NABIL menunjukkan rantai mutiara yang dimenanginya kepada Stacy, Dynas dan Maya Karin. |
Pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 diraikan pada majlis santai tetapi glamor di Bossanova, Park Royal
ANTARA ribuan yang melayari gelora industri hiburan, mereka antara insan seni bertuah yang menjadi pilihan peminat untuk diletakkan pada kelas tersendiri.
Kerdipan bakat mereka bagaikan mutiara yang bercahaya menerangi kesepian hidup insan. Meskipun ada ketika kilauan populariti yang digapai cuba dicemari, namun apresiasi serta kepercayaan yang diberikan tidak pernah tersirna lantaran kelebihan yang dimiliki.
Malam Selasa lalu, barisan pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 sekali lagi diraikan pada satu majlis apresiasi yang dianjurkan Rafflesia The Pearl Centre.
Bertempat di Bossanova, Hotel Park Royal Bukit Bintang, kemilauan nama popular yang sedang mendominasi pentas seni berkumpul untuk menerima penghargaan atas segala keringat dan usaha yang dicurahkan bagi menyemarakkan industri hiburan.
Bintang Paling Popular, ABPBH 2008, Ahmad Nabil Ahmad, 27, pulang bergaya dengan set aksesori daripada mutiara Rafflesia bertatahkan batu nilam merah jambu atas kemenangannya meraih anugerah tertinggi itu.
| WINNIE SIN (empat dari kanan) memotong kek bersama pemenang ABPBH 2008. |
Lebih bermakna apabila set aksesori bernilai RM150,000 direka khas oleh Pengarah Urusan Rafflesia The Pearl Centre, Winnie Sin untuk diberikan kepada bakat yang menempa nama menerusi pertandingan Raja Lawak Astro itu.
Selain itu, Nabil turut membawa pulang dua hadiah iringan lain atas kemenangannya dalam kategori, Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular.
Andai Nissan Sylphy 2.0L yang diterimanya pada pertengahan Mei lalu dihadiahkan kepada bapa tersayang, set aksesori mutiara itu bakal menjadi milik ibu tercinta.
Nabil berkata, dia memasang niat untuk menggembirakan hati ibunya dengan aksesori mewah itu sebagai lambang kasih sayangnya yang tidak berbelah bagi.
| QUE sempat mengusik isterinya, Linda Jasmine yang mengundang tawa Ezlynn dan Izwan Pilus. |
Barangkali apa yang diberikan tidak mampu membalas jasa serta pengorbanan ibu yang membesarkannya dengan penuh kasih sayang sejak kecil.
Bagaimanapun kata Nabil, dia berbesar hati kerana dapat berkongsi segala pencapaiannya dengan mereka yang begitu memahami serta setia menyokong perjuangannya.
“Memang sudah saya niat dari awal, lagipun untuk siapa lagi mahu diberikan hadiah istimewa itu kecuali kepada ibu. Insya-Allah, selesai semua kerja petang esok (semalam), saya akan pulang dan serahkan hadiah ini kepada ibu,” katanya.
Dua set lain yang turut diterima pada malam itu kata Nabil, juga akan dihadiahkan kepada mereka yang begitu bermakna dalam hidupnya.
Satu daripada set rantai bernilai RM10,000 itu akan diberikan kepada adiknya sebagai hadiah perkahwinan yang bakal berlangsung November ini.
Diusik apa pula hadiahnya untuk kekasih hati, Irma Hasmie Ibrahim, Nabil seraya berseloroh, “Cukuplah saya berikan dia kasih dan sayang”.
Namun Nabil tidak berahsia untuk menghadiahkan satu lagi set aksesori yang dimenanginya itu kepada pelakon jelita yang bertakhta di hatinya sejak sembilan bulan lalu.
Berlangsung ringkas namun dilatari suasana glamor dan menghiburkan, acara itu turut diserikan dengan kehadiran pemenang lain seperti Maya Karin (Pelakon Filem Wanita Popular), Dynas Mokthar (Pelakon TV Wanita Popular), Noorkhiriah (Artis Komedi Wanita Popular), Rosyam Nor (Pelakon TV Lelaki Popular) dan Que Haidar (Pelakon Filem Lelaki Popular).
Turut hadir menerima hadiah kemenangan mereka ialah Stacy (Artis Baru Wanita Popular), Rabbani (Artis Nasyid Popular), Meet Uncle Hussain (Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular) serta pemenang Pakaian Terbaik Lelaki dan Wanita pada malam kemuncak ABPBH 2008 iaitu Iz Sulaini dan Zizie Ezzette. Setiap mereka membawa pulang set aksesori mutiara bernilai RM10,000.
Menyuntik aura glamor dan mewah bertepatan dengan prestij acara hiburan popular ABPBH 2008, kehadiran tetamu di permaidani merah ditemani kerdipan cahaya kamera yang merakamkan setiap detik bermakna sepanjang majlis berlangsung.
Mengulas mengenai acara itu, Winnie berkata, Rafflesia berbangga apabila dapat kembali bekerjasama dengan Berita Harian sekali gus membuktikan sokongan mereka kepada industri hiburan tempatan.
Buat kali keempat kerjasama itu terjalin, Winnie mengakui sangat berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan ABPBH 2008.
Tambah Winnie, dia amat teruja melihat wajah berbeza menguasai kemenangan pada acara gemilang yang mengakhiri debarannya di Arena Of Stars, Genting Highlands pada 12 April lalu.
“Kami sangat berbangga menjadi sebahagian daripada detik bersejarah itu dan majlis ini diadakan khusus untuk meraikan mereka yang menempa kegemilangan pada malam istimewa itu.
“Melihat wajah tetamu yang datang dengan senyuman begitu menyentuh hati kami. Kerjasama ini memberikan lonjakan yang bermakna kepada Rafflesia malah akan sentiasa menyokong apa saja acara bersesuaian dengan prestij jenama ini,” katanya.
Acara yang sama juga menyaksikan Rafflesia memperkenalkan lagu tema berbahasa Melayu, Kerlipan Bintang ciptaan Nai Kong dan lirik oleh Slen dinyanyikan penyanyi berbakat besar, Alyah.
“Usaha itu adalah antara beberapa perancangan Rafflesia untuk memperkemaskan jenama ini di mata penggemar aksesori berasaskan mutiara.
“Ia akan diperluaskan lagi dengan penerbitan lagu latar berbahasa Inggeris, Mandarin dan Kantonis. Siapa tahu mungkin satu hari nanti Rafflesia mempunyai koleksi lagunya sendiri untuk dimuatkan dalam sebuah album khas.
“Namun ini hanya permulaan dan saya sendiri begitu tersentuh dengan lirik puitis yang dihasilkan Slen yang menggambarkan Rafflesia dengan begitu indah sekali,” katanya.
Ringkas tetapi menghiburkan
BERLANGSUNG santai tanpa terikat protokol, acara apresiasi yang bermula dari jam 7.30 malam itu mengumpulkan banyak nama popular yang sedang mekar untuk saling bertanya khabar dan beramah mesra.
Ruang bercahaya suram di lokasi eksklusif itu mula menyerlahkan kemilau sinarannya apabila pengacara popular, Dee menjalankan tanggungjawabnya mengemudi acara itu.
Jenaka spontan dengan tutur katanya yang selamba menyuntik keceriaan kepada tetamu, malah mengusir tekanan selepas menempuh kesesakan jalan raya untuk bersama meraikan detik indah itu.
Bintang kecil yang diketengahkan Dee Entertainment Showtime, Puteri Asfarina Kaliza Aris membuka tirai persembahan apabila melontarkan kemantapan vokalnya menerusi lagu Listen.
Anak kecil berusia 11 tahun memukau tetamu apabila turut mengalunkan I Will Survive ditemani penyanyi popular, Ezlynn sekali gus membuktikan Malaysia tidak pernah ketandusan bakat baru untuk diketengahkan.
Juara One In A Millon musim kedua, Ayu yang baru muncul dengan album perdana mengambil kesempatan untuk memperkenalkan kepada tetamu single terbarunya, Inspirasi Abadi.
Penyanyi senior bersuara lantang, Ramlah Ram turut mempersembahkan lagu dipetik daripada album terbarunya, Ketentuan manakala Izwan Pilus berkongsi kegembiraannya apabila dapat mengalunkan sentuhan M Nasir, Bukan Percuma yang menjadi single taruhannya.
Turut menghiburkan tetamu Alyah, Stacy, Tomok, Ezlynn serta duet Faizal Tahir dan Akim (AF7) membawakan single terbaru naib juara One In A Million musim pertama itu, Bencinta.
Antara artis yang hadir memeriahkan acara ialah Amyza Aznan, Aweera, Isma, Yazid, Aril, Winnie K, Intan Ladyana, Zoey, Diana Danielle, Yatt, Lisa Surihani, Juliana Evans, Irma Hasmie dan kumpulan Hujan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: