Thursday, July 2, 2009

Kuala Lumpur mula berpesta


NORLIZA yakin Festival Kuala Lumpur 2009 lebih meriah daripada tahun lalu.

SEBANYAK 70 aktiviti kesenian dan kebudayaan bakal dipersembahkan kepada pelancong tempatan dan asing sepanjang berlangsungnya Festival Kuala Lumpur 2009 (FKL09) yang bermula semalam sehingga 31 Julai ini.

Jumlah ini dilihat sedikit berkurangan berbanding tahun lalu yang mencatat 82 aktiviti kesenian dan kebudayaan tempatan. Namun bukanlah kuantiti yang menjadi ukuran tetapi kualiti pada setiap aktiviti yang dapat menyemai perasaan kasih dan rasa cinta seluruh masyarakat kepada seni dan budaya bangsa kita.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli berkata, apa yang diharapkan penganjuran kali ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara menyaksikan kebudayaan kita.

“Kita akur dengan kegawatan ekonomi hari ini menyebabkan beberapa kumpulan terutamanya dari Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang perseorangan menarik diri untuk mengadakan persembahan.

“Namun itu bukan bererti penganjuran FKL09 tidak akan meriah kerana yang kami pentingkan adalah kualiti dan bukannya kuantiti persembahan itu.

“Saya yakin dengan pembabitan kerajaan dan banyak pihak lain, penganjuran ini akan lebih meriah berbanding tahun lalu kerana tahun ini sudah memasuki tahun keempat penganjuran FKL09 diadakan,” katanya yang di temui baru-baru ini.

Penganjuran FKL09 akan menjadi lebih meriah sekiranya individu mengambil inisiatif terbabit sama dengan menyediakan apa saja bentuk seni budaya kita untuk dipertontonkan oleh pelancong.

“Jika di negara lain seperti Singapura, festival yang mereka adakan banyak dibantu oleh individu dan sehingga kini festival yang mereka anjurkan menjadi antara festival terbesar di negara Asia.

“Namun festival yang mereka anjurkan bukanlah memaparkan kesenian dan kebudayaan negara mereka tetapi lebih berbangga membawa pelbagai bentuk persembahan dari luar negara untuk disajikan kepada penduduk tempatan.

“Uniknya festival yang kita anjurkan ini lebuh fokus kepada keunikan seni kebudayaan yang tidak terdapat di negara lain dan inilah yang ingin kita paparkan, malah pelancong asing lebih berminat untuk menyaksikan seni budaya kita,” katanya yang mengangkat tema 1 Malaysia Di Sini Semaraknya Seni.

Kuala Lumpur yang juga pusat tumpuan kebudayaan dan kesenian daripada pencinta seni seluruh dunia meriah dengan pelbagai aktiviti seni budaya tempatan serta antarabangsa yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur selama sebulan bermula Rabu lalu.

“Sebanyak enam kategori aktiviti yang bakal berlangsung sepanjang FKL09 antaranya Seni Persembahan, Seni Tampak, Warisan, Bahasa dan persuratan, Aktiviti Permainan Tradisional dan Lain-lain.

“Sebanyak 31 aktiviti bagi kategori seni persembahan sepanjang FKL08 merangkumi tiga elemen seni iaitu nyanyian atau muzik, tarian dan persembahan teater.

“Kesemua aktiviti ini akan berlangsung di beberapa lokasi seperti Istana Budaya, Aswara, Taman Budaya KL, Panggung Bandaraya, Budaya, Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Pasar Seni, Bintang Walk dan banyak lagi,” katanya.

Secara keseluruhan daripada 31 aktiviti yang disusun itu, sebanyak 80 peratus adalah persembahan tempatan, manakala selebihnya dari luar negara.

“Antara persembahan terbesar dalam kategori Seni Persembahan ini adalah terdapatnya Festival Muzik Kuala Lumpur yang bakal dihadiri ramai jemputan kumpulan seni daripada luar negara. Selain itu, tahun ini juga menjadi giliran festival Tari yang menjadi salah satu pengisian dalam FKL09 yang diselang-selikan dengan festival Teater setiap tahun,” katanya.

INFO: Festival Kuala Lumpur 2009

  • Segala maklumat sepanjang FKL09 yang dijalankan berkaitan persembahan, tempat, tiket, pengangkutan tarik dan masa boleh didapati menerusi laman web yang disediakan iaitu www.klfestival.org.my atau boleh hadir ke Pusat Pelancongan Malaysia (MTC) jalan Ampang untuk mendapatkan risalah atau kita turut menyediakan kios di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

  • Selain seni persembahan, aktiviti lain yang turut disusun seperti

    seni tampak sebanyak 13, warisan (3), permainan tradisional (1), Bahasa dan Persuratan (7).
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: