Thursday, July 2, 2009

Maka berderailah air matanya...


PEMINAT tidak berganjak menyaksikan persembahan Rossa yang berlangsung selama dua jam.

Penyanyi popular Indonesia, Rossa kongsi gelodak rasa bersama peminat di KL Life Centre

DUA kali air mata penyanyi wanita paling popular Indonesia, Rossa, mengalir sewaktu artis cantik itu menjayakan Konsert Mini Cerita Cinta Rossa di KL Live @ Life Centre.

Ketika penyanyi berusia 30 tahun ini menghayati lagu Hati Yang Kau Sakiti, jelas sekali dia dihimpit rasa yang mencengkam di dalam jiwa. Lalu, dengan sendiri, air jernih bergenang di kelopak mata wanita yang sudah pun bergelar penyanyi sejak 1988 ini.

Tidak lama kemudian, tatkala lagu Atas Nama Cinta dialunkan, sekali lagi Rossa dilanda sebak, memberikan ruang untuk lebih 2,000 peminatnya melihat sendiri gelodak yang bersarang dalam hati penyanyi berkenaan.

Lalu, masing-masing berteka-teki sendiri, apakah sebabnya anak sulung pasangan Ukas Hermawan dan Eni Kusmiani ini menangis di hadapan mereka?

Apakah air mata itu laju mengalir kerana artis terkenal itu cukup terharu dek sambutan hangat diberikan peminat sekitar Kuala Lumpur terhadap persembahannya pada 27 Jun lalu? Atau apakah wanita ini sebak mengenangkan kehampaan yang dialami setelah rumah tangga yang dibina bersama Yoyo kini bagai menemui jalan akhir.

KESERASIAN Rossa dan Pasha di pentas membuatkan peminat keliru apakah mereka sedang bercinta?

Andaian kedua itu mungkin lebih tepat jika dilihat kepada perkembangan semasa cerita peribadi ibu kepada Rizky Langit Ramadhan, 3, ini.

Umum sudah mengetahui betapa mahligai bahagia yang diukir Rossa bersama anggota kumpulan Padi itu sekarang berada dalam keadaan goyah setelah suaminya dikatakan berlaku curang.

Beberapa kali cuba bertahan, namun petunjuk yang diterima bagai tidak menyebelahi wanita ini. Pasrah, mereka tinggal berasingan sebagai usaha akhir mengembalikan cahaya dalam mahligai yang dibina pada 18 Mac 2004. Namun, tiada petanda kedua-duanya akan kembali bersama. Difahamkan, penyanyi itu sudah pun memfailkan perceraian sebagai jalan penyudah pada kemelut yang melanda.

Beberapa tahun hidup berduka, lalu tidak mustahil begitu mudah penyanyi ini terkesan dengan segala bait luka yang tersurat dalam lagu nyanyiannya.

ROSSA berjaya menghiburkan peminat dengan 16 lagu.

Itulah kisah cinta Rossa yang mungkin secara tidak sengaja dikongsi penyanyi ini bersama peminatnya di Malaysia. Apa saja wajah cintanya, malam itu Rossa menyerlahkan sisi lembut pada dirinya, yang pasti membuatkan peminat berasa lebih dekat dengan si jelita ini.

Tolak ke tepi soal air mata, yang pasti, penyanyi ini begitu terserlah di pentas Life Centre. Dengan kemantapan vokal serta sistem bunyi dan muzik yang baik, persembahan Rossa menghiburkan.

Namun, faktor terbesar menjayakan lagi konsert kecilnya malam itu ialah pemilihan lagu yang rata-rata judul hafalan peminat. Daripada albumnya yang terdahulu sehingga album berjudul Rossa yang baru saja dipasarkan, penyanyi itu menyenaraikan himpunan lagu terbaik untuk halwa telinga pengikut setianya.

Maka kedengaran irama indah seperti Terlalu Cinta, Aku Bukan Untukmu, Cerita Cinta, Tegar, Ayat-Ayat Cinta, Tega serta Hati Yang Kau Sakiti dan Terlanjur Cinta, dua lagu duetnya bersama Pasha daripada kumpulan Ungu. Tidak ketinggalan dialunkan ialah Malam Pertama, Seribu Malam, Bila Salah, Hey Ladies, Pudar dan Sakura.

Sememangnya Rossa penyanyi yang amat bertuah kerana dia sentiasa diberikan lagu yang cukup merdu untuk dirakam. Judul demi judul yang baik itu meneruskan kesinambungan populariti artis ini sejak 1996, tatkala dia muncul dengan album kedua, Nada Nada Cinta.

Menunjukkan profesionalisme sebagai penyanyi, Rossa bijak memikat hati peminat di ibu kota dengan berulang kali menyatakan rasa bangga terhadap sokongan mereka pada diri dan karier seninya. Dia menyatakan rasa tidak percaya melihat begitu hebat sambutan dihulurkan kepadanya di tempat berkenaan.

Begitu juga penyanyi ini sering berjenaka, tidak kiralah sama ada ketika dia berkongsi kisah cinta lamanya atau sewaktu mengundang beberapa peminat menaiki pentas. Rossa yang diiringi enam pemuzik serta seorang penyanyi latar sentiasa memenuhi detik yang ada dengan celoteh, lawak mahupun ucapan terima kasihnya.

Cuma, pakaian yang menjadi pilihan penyanyi ini agak terlalu hebat untuk sebuah konsert mini yang diadakan pula di Life Centre. Jika konsert terbabit berskala lebih besar dan diadakan pula di lokasi lebih berprestij, ia tentunya lebih bersesuaian. Daripada tiga persalinan yang dikenakan, hanya gaun beropol paras peha yang kelihatan agak sederhana, tepat dengan suasana.

Konsert Mini Cerita Cinta Rossa dibuka tirainya dengan persembahan kumpulan Sofaz. Apa-apa pun, Rossa insan bertuah kerana muncul insan seni paling masyhur di Indonesia. Lebih bertuah, dia juga dekat di hati peminat Malaysia. Peluang muncul dalam persembahan anjuran Hotlink itu serta kehadiran agak ramai peminat membuktikan dia ratu pop yang sukar digugat.

Alangkah baiknya jika peluang serupa turut dirasa artis berbakat negara kita. Bukan tidak ada bakat yang mampu diketengahkan, sebaliknya usaha daripada syarikat rakaman sendiri serta sokongan sektor korporat perlu ada. Jika tidak, pentas sebegitu hanya akan dipenuhi artis luar dari Indonesia mahupun Amerika Syarikat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: