Thursday, July 30, 2009

Kes bekas isteri ADUN Melor ditangguh gara-gara ‘aircond’

KOTA BHARU - Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam menetapkan 25 Ogos depan sebagai tarikh baru perbicaraan kes tuntutan mutaah RM3 juta yang dikemukakan bekas isteri kedua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas kawasan Melor, Siti Aishah Chou Abdullah.

Tarikh baru itu ditetapkan sejurus Hakim Abdullah Man mendengar prosiding di dalam kamarnya oleh kedua-dua peguam plaintif dan defendan.

Penangguhan perbicaraan kes itu juga dibuat berikutan berlaku masalah teknikal selepas alat penghawa dingin bangunan terbabit tidak berfungsi sehingga menyebabkan kes terpaksa ditunda kerana ketidakselesaan semua pihak.

Siti Aishah (plaintif), 24, diwakili peguam Mohd Sibri Ismail sementara defendan (Wan Ismail Wan Jusoh) pula diwakili peguam Mohd Raziman Yaakub.

Mohd Sibri ketika ditemui pemberita memberitahu, prosiding pada hari ini terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan mahkamah yang tidak selesa dan kepanasan.

”Saya mencadangkan dan memohon mahkamah menangguhkan kes ke satu tarikh baru disebabkan masalah sistem penghawa dingin ini dan mahkamah telah mempersetujuinya dengan menetapkan 25 Ogos depan sebagai tarikh perbicaraan kes.

”Ini bagi membolehkan prosiding perbicaraan berjalan dengan lancar dan selesa,” katanya.

Menurutnya, beliau juga mengesahkan kehadirannya bersama anak guam (plaintif) di hadapan Abdullah, manakala defendan hanya diwakili Mohd Raziman untuk mengikuti prosiding itu.

Sementara itu, Siti Aishah yang merupakan seorang mualaf berketurunan Cina Kemboja hadir ke mahkamah ditemani dua anaknya, Wan Ahmad Firdaus, 4, Wan Nor Salwa, 3, serta bapa dan adiknya.

Pada 3 Mac lalu, bekas isteri kedua Adun Melor itu mengemukakan tuntutan mutaah RM3 juta sebagai pampasan atau sagu hati demi menjaga kebajikan dirinya serta dua anak yang berada dalam jagaannya sepanjang tempoh penceraian.

Siti Aishah dan Wan Ismail, 54, telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2003 dan dikurniakan dua orang cahaya mata hasil perkahwinannya itu sebelum disahkan bercerai pada 18 November tahun lalu.

Plaintif turut memohon mahkamah mengeluarkan sebarang perintah yang difikirkan sesuai dan kos berkaitan tuntutannya itu mengikut peruntukan Enakmen Keluarga Islam Tahun 2002.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: