Friday, July 31, 2009

Mencari 'Gadis Melayu' kontemporari, lasak dan pandai sediakan masakan kampung!

12 peserta program realiti 'Gadis Melayu' bakal berentap untuk menjadi ikon gadis Melayu.

SIAPAKAH yang layak menjadi pelapis Normala Samsuddin, antara wanita Melayu tercantik? Apakah kriteria-kriteria seorang gadis Melayu?

Pencarian 'Gadis Melayu' musim kedua diteruskan untuk mencari satu dalam sejuta gadis istimewa itu.

Penerbit rancangan Gadis Melayu, Shukri Ibrahim berkata: "Pencarian calon Gadis Melayu musim kedua bukan sahaja sekadar mengetahui budaya Melayu, malah turut diuji dari segi kebijaksanaan, kreativiti, serta mempunyai pengetahuan am. Selain itu, mereka diuji dengan pelbagai aksi lasak."

Ujar beliau lagi, seiring dengan konsep baru TV9 yang 'urban', pencarian Gadis Melayu musim kedua ini mengutamakan aspek Gadis Melayu yang kontemporari, aktif, lasak serta mempunyai latar belakang pendidikan yang baik.

Tambah Shukri, Gadis Melayu sewajarnya memelihara tatasusila dan keayuan sebagai Gadis Melayu.

"Calon-calon yang telah dipilih telah dinilai dari segi kecantikan, kemahiran, personaliti dan keagamaan.," katanya.

Shukri berkata, selebriti dan pelakon turut diundang sebagai juri pada sesi uji bakat musim kedua ini.

Antara pelakon yang diundang sebagai juri Gadis Melayu 2 ialah Fauziah Nawi di lokasi Johor Bahru, Jehan Miskin (Pulau Pinang), Rusdi Ramli (Shah Alam), Zulhuzaimi dan Maizurah Hamzah (Ipoh) serta Nurfarahin Jamsari, Sharifah Syawati Syed Mohd., Datuk Mahadzir Lokman dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh (Kuala Lumpur).

PESERTA-PESERTA

Seramai 12 peserta Gadis Melayu diperlukan untuk menyahut cabaran musim kedua ini.

Mereka ialah Raja Nur Juliana (Kuala Lumpur), Norfarizan Mohamad (Banting, Selangor), Shazfinaz Hashim (Shah Alam, Selangor), Hafiza Bustanul Ariffin (Kuala Lumpur), Hazlin Hussain (Kajang, Selangor) dan Sharifah Jasmine Soraya Syed A. Jalil Jamalullail (Shah Alam, Selangor).

Lain-lain peserta termasuk Nadiah Adrianna Mohd. Akbal (Subang Jaya, Selangor), Putri Noor Nawal Haji Ramlan (Shah Alam, Selangor), Rahimah Ibrohim (Kuala Lumpur), Robeaha Ramza (Kota Bharu, Kelantan), Sri Sharinnie Rizal (Damansara, Selangor) dan Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin (Parit Buntar, Perak).

Antara cabarannya ialah para peserta akan disediakan wang saku dan diminta untuk menyediakan masakan kampung.

Sekiranya wang tersebut tidak mencukupi, mereka haruslah pandai mencari sendiri ulam-ulaman yang hendak disediakan. Secara tidak langsung, tugasan ini akan menguji para peserta sama ada mengenali ulaman kampung atau tidak.

Rancangan realiti selama sejam ini memaparkan pelbagai aksi dan cabaran yang berbeza pada setiap minggu. Para peserta akan diuji dari aspek penampilan diri, kecantikan, kebijaksanaan, keperibadian, kebolehan berkomunikasi, asas sains rumah tangga dan seni serta budaya.

Pun begitu, karakter merupakan perkara sebenar yang dicari. Pencarian Gadis Melayu haruslah memiliki karakter diri serta bakat dan personaliti tersendiri.

IKON GADIS MELAYU

Ini penting untuk memastikan pemenang benar-benar layak untuk menjadi ikon kepada gadis Melayu serta menjadi inspirasi kepada mereka untuk mewarisi budaya dan tradisi orang Melayu.

Gadis Melayu 2 akan dikendalikan oleh pengacara wanita, Sharifah Shawati Syed Mohd yang juga perunding imej Adamaya Image Consultancy Malaysia.

Dari segi pemarkahan untuk setiap tugasan yang diberikan, 50 peratus datangnya dari undian penonton manakala 50 peratus lagi akan dinilai oleh juri tempatan yang berbeza dalam setiap episod.

Rancangan realiti Gadis Melayu ini diterbitkan oleh Shukri Hj. Ibrahim, dibantu oleh penolong penerbit, Siti Rohkhaida Abdul Khalil serta Muhamad Faizal Muhamad Jamil.

Turut sama membantu ialah wartawan Mohd. Yuzri Mohd. Noh dan Mohd. Amirul Haswendy.

Rancangan realiti Gadis Melayu musim kedua bakal bersiaran setiap hari Khamis, jam 9.30 malam bermula pada 6 Ogos, 2009 hanya di saluran 'Di Hatiku', TV9.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Jenama, Komunikasi Korporat TV9, Noor Almy berkata, Gadis Melayu musim pertama merupakan antara program TV9 yang mencatat rating tertinggi iaitu 1.3 juta penonton.

SRI SHARINNIE RIZAL

"Gadis Melayu ialah platform ke arah bidang pengacaraan. Ia banyak membina keyakinan diri saya. Jika dipilih sebagai Gadis Melayu, saya ingin memberikan motivasi kepada kanak-kanak dan pelajar-pelajar terutamanya di luar bandar.

"Kalau boleh, saya tidak ingin mereka berada tercorot dari aspek pendidikan dan sebagainya."

PUTRI NOOR NAWAL HAJI RAMLAN

"Tiada apa-apa strategi untuk menjadi Gadis Melayu kecuali menjadi diri kita sendiri. Gadis Melayu haruslah bersemangat dan bertenaga serta kontemporari."

SHARIFAH JASMINE SORAYA SYED A. JALIL JAMALULLAIL

"Walaupun saya berdarah kacukan Melayu dan Cina, saya Gadis Melayu sejati kerana saya memahami dan mempraktikkan budaya dan adat Melayu.

1 comment:

  1. sharifah ni penipu betui,,apa yg dia praktikkan buadaya dan adat melayu,,gambar isap rokok n cium botol arak tu amende,,,piraaah,,baik takyah masuk la,,,meluat aku tgok muka dia ni,,betui2,,lakonan je semua

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: