![]() Lisa Surihani |
TERKEJUT juga kawan sepejabat Cik Normah melihat susuk tubuh pelakon yang semakin menjadi-jadi rezekinya kebelakangan ini. Pelakon yang dimaksudkan Cik Normah itu ialah Lisa Surihani. Lisa antara yang sudi memeriahkan majlis penghargaan anjuran Rafflesia The Pearl Centre bagi meraikan pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 30 Jun lalu.
Pada kesempatan ini juga Cik Normah nak ucapkan terima kasih kepada rakan artis yang sudi memeriahkan majlis itu. Cik Normah tak dapat hadir kerana ada hal yang terlebih awal perlu dibereskan. Ada di antara artis yang sibuk dengan penggambaran masih sudi meluangkan masa. Cik Normah diberitahu rakan sepejabat, Intan Ladyana antara yang paling lewat hadir kerana sibuk dengan penggambaran. Tapi tak kisahlah, janji Intan tetap hadir memberi sokongan.
Kamal Adli yang digosipkan dengan Intan pun ada menghubungi rakan Cik Normah memberitahu yang dia tidak dapat hadir kerana masih berada di lokasi penggambaran filem Niyang Rapik The Movie. Cik Normah dengar ada yang sudah mengesahkan kehadiran tapi haram sampai ke sudah, tak nampak batang hidung. Tak apalah, Cik Normah malas nak membebel panjang. Makan pengat, sendiri mahu ingatlah. Setidak-tidaknya beritahu dekat teman sepejabat Cik Normah yang digelar taukeh ‘fun fair’ itu yang sibuk menjemput artis bagi menghadiri majlis terbabit.
Yang hadir sudah cukup Cik Normah dan pihak Berita Harian terutama sisipan Hip hargai. Yang berbadan dua, seperti Noorkhiriah dan Linda Jasmine tetap hadir di samping suami tercinta. Que Haidar pun makin berseri-seri dan nampak makin muda di samping isterinya itu. Sekali lagi, terima kasih Cik Normah rakamkan kepada semua rakan artis dan rakan media daripada penerbitan lain yang sudi hadir. Terima kasih juga diucapkan kepada Alyah yang sudi menyanyikan lagu Kelipan Bintang yang digubah khas untuk majlis itu. Lagu itu ciptaan Nai Kong dan liriknya nukilan editor murai.com, Roslen Fadzil.
Berbalik kepada kisah Lisa Surihani tadi, memang dia tidak menang tangan memenuhi undangan berlakon. Jadual seninya memang padat. Iyalah orang tengah ‘hot’ macam Lisa itu memang banyak permintaan. Sudah nama rezeki, terima sajalah. Sejak awal tahun lagi, daripada drama ke filem, Lisa memang cukup laris. Selesai saja penggambaran filem Lagenda Budak Setan, Lisa diberi cuti sebelum kembali ke lokasi penggambaran filem seterusnya, Mantera bergandingan dengan Tomok hujung Julai ini.
Prihatin sungguh penerbit popular yang memiliki syarikat Metrowealth, David Teo apabila mula sedar betapa penat artis naungannya itu ke hulu ke hilir berlakon. Lalu, David pun tidak teragak-agak untuk menyuruh Lisa berehat ‘seketika’ daripada berlakon. Menurut kawan sepejabat Cik Normah, Lisa sedang berehat ketika ini. Melihat gambar terbarunya, Cik Normah harap Lisa dapat menambahkan berat badannya kembali. Memang Lisa nampak sangat kurus cengkung sebab tak cukup rehat. Nak petua memiliki badan montok macam Cik Normah, silalah berjumpa dengan akak ye dik.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: