Thursday, November 19, 2009

Akta maklumat kredit dibentang

KUALA LUMPUR - Selepas mendapat pelbagai reaksi dan bantahan daripada banyak pihak mengenai tindakan agensi rujukan kredit khasnya Credit Tips Off Sdn. Bhd. (CTOS) mendedahkan maklumat pelanggan yang ingin mendapatkan pinjaman kepada bank, Rang Undang-Undang Agensi Pelaporan Kredit 2009 akhirnya dibentangkan di Parlimen semalam.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin membentangkan rang undang-undang yang mempunyai 77 fasal dan sembilan bahagian itu di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.

Rang undang-undang yang akan dinamakan Akta Agensi Pelaporan Kredit 2009 itu, antara lain, bertujuan untuk mengadakan peruntukan mengenai pendaftaran dan pengawalseliaan semua agensi pelaporan kredit yang melibatkan pemprosesan maklumat kredit pelanggan yang mungkin terdiri daripada individu, pertubuhan perbadanan atau badan tidak diperbadankan.

Menurut rang undang-undang itu, melalui pengawalseliaan agensi pelaporan kredit, kepentingan pelanggan terpelihara dan ini seterusnya akan memberi keyakinan di kalangan orang yang terlibat dalam transaksi komersial yang berkaitan dengan pertukaran maklumat kredit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: