Thursday, July 30, 2009

Haniez's untuk peminat coklat


NORHATINA menunjukkan pelbagai jenis produk coklat Haniez's di Senawang baru-baru ini.


SEREMBAN - Seri Umairah Food and Beverages (Seri Umairah), yang mengusahakan pembuatan coklat berjenama Haniez's mula menjadi pilihan di kalangan penggemar coklat tempatan.

Pengarah Eksekutifnya, Norhatina Abd. Rauf berkata, perniagaan yang memulakan modal sebanyak RM20,000 sejak awal tahun itu kini telah menerima permintaan yang meluas daripada pelanggan bukan sahaja dari Negeri Sembilan malah juga dari Lembah Klang dan juga Sabah.

Tekad melepaskan jawatan sebagai jurutera di sebuah kilang elektronik terkemuka di sini, beliau memilih coklat sebagai cabang perniagaannya kerana minatnya yang mendalam dalam bidang tersebut.

Lebih penting lagi, beliau dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga berbanding sebelum ini yang terlalu tertumpu kepada kerjayanya.

Sebagai usaha meningkatkan lagi pengetahuan dan pengalamannya dalam bidang pembuatan coklat, beliau yang memiliki kelulusan dalam bidang Kejuruteraan Awam dari Universiti Seoul, Korea Selatan itu telah menyertai kursus yang dianjurkan oleh Lembaga Koko Malaysia.

Bimbingan dan tunjuk ajar daripada agensi kerajaan itu telah memberi keyakinan kepadanya untuk mengkomersialkan produk coklat dengan lebih meluas dan usahanya untuk memiliki sebuah premis perniagaan di Senawang di sini menjadi kenyataan.

Selain menempatkan peralatan dan dapur untuk menghasilkan pelbagai jenis coklat, premis itu turut memiliki ruang pameran yang menarik bagi pelanggannya untuk memilih produk-produk yang dihasilkan.

"Apa yang menarik mengenai coklat berjenama Haniez's ini, ia dihasilkan secara buatan tangan yang terjamin kualiti dan rasanya kerana menggunakan bahan mentah yang terbaik," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Norhatina, produknya menggunakan 100 peratus koko tanpa bahan pengawet, lemak dan mentega yang terpilih.

Jelas beliau, antara produk popular di kalangan pelanggannya ialah kepingan coklat, bunga telur coklat untuk majlis perkahwinan dan hamper coklat.

"Cara pembungkusan produk juga menarik dan unik yang mana ia sesuai dijadikan hadiah serta cenderahati korporat dan majlis perkahwinan.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, beliau menyimpan keazaman untuk membuka kilang coklat pada masa depan untuk membuktikan rakyat Malaysia juga boleh berjaya dalam bidang pembuatan coklat seperti di luar negara.

Sebagai langkah permulaan aktiviti promosinya, Seri Umairah sedang berbincang dengan pihak berkaitan untuk memasarkan pelbagai jenis coklat Haniez's di stesen-stesen minyak di sini dalam masa terdekat ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: