Friday, November 27, 2009

Aidiladha disambut penuh syukur



HARI Aidiladha adalah satu hari kebesaran Islam dan juga hari perayaan bagi umat Islam. Jika Aidilfitri disambut sebagai tanda kemenangan dan kejayaan selepas berpuasa sebulan penuh Ramadan sementara Aidiladha pula diraikan sebagai simbol salah satu syiar Islam teragung yang cukup sinonim dengannya iaitu ibadat haji. Aidiladha yang juga dikenali sebagai hari raya korban adalah kerana hari itu adalah hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah SWT dan juga kesabaran anaknya Nabi Ismail memenuhi perintah Ilahi seperti yang termaktub dalam al-Quran.

Sesungguhan begitu besar pengertian Aidiladha atau Hari Raya Korban bagi umat Islam di seluruh dunia, bahkan bagi golongan artis sekalipun Aidiladha tetap disambut penuh kesyukuran.


Shiela Rusly terkenang Tanah Suci Makkah

Bagi pelakon dan penerbit Shiela Rusly, Aidiladha tahun ini mengingatkannya pada Tanah Suci yang begitu indah dan bermakna baginya. Menurut Shiela, masih terngiang-ngiang dimindanya ketika saat-saat manis mengerjakan haji pada dua tahun lalu.

“Sampai sekarang saya masih teringat saat-saat di sana. Dapat rasakan betapa besarnya keagungan Allah dan saya sangat rindu untuk menjadi tetamu-Nya lagi. Suasana di sana sangat berbeza, walaupun terpaksa bersusah payah, ditambah dengan kesesakkan orang ramai, tetapi kita boleh ada kekuatan untuk meneruskan ibadah. Malah rasa tenang sangat bila dah siap melakukan sesuatu ibadah,” kata isteri kepada pengarah, Jinggo, ini.

Jelas Shiela lagi, jika diizinkan Allah SWT, dia mahu berangkat ke Tanah Suci itu lagi.

“Masa saya pergi dulu, kita tak tak tahu apa-apa pun. Memang ‘zero’, malah pergi umrah pun tak pernah. Tapi bila dah ke sana, barulah kita tahu macam mana dan kalau boleh saya nak pergi haji lagi. Sebab dengan pengalaman yang ada, kita boleh buat yang terbaik lagi,” katanya yang menyambut Aidiladha dengan sederhana, namun penuh dengan kesyukuran.



Ashraf korban lembu setiap tahun

Aktor kacak, Ashraf Muslim memberitahu, setiap kali menjelang Aidiladha, dia dan keluarganya tidak melepaskan peluang untuk menjalani ibadah korban setiap tahun. Memandangkan mereka sekeluarga ada menjalankan perniagaan menternak lembu, maka tidak sukar bagi mereka untuk menyempurnakan ibadah tersebut.

“Menjelang Aidiadha, saya dan keluarga memang sibuk sebab ramai yang nak beli lembu dan seminggu sebelum tu saya dah balik Melaka untuk membantu urusan jual beli di sana. Soal persiapan Raya Haji, seperti tahun-tahun sudah kami akan korbankan lembu untuk diagihkan pada orang kampung,” katanya yang menyambut Raya Korban di kampungnya, Melaka.

Ashraf berkata, Aidiladha mengingatkannya pada peristiwa pengorbanan Nabi Allah Ibrahim demi menunaikan perintah Allah, maka kerana itulah dia menjadikan kurban sebagai amalan untuk bersedekah dsamping mengenang peristiwa agung itu.

“Amalan bersedekah ini banyak pahalanya dan Tuhan pun menjanjikan ganjaran yang besar bagi umatnya yang bersedekah. Bukan sahaja dari segi kekayaan, tetapi juga dari segi kesihatan dan ketenangan jiwa. Tapi sayangnya, ramai yang tak sedar, duit banyak tapi berat nak bersedekah,” katanya.

Dalam pada itu, Ashraf turut meluahkan rasa terkilan dan sedih kerana menyambut Aidiladha tanpa ibu tersayang. walaupun ibunya sudah empat tahun pergi meninggalkan mereka sekeluarga, namun jasa dan pengorbanan ibu tercinta tetap segar di ingatannya.

“Saya rasa agak ralat, sebab tak sempat nak balas jasa ibu kerana masa itu saya masih belajar. Bila saya dah kerja, dah ada duit, dia tak sempat nak merasa. Tapi tak mengapalah sebab, saya akan pikul tanggungjawab untuk membantu adik-beradik saya pula, lagipun saya ni anak sulung,” katanya dengan nada yang terkilan.



Heliza bekorban demi karier dan pelajaran

Bagi aktres muda, Heliza, Aidiladha adalah satu pengorbanan yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia yang harus dilakukan dengan penuh keiklasan. Dan ketika ditanya, apakah pengorbanan yang pernah dilakukan dalam hidupnya, Heliza memberitahu, statusnya sebagai pelajar dan dalam masa yang sama menuntutnya memenuhi jadual seni memerlukan pengorbanan yang tinggi.

“Saya tak pernah jangka akan jadi artis kerana keutamaan saya adalah pelajaran dan saya ingin memenuh cita-cita saya dalam bidang akedemik. Tetapi takdir dan rezeki sudah tertulis yang karier saya juga sebagai artis. Dari situ ia memerlukan pengorbanan yang tinggi kerana selain menguruskan karier seni saya juga harus mengimbanginya agar pelajaran saya tidak terjejas.

“Inilah pengorbanan yang paling besar dalam hidup saya. Kerana masa sehari-hari saya gunakan untuk kedua-duanya. Kalau tidak untuk pelajaran, pasti terlibat dengan kerja-kerja seni. Terus-terang, saya tak ada masa rehat pun, kerana terlalu sibuk dengan kedua-dua bidang ini,” katanya yang sedang menuntut Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Pendidikan Sains di USM.

Heliza berkata, tahun ini juga dia tidak berpeluang menyambut Hari Raya Korban kerana terikat dengan karier seni di Ibu Kota. Bagaimanapun, dia bersyukur kerana masih dapat meraikan hari bermakna tersebut walaupun tanpa keluarga tercinta.

“Raya Korban ni di mana-mana pun boleh sambut asalkan kita sentiasa ingat hari yang bersejarah ni. Kalau ikutkan tahun-tahun sudah, saya sambut Raya Korban bersama keluarga dan biasanya kami raikannya sama seperti Aidilfitri. Ada makanan, kuih-muih dan kami juga tak lupa pakai baju raya. Seronoknya kalau saya dapat meraikan hari yang indah ini bersama keluarga tersayang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: