Friday, July 3, 2009

KL Fest kembali lagi


Rabbani bakal menghiburkan anda dalam Konsert Ruhani di Istana Budaya, 4 Julai ini.


UNTUK ke sekian kalinya, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), menganjurkan Festival Kuala Lumpur (KL Fest) 2009 sepanjang Julai.

Penganjuran festival buat kali ke-4 sejak tahun 2006 itu bakal dipenuhi sebanyak 76 aktiviti kesenian yang direncanakan berlangsung di beberapa lokasi di sekitar ibu negara termasuk Istana Budaya, Dewan Filharmonik Petronas, Pasar Seni, Panggung Bandaraya DBKL dan Dewan Orkestra Aswara.

Pelbagai aktiviti seni meliputi seni persembahan, seni tampak, aktiviti warisan, permainan tradisi, bahasa dan persuratan, bengkel, pertandingan dan pameran disediakan bagi menjayakan festival tersebut.

Aktiviti persembahan untuk KL Fest 2009 termasuklah siri konsert seperti Festival Muzik Kuala Lumpur 2009 yang berlangsung mulai 1 hingga 10 Julai ini.

Sebanyak enam konsert disenaraikan iaitu Konsert Lelaki Ini Anuar Zain yang diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan yang berlangsung pada 1 dan 2 Julai lalu di Istana Budaya.

Pada 3 Julai pula bertempat di Life Centre, Kuala Lumpur bermula pukul 9 malam, konsert 'Dato' Dr. Ahmad Nawab Goes To Life Centre. Antara artis terkenal yang bakal menghiburkan anda ialah Jamal Abdillah, Syafinaz Selamat, Steve Thornton dan Man Kidal.

Konsert Ruhani menyusul pada keesokan harinya (4 Julai) di Istana Budaya bermula pukul 8.30 malam. Barisan artis yang bakal memeriahkan konsert tersebut ialah Ustaz Sultan Khan, Rabbani, Sambasunda, Mohram dan Farid Ali.

Bagi peminat-peminat Meet Uncle Hussein, jangan lepaskan peluang menyaksikan Konsert Generasi Baru yang bakal berlangsung pada 5 Julai ini di Hard Rock Café pukul 11 malam.

Sebuah lagi konsert ialah Konsert Nostalgia 70-an Semalam di Malaysia yang bakal menghimpunkan barisan artis 70-andari Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Bakal berlangsung di Life Centre, Kuala Lumpur pada 10 Julai ini pukul 9 malam, antara artis yang terlibat ialah Ernie Djohan, Endang S. Taurina, Tommy J. Pisa, Diana Nasution, Zaleha Hamid, Othman Hamzah, Halil Chik dan Azian Mazwan Safuan.

Tidak ketinggalan ialah persembahan teater, Mek Mulung yang bakal dipentaskan di Panggung Bandaraya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, selama dua hari pada 3 dan 4 Julai ini.

Di tempat yang sama pada 5 Julai pula akan dipentaskan persembahan Wayang Kulit.

Di Galeri bangunan Sultan Abdul Samad pula bakal dipentaskan Mak Yong dan opera Cina pada setiap hari Sabtu dan Ahad bermula 4 hingga 26 Julai ini.

Aktiviti seni tampak pula meliputi sesi fotografi sepanjang Julai bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang di Pelantar Pemandangan, Menara Kuala Lumpur.

Bagi mereka yang berminat mempelajari lebih mendalam tentang penerbitan video, sertai Bengkel Penerbitan Video yang bakal diadakan di Finas bermula 6 hingga 10 Julai.

Aktiviti lain yang turut disusun di Finas ialah Bengkel Penerbitan MCP pada 13 hingga 17 Julai, kelas lakonan (20 hingga 24 Julai) dan Bengkel Penulisan Skrin (27 hingga 31 Julai).

Bagi aktiviti warisan pula, acara-acara yang disusun khas termasuklah promosi kerja kahwin meliputi pelbagai kaum dan etnik di negara ini bakal berlangsung di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur bermula 4 hingga 13 Julai ini.

Turut diadakan ialah festival makanan dan buah-buahan di perkarangan Pasar Seni pada 10 hingga 19 Julai.

Kepada yang berminat dalam bidang penulisan cerpen, jangan ketinggalan menyertai aktiviti bahasa, Bengkel Baca Cerpen yang bakal diadakan di Wisma MCA, Jalan Ampang pada 5 Julai ini.

Bagi penggemar dan pencinta puisi pelbagai aktiviti menarik telah disediakan antaranya ialah Baca Puisi PENA yang akan diadakan pada 17 Julai ini di Rumah PENA, Kuala Lumpur.

Selain itu, di Pasar Seni menanti kunjungan anda pada acara Baca Puisi Rindu Ibu (19 Julai) sementara Baca Puisi Kuala Lumpur Sempena KL Fest pada 25 Julai bermula pukul 8.30 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: