Mangsa lemas dihanyut sejauh 25 kilometer.

HUJAN renyai yang mula membasahi Pusat Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang, Kampar, Perak pada petang 26 Oktober itu mendinginkan suasana.
Deruan aliran deras Sungai Kampar, pemisah antara premis sekolah dengan tapak perkhemahan turut mendamaikan.
Di tapak perkhemahan, keterujaan jelas terpancar pada wajah 294 peserta Perkhemahan 1Malysia yang baru sahaja mendaftarkan diri.
Bagi kebanyakan mereka, peluang menyertai program anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan itu merupakan sesuatu yang amat dinanti-nantikan lebih-lebih lagi ia melibatkan kehadiran peserta daripada 64 buah sekolah rendah di seluruh kawasan seliaan PPD berkenaan.
Selesai solat Isyak, para peserta yang terdiri daripada murid tahun empat hingga enam itu dibenarkan membuat aktiviti bebas.
Kira-kira pukul 10 malam, peserta dikehendaki ke dewan makan yang terletak di kawasan sekolah untuk menikmati hidangan lewat malam.
Satu-satunya akses dari tapak perkhemahan tersebut ke kawasan sekolah ialah jambatan gantung sepanjang 35 meter.
![]() |
| |
Bunyi pokok tumbang
Mereka mula menyeberangi Sungai Kampar yang semakin deras arus di bawahnya, namun masih ramai yang berbaris menunggu giliran di tepi jambatan. Salah seorang daripada mereka ialah Mohd. Amir Hamzah Mohd Amzar, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Bukit Pekan, Gopeng.
“Mujur saya baru melangkah ke atas jambatan untuk menyeberang, jika tidak saya sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku.”
Itu yang diceritakan Mohd. Amir Hamzah, peserta program berkenaan yang terselamat dalam tragedi jambatan gantung runtuh yang hampir menghanyutkan lebih 30 murid yang sedang meniti di atasnya.
“Sebetulnya, saya berada di tengah-tengah jambatan tetapi apabila ada cikgu (penyelaras program) meminta sesiapa yang tidak membawa pinggan supaya mengambilnya di tapak khemah, saya berpatah balik.
“Pada waktu itulah, satu bunyi yang sangat kuat kedengaran di tiang jambatan sebelah sekolah. Bunyinya sangat kuat seperti pokok tumbang,” katanya.
Pastinya, bukan sahaja deruman tiang jambatan gantung yang runtuh itu masih terngiang di benaknya malah kelibat rakan-rakan lain yang terjatuh ke dasar sungai.
“Jambatan sebelum itu bergoyang kerana ada (murid) yang melompat dan bermain di atasnya. Selepas runtuh, keadaan menjadi kelam-kabut dan saya sendiri sempat berpaut pada kabel.
“Ramai yang menjerit meminta tolong sebelum ada pak cik katering, pengawal keselamatan dan cikgu terjun menyelamatkan kami,” katanya.
Ditemui sehari selepas kejadian, Mohd. Amir Hamzah mengakui beliau masih tidak dapat melupakan lambaian beberapa rakan yang dihanyutkan arus deras Sungai Kampar.
Peristiwa malang itu telah meragut tiga nyawa rakan Mohd. Amir Hamzah yang menyertai program berkenaan.
Mereka ialah N. Dina Deve, 12, M. Darapharshini, 11, dan V. Divyahshree, 12. Diva Deve dan Darapharshini merupakan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Mambang Di Awan manakala Divyahshree adalah murid tahun enam di SKJT Gopeng.
Mayat Dina Deve dijumpai tersangkut di tepi sungai berhampiran Kampung Pasir, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian 8.40 pagi, Selasa lalu.
Kubur lama
Darapharshini pula ditemui terapung oleh anggota Rela berhampiran Jambatan Mat Selangor, Tanjung Tualang pada pukul 11.30 malam sehari selepas itu iaitu kira-kira 16 kilometer dari tempat dia hanyut.
Mayat Divyahshree pula ditemui anggota tentera dari Kem 2 Briged, Ipoh berhampiran Tronoh Mine, Sungai Kinta, 25 kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 10.20 pagi Khamis lalu.
Insiden tersebut sememangnya memeranjatkan semua pihak lebih-lebih lagi ketua kampung kawasan berkenaan, Tajuddin Sulaiman.
Tajuddin, 59, memberitahu, sebelum ini tidak pernah berlaku insiden sebegitu rupa apatah lagi meragut nyawa kanak-kanak.
Menurut Ketua Kampung Changkat Jering, Kuala Dipang itu, Sungai Kampar itu, sepanjang pengetahuannya jambatan itu tidak pernah ‘memakan’ sesiapa termasuk penduduk sekitar.
“Dalam keadaan biasa, Sungai Kampar tidaklah begitu dalam namun jika berlaku hujan di sebelah hulu, ia meningkat sekali ganda sehingga paras dua meter.
“Tetapi alirannya masih bergerak laju dan tidak hairanlah jika Sungai Kampar menjadi pilihan penggemar aktiviti lasak sukan air,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Beliau turut menyangkal dakwaan beberapa pihak kononnya kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan unsur mistik.
“Kalau orang kata Sungai Kampar ‘keras’, saya akui ia keras tetapi kerasnya itu adalah keras batu pada di sungai.
“Sebagai penduduk tempatan dan orang lama di kawasan ini, saya yakin insiden jambatan gantung runtuh yang berlaku Isnin lalu itu disebabkan struktur tiang jambatan yang tidak kukuh, bukannya diganggu makhluk halus dan sebagainya,” katanya.
Meskipun mengakui terdapat satu tapak perkuburan lama kira-kira 500 meter dari tapak perkhemahan tersebut, Tajuddin tetap berpendirian ia tidak berkaitan sama sekali.
Apa yang pasti, bagi pasukan mencari dan menyelamat, penemuan ketiga-tiga murid terbabit dalam tempoh kurang 60 jam selepas dilaporkan hilang merupakan satu kejayaan bagi semua agensi dan pihak terlibat.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: