Thursday, July 30, 2009

Dengarnya...: Liyana cari geng untuk projek amal


CIK Normah diberitahu rakan sepejabat, pelakon Liyana Jasmay yang tak menang tangan meneruskan kerjaya lakonan dan nyanyiannya sedang rancak mengelolakan sebuah majlis kebajikan. Kerja amal yang murni ini sering dilakukan golongan selebriti yang peka mengenai peranan mereka sebagai figura umum.

Majlis kebajikan itu berbentuk jualan garaj di mana sesiapa saja yang berminat untuk menjual apa juga hak milik anda dengan harga yang murah kepada masyarakat. Sebahagian ataupun sepenuhnya keuntungan yang diperoleh akan disalurkan kepada rumah kebajikan yang terpilih. Pilihan untuk memberi keuntungan penuh atau separuh daripadanya terpulang kepada anda.

Majlis ini masih dalam proses perancangan, kiranya ia masih di peringkat awal. Cik Normah dapat tahu, penyanyi lagu Tak Percaya Cinta yang rapat dengan Aizat itu ringan tangan untuk menghebahkan tujuan acara itu dilakukan. Malah, Liyana turut menjemput sesiapa saja yang berminat termasuk rakan artis, rakan wartawan dan peminat untuk turut serta dalam acara itu.

Awal tahun ini, pelakon genit itu turut menyertai acara amal yang dianjurkan Berita Harian iaitu Tabung NSTP Untuk Gaza. Ketika itu, Liyana sudi menjual lencana menarik yang tertera gambarnya kepada pengunjung demi mengutip derma kepada mangsa peperangan di Gaza.

Cik Normah puji usaha Liyana, malah tahu ada ramai lagi selebriti di negara kita yang selalu terbabit dengan acara sedemikian. Ini bukti dalam sisi glamor golongan ini mengejar cita-cita, mereka juga seperti manusia biasa tak lokek memberikan sumbangan untuk masyarakat. Buat Liyana, kalau nak bantuan Cik Normah, jangan segan beritahu saja teman sepejabat ya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: