Thursday, July 30, 2009

Memasak perlu dari hati - Sheila


SHEILA kini duta Planta.


DIA bukanlah muda seperti artis-artis remaja yang lain yang diintai oleh pelbagai syarikat untuk dijadikan duta mereka.

Usianya sudah mencecah 46 tahun dan sering pula diberi tanggungjawab memegang watak seorang ibu sama ada dalam filem ataupun drama.

Namun kerana kemahiran memasak yang ada padanya, aktres Sheila Mambo dipilih oleh Unilever (Malaysia) Holdings Sdn. Bhd., untuk menjadi duta jenama marjerin popular, Planta selama setahun.

Sebagai duta Planta, Sheila Mambo ditugas mengendalikan program Jom Ke Dapur Kak Sifu yang menjelajah ke 18 lokasi seluruh Malaysia.

Program bukan untuk siaran televisyen ini memberi peluang Sheila menunjuk kemahirannya memasak pelbagai resepi ciptaannya untuk panduan para suri rumah.

Bagi tujuan ini, Sheila diberikan sebuah dapur mobil dan setiap hujung minggu Sheila akan bersama orang ramai mengajar mereka resepi baru.

Pelakon yang pernah membintangi filem Nana Tanjung dan Nana Tanjung 2 sebagai Mami Mumtaz berkata, memasak merupakan sebahagian daripada dirinya dan gembira apabila dilamar untuk menjadi duta jenama marjerin terkenal itu.

"Saya tidaklah hebat memasak, jauh sekali mempunyai sijil dalam bidang masakan.

"Tetapi saya memang gemar ke dapur dan cukuplah ada rakan yang pernah merasa masakan saya memujinya.

"Bagi saya, memasak perlu datang dari hati yang ikhlas dan yang penting kita perlu rajin mencuba," ujarnya yang gemar menyediakan hidangan bakeri.

Menurut Sheila, Planta memberi peluang kepada orang ramai untuk mempelajari resipi baru dan original daripada Planta bersamanya seperti Planta Golden Platter dan Planta Prawn Delight, menggunakan marjerin Planta

"Setakat ini, saya dapat lihat penyertaan yang menggalakkan wanita-wanita tak kira muda atau berusia setiap minggu.

"Apa yang saya nampak mereka ada kesungguhan untuk belajar memasak terutamanya golongan muda. Saya sangat berbesar hati dapat berkongsi kemahiran dan pengalaman bersama mereka," ujarnya yang juga pengguna setia Planta sejak kecil lagi.

Menurut Sheila, kerana minatnya begitu mendalam dalam bidang masakan terutama membuat bakeri dia bercadang untuk membuka sebuah kafe bakeri di Terengganu.

"Dengan adanya kafe idaman itu, saya mahu mendidik masyarakat betapa pentingnya pengambilan makanan yang sihat," kata Sheila.

Menyentuh mengenai bidang lakonan pula, Sheila atau nama sebenarnya Rusilawati Hasan berkata, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama komedi untuk Astro Warna iaitu Diva-Diva Pencen.

"Syukur Alhamdulillah, setakat ini tawaran berlakon tidak pernah lekang. Bagi saya ini semua rezeki dua anak orang saya," kata Sheila ibu kepada Siti Nurleyla,10, dan Siti Aiesya Maryam, setahun tujuh bulan,

Orang ramai yang ingin menyertai Jom Masak Bersama Kak Sifu hanya perlu membeli marjerin Planta 240g atau 480g, melampirkan label, menjawab satu soalan mudah dan melengkapkan slogan mengapa mereka suka menggunakan Planta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: