Thursday, July 30, 2009

Detektif Lim' mengaku curi buku

KUALA LUMPUR - Pelakon Mohd. Farid Amirul Hisham Wu Abdullah (gambar) yang memegang peranan Detektif Lim dalam drama bersiri kepolisan Gerak Khas mengaku mencuri dua buah buku di kedai buku MPH Bookstore di pusat beli-belah Mid Valley Megamall di sini Mac lalu.

Demikian keterangan penyiasat dalaman kedai buku tersebut, Mohd. Haqib Mohd. Yusof, 18, ketika perbicaraan kes Mohd. Farid di Mahkamah Majistret di sini semalam. Mohd. Farid menghadapi dakwaan mencuri dua buah buku berharga RM194.90 di kedai tersebut.

"Selepas suspek (Mohd. Farid) mengaku kepada kami dia mencuri dua buah buku tersebut, dia dibawa ke pondok polis berhampiran sebelum laporan dibuat di Balai Polis Brickfields," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ashiqin Zakaria.

Mohd. Farid, 43, didakwa mencuri sebuah buku berjudul The Sistine Secrets berharga RM89.90 dan sebuah lagi buku bertajuk Decoding The Heavens berharga RM105 di kedai buku MPH, Midvalley pada pukul 7.15 malam 27 Mac lalu.

Terdahulu, Haqib yang juga saksi pertama pendakwaan memberitahu, semasa kejadian dia sedang membuat rondaan di MPH apabila ternampak seorang lelaki Cina sedang menanggalkan tanda harga pada dua buah buku.

Menurut saksi itu, dia sempat mengutip tanda harga yang ditinggalkan lelaki itu di depan pintu pejabat di kedai buku tersebut sebelum mengekorinya yang berlegar-legar di rak buku bahagian muzik.

"Saya kemudian nampak lelaki itu menyelak dua buah buku dan membuang nombor kod bersiri pada buku tersebut lalu terus ke kaunter wang bagi membayar dua buah buku lain (bukan dua buku yang dicuri).

"Apabila dia keluar dari kedai, saya bersama seorang penyelia bernama Fadzilah menahannya untuk buat pemeriksaan," katanya.

Hasil pemeriksaan, mereka mendapati dua buah buku yang sebelum itu telah ditanggalkan tanda harga dan nombor kod bersiri berada dalam beg sandang biru gelap milik lelaki tersebut.

Sementara itu, dalam sesi soal balas oleh peguam bela, Nor Azri Mohd. Arif, Haqib tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa kejadian di dalam kedai buku itu sebenarnya dilihat oleh pekerja Bangladesh yang turut sama menahan tertuduh di luar pintu MPH.

"Kenapa kamu tidak setuju?" tanya Nor Azri dan jawab saksi, "Kerana tiada pekerja Bangladesh di MPH."

Mohd. Farid yang sebelum ini melarikan diri daripada media berkelakuan sebaliknya semalam apabila merelakan wajahnya dirakam sambil melemparkan senyuman.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh pada mulanya mengaku bersalah ketika dituduh kali pertama pada 8 April lalu namun menukar pengakuan kepada tidak bersalah pada 14 Mei lalu setelah melantik peguam.

Majistret Mohd. Faizi Che Abu menetapkan perbicaraan bersambung pada 7 Ogos depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: