Wednesday, July 29, 2009

Anggota bomba dapat durian runtuh


KEPALA BATAS - Lebih 1,500 anggota bomba mendapat durian runtuh apabila skim gaji mereka yang disemak semula diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam berkuat kuasa awal bulan depan.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Hamzah Abu Bakar berkata, ia membabitkan 1,000 anggota dalam skim perkhidmatan Pegawai Bomba Gred KB22 dan 500 untuk Gred KB24.

Beliau berkata, penambahbaikan yang dibuat itu adalah selaras dengan perubahan dari segi skop fungsi dan beban tugas pegawai terlibat, kebanyakannya sudah memulakan perkhidmatan antara lima hingga tujuh tahun

Menurutnya, proses semakan itu dilakukan setelah timbul ketidaksamaan dan kelainan dalam skim gaji anggota terbabit berikutan pengenalan struktur baru jabatan yang diguna pakai sejak tahun lalu.

“Kenaikan ini akan memberi kelegaan kepada kakitangan yang terlibat, sekurang-kurangnya mengurangkan beban kewangan yang ditanggung selama ini berikutan keadaan ekonomi dan harga barang yang terus meningkat sekarang ini,” katanya kepada media selepas melawat Balai Bomba Kepala Batas di sini, semalam.

Sempena lawatan itu, Hamzah turut menyampaikan pingat kepada 18 anggota merangkumi seorang Pingat Jasa Bomba kepada V Balakrishnan, Pingat Setia Bomba (8) dan Pingat Cemerlang Bomba (9) serta 58 penerima anugerah khidmat cemerlang 2008 dari seluruh Pulau Pinang.

Beliau juga merasmikan sebuah dewan di balai bomba berkenaan yang dikenali sebagai Dewan Hamzah selepas majlis itu.

Turut hadir ialah Pengarah Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Ahmad Izram Osman dan timbalannya, Mohd Razam Raja Tahim serta Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Zulkifli Alias.

Menurutnya, anggota yang berada pada tangga gaji KB22 kini menerima RM1762.15 (P1T4) dengan dengan semakan itu, mereka akan menerima RM1,932.06 (P1T1) mulai 1 Julai lalu.

“Pegawai itu diberi pemindahan gaji ke mata gaji baru mengikut prinsip mata gaji yang sama atau tertinggi berhampiran.

“Pada tarkh pergerakan gaji berikuthya iaitu 1 Januari 2010, mereka akan diberi pergerakan gaji biasa mengikut keputusan Panel Pembangunan Sumber Manusia (PPSM) iaitu RM1998.61 (P1T2),” katanya.

Sehubungan itu, katanya, semua pegawai yang terbabit dalam perubahan skim itu perlu terus berkhidmat dengan produktif, komited dan berintegriti," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: