Thursday, November 19, 2009

Penghijrahan, mengubat kekecewaan


SEJAUH mana pun Sean pergi, dia menegaskan jiwanya masih lagi di Malaysia.


KALI terakhir penulis bertemu dengan Sean Ghazi sewaktu mengadakan fotografi sempena Syawal bersama Anuar Zain dan Faizal Tahir di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur, tahun lalu.

Selepas itu, Sean dilihat semakin sepi dari dunia hiburan tanah air dan publisiti tentang dirinya juga tidak dipaparkan di mana-mana media.

Mungkin Sean lebih selesa merencana seninya dalam diam kerana sepanjang mengenalinya, Sean bukanlah seorang artis yang suka mencanangkan sesuatu yang belum pasti.

Entah bagaimana, selepas setahun tidak ketemu, baru-baru ini penulis bertembung dengannya secara tidak sengaja.

Dia masih lagi seperti dulu. Ramah dan cukup murah dengan senyuman.

Dalam pertemuan singkat itu, peluang diambil untuk bertanyakan tentang perkhabaran yang mengatakan beliau sudah pun meninggalkan Malaysia dan kini menetap di Amerika Syarikat (AS).

Sambil melemparkan sekuntum senyum yang menampakkan barisan gigi putihnya yang teratur cantik itu, sambil menundukkan kepalanya, Sean mengesahkan kisah itu.

Rupanya sudah hampir setengah tahun dia menetap di Los Angeles, California, AS dan semuanya itu dilakukan dalam diam.

"Saya tidak mahu menghebohkan perkara ini kerana saya fikir tiada apa yang menarik pun tentang penghijrahan saya ke AS," katanya membuka bicara dalam nada penuh rendah diri.

Menyambung bicara, hasrat Sean untuk menetap di AS sebenarnya sudah lama ditanam jauh di lubuk hatinya sejak sedekad yang lalu.

Namun, ketika itu dia sibuk dengan kerjaya seninya di Malaysia dan juga London, hasrat itu dipendamkan seketika.

Cuma, peluang itu hadir kembali kepadanya apabila permohonannya bagi mendapatkan kad hijau untuk menjadi warganegara AS diluluskan pada tahun 2001.

"Saya berhijrah kerana mahu mencari peluang yang lebih besar dalam mengejar impian dan cita-cita saya untuk menjadi seorang anak seni.

"Saya memilih Los Angeles kerana saya melihat peluang di sana lebih besar dan siapa tahu, rezeki saya akan lebih cerah di sana," kata pemilik nama penuh Sean William Ghazi ini penuh optimis.

Mengapa Los Angeles sedangkan Sean pernah menetap di London dan New York sebelum ini dan sudah pasti, dia sudah biasa dengan kehidupan di dua buah kota metropolitan itu.

"Semua orang tahu Los Angeles adalah kota hiburan terkemuka dunia dan peluang itu cukup luas untuk membina nama di sana.

"Saya tidak nafikan kehidupan di Los Angeles amat berbeza sewaktu saya di London dan New York. Saya rasa seperti di satu dunia yang cukup asing.

"Tetapi, sudah hampir enam bulan di sana, saya sudah dapat membiasakan diri dengan keadaan serta penerimaan masyarakat sekeliling terhadap saya," ujar anak sulung daripada tiga beradik ini lagi.

Jelas Sean, Los Angeles padanya adalah sebuah bandar raya yang cukup besar dari setiap sudut termasuklah makanannya dan jalan perhubungan yang menghubungkan dari satu tempat ke satu tempat.

Mujurlah dia mempunyai seorang rakan yang sudah lama menetap di sana yang banyak membantunya menyesuaikan diri dengan kehidupan di sana.

"Saya bukanlah hidup goyang kaki di sana tetapi saya bekerja keras dalam mencari peluang terbaik untuk membina nama di sana.

minat dan yakin

"Semuanya perlu dilakukan sendiri dan sebagai permulaan, saya sudah meneliti beberapa buah agensi pencarian bakat untuk mewakili saya.

"Ada beberapa pihak yang sudah menunjukkan minat dan yakin dengan bakat saya untuk diketengahkan dalam mana-mana cabang seni di sana," kata pengagum penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza ini lagi.

Dalam masa yang sama, jejaka kacak yang sudah menginjak usia 40 tahun pada 4 April lalu juga tidak kisah dengan kata-kata orang terhadap dirinya apabila dia membuat keputusan yang dianggap besar dalam hidupnya itu.

Baginya, apa yang penting adalah untuk percaya pada diri sendiri dan tidak gentar serta takut untuk mencuba demi kebaikan diri sendiri.

"Malah, saya juga tidak fikir usia saya adalah satu halangan untuk saya membina nama saya di sana dan apa yang penting, adalah untuk kita menjadi seorang yang rendah diri.

"Saya tidak kisah untuk bermula dari bawah biarpun memiliki pengalaman luas dalam bidang seni.

"Apa yang penting adalah untuk terus mencuba tanpa memikirkan kegagalannya terlebih dahulu. Kalau tidak cuba, manakan tahu hasil yang menanti kita bukan," ujarnya yang mahu mencari peluang dalam bidang muzik, lakonan filem serta televisyen di sana.

Menjadi seorang rakyat Malaysia dan beragama Islam untuk menetap dan mencari rezeki di Hollywood, sudah pasti dugaan serta cabarannya cukup kuat.

Tidak menafikan perkara itu, Sean memberitahu, dia sesekali tidak akan bertoleransi mahupun berkompromi dalam hal yang mampu menjejaskan reputasinya itu.

"Sebagai seorang artis, kita kena bijak untuk melihat dan menilai perkara baik dan buruk agar orang tidak akan sewenang-wenangnya memijak kepala kita.

"Jika kita sendiri tidak bertegas dan tidak berpendirian teguh, orang akan mudah menindas kita.

"Bukan berlagak diva atau meninggi diri, tetapi itulah hakikatnya jika mahu mereka menghormati kita," ujar Sean dalam nada tegas.

Sean yang pernah popular menerusi drama bersiri Idaman dan Kuala Selangor ini juga sempat berkongsi pengalaman manisnya apabila berpeluang membuat persembahan di The Hollywood Bowl pada bulan September lalu.

Dijemput sendiri oleh kumpulan Pink Martini yang mempelopori muzik jazz, big band dan swing, Sean menyifatkan peluang itu cukup baik untuk memperkenalkan lagi namanya.

Pink Martini merupakan komposer lagu Ku Impikan Bintang dan Let's Never Stop Falling In Love yang pernah dimuatkan dalam album perdana Sean, Semalam.

Persembahan yang berlangsung selama satu malam itu menyaksikan Sean berduet dengan kumpulan itu menerusi lagu tersebut.

"Mereka menyanyi dalam bahasa Inggeris dan saya pula dalam bahasa Melayu. Rasa bangga apabila melihat penonton terhibur dengan persembahan kami," katanya tentang persembahan yang dihadiri hampir 18,000 orang penonton itu.

Berada di bumi Los Angeles bukanlah yang pertama buat Sean, sebaliknya adalah kali kedua selepas sedekad yang lalu.

Ketika itu, dia hadir bersama ibunya, Victoria bagi menghadiri tayangan perdana filem Anna and the King yang turut dibintanginya bersama Jodie Foster dan Chow Yun-Fatt.

Di sebalik kerancakan bercerita tentang pengalamannya di negara orang, nada suaranya tiba-tiba bertukar saat terkenangkan ibunya yang meninggal dunia pada 28 Disember lalu akibat kanser.

Kata Sean, ibunya banyak memberi dorongan dan semangat untuknya meneruskan cita-citanya dalam bidang seni selama hampir empat dekad dia bernafas di bumi bertuah ini.

"Ibu cukup yakin dan percaya dengan bakat yang ada dalam diri saya dan disebabkan itu, saya tekad untuk berhijrah," ujarnya dalam nada tenang.

Mendengar kerancakan Sean bercerita, penulis bertanyakan kepadanya adakah penghijrahannya itu adalah untuk membawa hatinya yang kecewa memandangkan apa yang dilakukannya di negara ini seolah-olah dipandang sebelah mata sahaja.

Masakan tidak, kemenangannya sebagai Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik Ke-14 selain membintangi pementasan mega, P. Ramlee the Musical dilihat tidak berupaya membawa namanya jauh.

Sambil menghela nafas panjang, Sean langsung tidak menafikan perkara tersebut dan menjelaskan ia sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan penghijrahannya itu.

"Hendak buat bagaimana kalau orang sukar menerima kehadiran kita sedangkan kita mahu dan telah membuat yang terbaik demi industri.

"Saya tidak salahkan sesiapa dalam hal ini dan mungkin peluang itu belum terbuka luas untuk saya. Mana tahu selepas ini orang akan membuka mata kepada saya," ujarnya tersenyum.

Satu yang pasti, Sean sesekali tidak akan melupakan tanah air dan sepanjang enam bulan berada di perantauan, sudah empat kali dia pulang ke Malaysia.

Semuanya adalah tawaran persembahan makan malam dan korporat yang tidak pernah putus diterimanya.

"Saya juga sedang merangka perancangan untuk menerbitkan album kedua saya yang sedikit berbeza dengan Semalam dan ia akan menggabungkan kepakaran dari Malaysia dan AS.

"Saya juga tidak pernah berhenti berharap untuk mengadakan sebuah konsert biarpun pernah dikecewakan sebelum ini oleh sebuah syarikat yang hanya menanam tebu di pinggir bibir.

"Mungkin konsert saya akan diadakan seiring dengan pelancaran album kedua saya yang dijangka berada di pasaran penghujung tahun depan," katanya penuh optimis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: