebahagian besar wang dihabiskan untuk membeli barangan berjenama seperti Guess, Manggo (MNG), Topshop, Forever 21, Aldo, Kitschen dan Charles and Keith.
“I’m a brand concious. Jadi kebanyakan barangan dalam almari sememangnya dipenuhi dengan jenama-jenama tersebut.
“Kalau ada duit lebih, baru shopping di luar negara dan beli jenama yang lebih mahal seperti Chanel, Louis Vuitton dan Coach,” katanya.
Tambah Arniza: “Saya tak pernah merancang perbelanjaan saya. Jika ingin membeli sesuatu, saya beli tanpa peduli tentang harganya.
“Kalau duit tak cukup, beli yang murah-murah sahaja. Ada juga yang saya beli tanpa mencubanya dahulu.
Kadang-kadang disebabkan terlalu boros, tiada simpanan langsung untuk perbelanjaan pada hujung bulan.
Tapi perasaan sesal kerana kehabisan banyak wang akibat ketagih membeli-belah langsung tiada,” ujar gadis kelahiran Sabah itu.
Anak kedua daripada tiga adik-beradik itu menjelaskan, sikapnya yang gila berbelanja itu telah bermula sejak di bangku sekolah lagi. Malah sehingga kini anak gadis ahli perniagaan ini belum dapat menghentikan sikapnya itu.
“Memang sejak sekolah lagi saya suka membeli-belah. Dulu setiap kali ibu keluar rumah, pasti saya akan ikut. Selepas itu, saya beli macam-macam barang sampai ibu bising.
“Tapi ibu bapa saya tak kisah kalau nak berbelanja. Syaratnya cuma kena elakkan diri daripada berhutang. Sebab itulah saya tidak dibenarkan pakai kad kredit,” ujarnya yang sentiasa mengikut kehendak fesyen terkini.
Dia juga menambah dalam gaya tegas seorang sophaholic: “Kalau tak shopping bukan perempuan namanya, bukan begitu?”
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: